Salam sejahtera buat semua. Musim PKPB ni, saya ada banyak masa terluang, mungkin tak terlalu sibuk dengan kerja jadi saya curi-curi masa untuk “stalk” kawan-kawan dari zaman persekolahan hingga ke universiti, yang mana mereka tiada dalam list social media saya.
Maklumlah bila dah taip nama sorang kawan, akan ternampak jugalah nama kawan-kawan yang lain.
Saya ada masalah “short-term memory”, dan turut mengalami “memory loss” sejak 2 tahun lepas setelah saya sembuh dari sakit. Jadi mungkin dengan cara ini boleh membantu saya untuk mengingat semula dengan melihat gambar-gambar mereka.
Kebanyakan mereka adalah kenangan pahit yang saya cuba nak padamkan. Silap saya “stalk” sehingga saya ingat semula. Perkara ni buat jadi “triggered” saya akan benda hitam yang mengganggu emosi saya waktu zaman sekolah.
Bunyi macam negatif, tapi saya punya alasan tersendiri. Semuanya kerana saya dibuli dari zaman sekolah. Mungkin itu salah sebabnya bila memory loss saya seolah-olah lupa apa yang pernah terjadi.
Bukan juga bila masih teringat sejarah pahit bermakna saya tidak memaafkan mereka, tapi kesan psikologi yang ditinggalkan itu yang menjadikan siapa saya sekarang.
Ya, saya buang ramai kawan dari hidup saya. Saya jadi cerewet dalam berkawan, dan sangat berhati-hati. Saya tak “approve” mereka dan ada yang saya “blocked” dari hidup saya baik secara maya mahupun realiti.
Seawal sekolah rendah lagi saya dibuli oleh rakan sekelas, oleh sebab saya bertubuh kecil dan pendek. Tubuh saya dicubit sehingga lebam, berkali-kali oleh rakan sekelas.
Masih saya ingat dengan jelas wajah-wajah pembuli tu. Masih saya ingat nama-nama mereka. Tak cukup dengan cubit, pukul, mereka sorokkan barang saya, tarik kerusi dan sepak saya. Masih segar dalam ingatan walau sudah lebih 20-30 tahun berlalu.
Memang saya tak punya ramai kawan, kesan psikologi yang berlaku buatkan saya takut. Setiap hari saya balik rumah dari sekolah dengan menangis, saya berkurung dalam bilik dan rasa selamat dengan dunia sunyi itu. Saya menangis bila nak ke sekolah sebab takut dibuli.
Alasan rakan sekelas membuli dan tak suka saya hanya sebab guru-guru suka puji saya dan saya sering dapat nombor 1 dan markah yang baik dalam peperiksaan.
Saya jadi takut dengan pujian dan kecemerlangan sehingga pernah ketika saya darjah 5, saya sengaja menjawab salah dan membuatkan saya tidak mendapat kedudukan yang baik dalam kelas.
Prestasi pelajaran saya merosot, sehinggakan saya ditukarkan kelas bukan lagi di kelas pertama.
Namun begitu, saya tetap “scored” dan berjaya. Semua kerana nak membanggakan keluarga dan membalas jasa ibu bapa saya. Waktu itu, kawan baik saya hanya seorang pelajar ni. Dan sehingga sekarang dia masih tetap kawan baik yang panggil sahabat.
Dia seorang sahaja yang sangat memahami saya walau kami berbeza usia setahun. Namun, persahabatan yang dihulurkan di saat orang lain tak mahu berkawan dengan saya, kekal sehingga sekarang. Terima kasih, sahabat.
Menginjak alam sekolah menengah, saya berjaya masuk ke sekolah yang bagus. Tetapi masalah buli masih berlaku. Mungkin saya terlalu mendengar kata bapa saya bahawa jangan balas perbuatan jahat orang pada kita.
Jadi setiap kali berlaku apa-apa, saya hanya menangis dan tidak membalas. Rupanya benda ni memakan diri saya, meninggalkan kesan psikologi yang sangat mendalam dan kesannya saya masih terasa sehingga kini. Dan saya masih bergelut dengan masalah ini.
Saya pernah memasuki sekolah berasrama penuh, tetapi dibuli juga dengan lebih teruk. Waktu itu, saban hari menangis supaya ibu bapa saya memberhentikan saya dari sekolah tersebut.
Saya akhirnya berhenti kerana suatu hari tubuh badan dan wajah saya bertukar menjadi biru, saya sukar bernafas dan bapa membawa saya ke klinik.
Bantuan oksigen menyembuhkan saya ketika itu. Doktor mengatakan kesan dibuli jangka panjang membuatkan saya menjadi begitu.
Jadi saya tidak boleh berada dalam keadaan terlalu tertekan kerana ia membuatkan nafas saya menjadi pendek dan saya gagal bernafas dengan baik.
Saya sering menjadi “sasaran” rakan-rakan hanya sebab saya jenis tidak melawan. Saya bukan jenis jahat mulut dan tidak suka bertengkar. Saya juga boleh dikatakan seorang pelajar yang takut membuat kesalahan, dan sudah tentu rakan tak suka kerana saya tidak sealiran dengan mereka.
Saya membesar dalam keadaan menjadi pasif. Saya lebih gemar berkurung, berada dalam dunia saya sendiri. Saya takut suasana bising dan ramai orang. Dan saya membesar menjadi seorang yang tidak suka berkawan. Saya jadi tidak percaya pada orang, dan saya takut bercakap.
Namun rezeki tidak pernah salah alamat.
Walaupun belajar dalam keadaan tiada ramai kawan, dipulaukan, buat assignment pun seorang diri, pergi ke mana pun seorang diri, saya masih berjaya dalam pelajaran di menara gading. Semuanya berkat sokongan keluarga dan doa ibu bapa saya.
Memang saya membesar dan menjadi dewasa dalam keadaan penuh ketakutan, pasif, sering menangis. Tapi saya masih percaya rezeki dan jalan hidup saya ni Allah yang tentukan.
Dalam alam pekerjaan pula, Alhamdulillah saya sudah bergelar professional. Namun begitu, buli masih berlaku tetapi buli mental.
Saya sering mengalami masalah bila berhadapan dengan rakan pejabat wanita kerana mereka seolah-olah merasakan kejayaan saya dalam sesuatu projek adalah kerana rupa saya.
Sedangkan saya sememangnya bekerja keras untuk menyiapkan projek dan segalanya adalah atas dasar professionalisme.
Sekali lagi, kisah silam menghantui hidup saya. Saya menjadi pasif semula, takut untuk bersungguh-sungguh dalam pekerjaan saya.
Saya jadi gementar dengan pujian client ataupun majikan. Saya takut akan dipulaukan. Saya tertekan dan hanya menangis sendirian. Penat untuk saya ceritakan kisah saya yang tak berkesudahan ini pada sahabat baik mahupun keluarga saya.
Dan perkara ini terus berlanjutan tanpa henti. Paling tidak adil apabila saya mendirikan rumahtangga, saya menghadapi masalah cemburu dari keluarga mertua dan ipar duai pula. Saya sudah sedaya upaya membawa diri dan menyesuaikan diri di kalangan mereka tetapi sukar.
Ketika itu, suami pula memihak kepada keluarganya. Dari kisah dibuli, didengki sehinggalah membawa kepada disihir oleh orang terdekat. Dan sihir itu membawa sehingga ke penceraian.
Termenung saya sekejap waktu menaip ni. Puas saya muhasabah diri di mana khilaf saya, apakah kejahatan yang saya buat. Kenapa mereka mesti rasa saya ini adalah “ancaman” buat mereka sedangkan saya tidak pernah hidup mahu berlawan atau bertanding dengan orang.
Apa yang saya perolehi adalah kurniaan dari Allah dan jalan hidup saya Dia juga yang tentukan.
Tekanan demi tekanan ini membuatkan saya lebih senang dengan hidup terasing saya kini. Setiap hari saya bisikkan pada diri bahawa cukuplah Allah buat diri saya jika ini takdir hidup yang saya perlu lalui.
Saya tahu saya berada di pihak yang benar dan saya percaya jika apa yang berlaku pada diri saya ini adalah kezaliman, maka hanya Allah sahajalah mampu menghakimi mereka.
Menginjak usia 40, dan saya masih sendirian. Kenangan lalu, dibuli mental, fizikal, serta disihir membuatkan saya lebih berhati-hati dengan kehidupan.
Hidup saya hanya berkisarkan keluarga, dan pekerjaan saya. Mungkin lebih tenang begini tetapi saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa jangan bergantung kepada makhluk.
Pembaca semua doakan saya supaya dapat keluar dari kisah hitam ini dan saya dapat membina keyakinan saya untuk berhadapan dengan orang sekeliling.
Kata-kata setajam pisau, lukanya takkan sembuh. Boleh memberi kesan seumur hidup. Berhati-hati dalam berkata-kata dan membuli bukanlah satu tanda yang akan buat anda kuat.
Ada insan seperti saya yang hidup dalam keadaan merana.
Hasbunallah wa ni’mal waqeel.
– Syifa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit