Assallamualaikum, saya Yanie, saya selalu membaca “confession” tentang pasangan yang diuji Allah tiada zuriat.
Bagaimana tertekannya perasaan apabila diuji tiada zuriat, tertekan dengan kata-kata manusia, merawat emosi serta meneruskan kehidupan yang tidak sesempurna orang lain.
Tahun ini umur saya 42 tahun. Saya berkahwin awal ketika berusia 23 tahun, manakala suami berusia 32 tahun ketika itu.
Ketika berkahwin saya hanya mempunyai diploma, kemudian diuji dengan sakit yang apabila dirawat di hospital, tidak juga sembuh, sehingga perlu mendapatkan rawatan secara Islam.
Niat hendak menyambung pengajian terbantut ketika itu disebabkan penyakit ini, namun suami saya tetap setia, membawa saya berubat merata sehingga alhamdulillah saya sembuh.
Kemudian tahun 2005 saya menyambung pengajian peringkat ijazah. Selepas tamat ijazah, sambung pula master.
Dalam masa yang sama saya dan suami sentiasa berusaha untuk mendapatkan zuriat, secara tradisional, berurut, malah ke hospital sehingga melakukan prosedur “lab and dye” untuk melihat rahim secara lebih terperinci.
Saya didapati mempunyai PCOS, kedua-dua ovari ditebuk, kemudian melakukan prosedur IUI (2011), namun gagal. Kesan dari IUI sangat hebat, saya kembung teruk, muntah dan terlalu lemah.
Rupanya itulah adalah kesan suntikan ubat hormon ketika prosedur IUI yang dipanggil Ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS) sehingga menyebabkan saya fobia,
Dan suami juga tidak sanggup melihat saya menderita dan beliau berkata, kita redha lah andainya ditakdirkan kita tiada zuriat, usaha dan kejarlah cita-cita saya untuk menjadi seorang pensyarah.
Maka saya pun redha dengan sebenar-benarnya redha. Saya menyambung pelajaran peringkat doctorate. Fokus kepada kerja dan pengajian.
Dalam masa yang sama saya dan suami menumpang kasih sayang anak-anak yang emak saya mengasuh serta anak saudara saya.
Dengan duit gaji saya belikan hadiah buat mereka, saya berikan wang belanja untuk anak asuhan mak yang menyambung pengajian tanpa culas sehingga beliau tamat pengajian.
Saya sediakan bekas makanan kucing dalam kereta, jumpa sahaja stray cats pasti saya jamu. Saya sedekah kepada sesiapa yang saya jumpa di kaki lima sedang berjualan kerepek etc.
Saya jalani kehidupan ini tanpa memikirkan isu zuriat lagi. Alhamdulillah belum konvo doctorate saya mendapat pekerjaan sebagai pensyarah kanan di sebuah universiti awam, cita-cita yang saya pendam sejak berusia 15 tahun, Allah makbulkan.
Saya berpindah dari negeri kelahiran ke negeri kelahiran suami, bekerja di IPTA dengan niat duit gaji adalah untuk anak-anak asuhan mak dan anak saudara serta kucing-kucing kesayangan serta kucing jalanan.
Saya teruskan kehidupan ini dengan tenang, saya sebenarnya telah redha ketiadaan zuriat.
Namun perjanjian Allah itu benar.. Tahun 2020 saya sakit senggugut yang teruk (saya memang senggugut teruk) tapi kali ini benar-benar teruk sehingga memaksa saya berjumpa pakar O&G di private hospital. Rupanya dinding rahim saya penuh dengan polyps.
Iaitu sejenis tisu yang tumbuh memenuhi dinding rahim, saya melakukan prosedur membuang polyps di private hospital di mana kosnya saya menggunakan insuran dalam RM5,000.
Selepas buang polyps, Dr bertanya soalan cepu emas, tidakkah kami suami isteri ingin mencuba melakukan ivf untuk mendapatkan zuriat?
Soalan tersebut dijawab dengan senyuman serta ketawa kerana kami sudah tua (saya berumur 40 tahun ketika itu, manakala suami pula 49 tahun). Dr meyakinkan kami yang kami masih muda.
Kami balik berfikir panjang. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk mencuba setelah 10 tahun kami benar-benar redha ketiadaan zuriat buat kami.
Maka bermulalah ujian darah, ujian terhadap suami, pengambilan supliments, proses menurunkan berat badan (saya berjaya menurunkan 10kg dalam tempoh 3 bulan) dan pada March 2021 bermulalah prosedur ivf (injections hormon etc).
Alhamdulillah bulan April 2021 saya disahkan hamil.
Allah saja yang mengetahui perasaan kami suami isteri. Nak kata terlalu gembira, kami takut kerana masih baru dan kami masih dalam fasa seperti bermimpi..
Saya selamat melahirkan anak lelaki pada 16/11/2021 setelah 18 tahun perkahwinan kami.
Saya sangat memahami perasaan pasangan yang tiada zuriat. Saya tahu pedihnya mendengar kata-kata orang serta merawat emosi sendiri dengan menangis serta bertawakal pada Allah.
Namun apabila saya melihat semula perjalanan hidup saya selama perkahwinan 18 tahun ini, saya melihat perancangan Allah yang maha hebat. Allah berikan semua yang saya perlukan, bukan apa yang saya inginkan.
Saya mempunyai kerjaya yang stabil, suami yang sangat menyayangi saya tanpa berbelah bahagi walaupun tiada zuriat.
Maka hadirnya anak kami ketika kami benar-benar telah bersedia walaupun kami perlu menunggu 18 tahun. Jadi bersangka baik dengan setiap ujian Allah, kerana Allah tidak menzalimi hambaNya.
Ingin saya kongsikan amalan saya ketika usaha untuk mengandung dan ketika mengandung:
1) Sentiasalah bersedekah. Saya setiap hari bersedekah subuh tanpa gagal, tak kisahlah walaupun hanya RM1, niatkan untuk mendapatkan anak.
2) Saya sentiasa belanja anak-anak asuhan mak serta anak saudara saya. Saya memang tidak berkira langsung dengan mereka. Minta mereka doakan murah rezeki saya supaya saya dapat berkongsi dengan mereka.
3) Saya sentiasa memberi makan stray cats. Dalam kereta memang ada spare makanan kucing serta di luar rumah saya sediakan bekas makanan untuk kucing. Jika mereka berak di laman rumah, saya cuci sahaja tanpa merungut.
4) Ketika saya transfer embrio, saya melakukan solat hajat tanpa gagal sehinggalah malam sebelum bersalin. Mohon pertolongan dari Allah, hanya Allah yang boleh menolong saya, minta Allah jaga kandungan dan dipermudahkan semuanya.
5) Setiap kali lepas solat hajat saya akan membaca alfatihah, lailahailallah 7 kali, ya khaliq 11 kali, ya bari’ 11 kali, ya musauwir 11 kali, ya razaq 11 kali, ya fatah 11 kali, ya karim 11 kali, ya Allah 33 kali,
la hawlawala huwataillah 7 kali, robbi habli minas solihin 7 kali dan wahai tuhanku kurniakan kepadaku zuriat keturunan yang baik, sesunggunya engkau sentiasa mendengar doa permohonan.
Moga amalan saya yang tak seberapa ini dapat membantu rakan-rakan yang masih berusaha.
Jangan berhenti berdoa, mohon pertolongan Allah, andai kata memang rezeki kita pasti akan ada juga suatu hari nanti.
Bersangka baik dengan setiap ujian Allah, kemanisannya akan kita rasai apabila kita benar-benar telah redha.
– Yanie (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit