Perasaan Yang Tak Patut Ada II

Untuk part I, (https://iiumc.com/perasaan-yang-tidak-patut-ada/).

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua readers. Terima kasih banyak-banyak aku ucapkan kepada semua yang sudi membaca dan memberi komen dalam kisah terdahulu, Perasaan Yang Tidak Patut Ada.

Aku sangat menghargai pada yang memberi nasihat, teguran dan mendoakan. Terima kasih banyak-banyak.

Aku namakan lelaki itu sebagai A. Kepada yang komen pasal mungkin A ni baik dengan aku sebab aku kerja ‘gomen’ (ini bukan sebab aku backing A).

Tapi A ni dari family senang. Tapi dia tak ada pula berlagak atau show off anak orang kaya. Dia boleh kerja dengan ayah dia, tapi emak dia suruh cari kerja lain,usaha sendiri.

Aku pun bukan kaya sangat, kaya hutang tu betul. Tambah anak sulung, banyak tanggungjawab. Apapun terima kasih atas peringatan, aku sedar tentang itu. Ada terjadi depan mata kawan-kawan dan saudara mara aku yang mengalaminya, dari suami sendiri. Menakutkan.

Di pejabat A memang jadi bahan usikan sebab dia ni sebenarnya sangat pendiam. Susah nak dengar suara dia masa mula-mula dia masuk. Sepatah tanya sepatah dia jawab.

Dengan aku lagi lah, mula cakap dengan dia masa dah buat kerja sama-sama. Kalau tidak sebelum tu pakat lawan senyum sajalah sampai kesudah.

Masa buat kerja ramai-ramai tu lah kawan-kawan pejabat interview dia dah ada GF ke belum. Dia kata tak ada sebab malas nak fikir.

Pada yang mungkin tertanya-tanya sekarang aku dan A macam mana. Kami masih berhubung lagi, atas dasar persahabatan. Masih bertanya khabar dan sesekali keluar bersama dengan kawan-kawan pejabat lain.

Dia pun tahu rumah aku kat mana. Ada dia datang rumah hantar makanan kadang-kadang.

Baru lepas hari jadi dia. Dia reply terima kasih dan seperti biasa doa yang sama untuk aku. Dia kata dia harap umur dia dah tua, 40-an. Memang banyak kali pun dia cakap sebelum ni pasal harap umur dia tua dah.

Aku kata umur muda nak tua kenapa. Katanya tak suka orang tau dia muda nak orang nampak dia dah berumur. Sebab itu dia usaha nak bagi nampak ‘tua’. Kalau orang tanya dia nak cakap dah tua anak dah berderet.

Kepada yang nasihat suruh luahkan. Aku rasa kalau aku luahkan lepas aku confess mau aku hijrah duduk London lepas tu (tak tunggu dah dia jawab apa). Malu 5 tahun. Bukan semata-mata fikir kalau kena reject aku risau dia yang tak nak dah berkawan dengan aku lepas tu.

Aku pernah buat dah dulu-dulu zaman muda, otak happening sangat aku confess end up tak berkawan atau berhubung dah dengan orang tu.

Ada seorang je yang aku confess dan tak lari. Masih berkawan hingga sekarang walaupun dia dah berkahwin. Dengan isteri dia pun aku kawan, okay saja tiada masalah. Mungkin sebab bukan cinta mati agakanya. Jadi okay sajalah semua.

Tu seorang je lah yang lain tah duduk planet mana tak tahulah. Padahal aku rasa aku yang patut pergi planet lain. Tapi hakikatnya Bumi ni saja manusia boleh duduk.

Dalam hidup ini kita kadang-kadang jadi manusia yang terlalu judgemental hidup orang bahkan hidup sendiri.

Kerapkali kita rasa orang itu atau kita ini patut cari atau bersama dengan orang macam sekian sekian. Kita suai padan ikut fikiran kita. Sampai kita terlupa Allah sebaik-baik perancang.

Dia Lebih Mengetahui. Berapa banyak pasangan yang dirasakan sepadan baik segi umur, pendidikan dan ekonomi akhirnya berpisah.

Ini bukan bermaksud aku nak orang sokong pasal cerita aku, tidak. Aku cuma bercakap atas dasar kita sebagai manusia yang terkadang suka jadi Tuhan.

Sebab apa aku cakap macam itu. Sebab aku baru dengar seorang caller yang telefon satu stesen radio dan bercerita pengalamannya. Lebih kurang pasal berpasangan degan lelaki yang lebih umur dengan harapan lelaki itu matang.

Malangnya tidak menurut caller wanita itu. Umur bukan penentu matang atau tidak seseorang. Ramai yang sudah naik umur, tapi dalam jiwa dan badannya masih terperangkap seorang kanak-kanak.

Samalah macam diri kita sendiri. Kita pun tak banyak tidak ada juga perangai childish atau kita saja tak sedar-sedar atau tak nak mengaku. Cuma bezanya ada yang teruk ada yang tidak.

Begitulah sebenarnya manusia, kita suka mengandai dan merumus hingga terlupa kita hanyalah hamba. Bukan kata orang lain, aku juga mengata diri sendiri.

Banyak hati kena fikir dan jaga. Penat otak kalau family tak suka. Hidup ni pun dah cukup memenatkan. Masalah kerja dan peribadi. Kalau tak kuat dah lama gila rasanya. Aku baca komen pun tahu tak semua orang boleh terima perbezaan umur. Aku tak marah, aku faham.

Aku sendiri pun pelik kerja gila apa yang aku buat ni. Cuma mungkin betullah kadang-kadang kita tak boleh pilih atau set orang yang kita suka. Ia datang sendiri.

Aku bukanlah baik mana, aku manusia biasa. Ada masa up ada masa down. Kawan-kawan kenal aku happy go lucky, aku suka bergurau senda dan menceriakan hidup kawan-kawan.

Aku suka tengok family, kawan-kawan, anak-anak saudara dan orang yang aku sayang happy dan tersenyum.

Tapi ada malam-malamnya, akulah orangnya yang menanggis dalam solat dan sebelum tidur mohon Allah berikan kekuatan.

Kisah ‘bukan jodoh’ yang dahulu pun serba sedikit ada kaitan dengan unsur mistik juga. Tapi aku berubat.

Bukan senang, banyak tempat aku pergi. Hampir 10 tahun aku berubat. Ada masa rasa penat sangat nak hadap tapi demi diri sendiri aku kuatkan semangat.

On and off ‘penyakit’ ni. Okay sekejap nanti jadi balik. Last aku berubat tahun lepas. Buat masa ni rasa okay, harapnya kekal. Mudah-mudahan aku pulih dari semua ini. Pulih dari ‘penyakit’ yang tak nampak di mata.

Terima kasih yang paling dalam kepada yang mendoakan aku terutama yang quote ayat ‘Berbahagialah pada readers yang dapat merasakan cinta berbalas dan bertemu jodoh’.

Aku doakan yang baik-baik untuk semua yang merasakan ‘keperitan’ itu sebab aku sangat faham dan tahu apa rasanya.

Orang sekeliling hanya tahu bertanya, bila nak kahwin? Tunggu apa? Memilih sangat la tu.. dan bermacam kata-kata yang mengusik jiwa. Sedarkah anda jalan hidup kita tak sama? Kita memang berjalan di atas bumi yang sama tapi atas takdir yang berbeza.

Kalau ada yang kata tak usaha, tak cari. Berapa banyaklah usaha yang perlu? Sampai ke tahap mana?

Tahu ke tidak yang kami-kami yang senasib ini ada usaha dan ada mencari. Tapi tak kan perlu di presentkan pada semua kan. Jagalah hati, mulut dan tulisan kita. Semua itu akan dipertanggungjawabkan pada kita semula nanti

Tak ada siapa yang suka-suka tak nak kahwin tak bersebab. Kita kena percaya Allah masih bagi kita peluang selagi bernafas.

Bila keluar rumah pakai muka yang ceria, happy supaya orang tak nampak dan tahu. Hidup kena gembira demi diri sendiri supaya kita tak terikut rasa sedih. Syaitan suka kalau kita rasa kita kecewa dengan apa yang Allah takdirkan.

Bersyukurlah pada yang dah bertemu jodoh. Hargai baik-baik. Terutama jika anda dapat pasangan yang baik. Jangan buat benda bodoh.

Belajar beryukur dan hargai orang yang terima dan sayang kita seadanya. Sedarlah, ada yang masih struggle dan berdoa saban hari mendapatkan apa yang anda ada.

Aku tau perkahwinan bukan semuanya indah. Ia juga bukan penamat kesudahan hidup. Bukan juga penentu kebahagian kita hidup.

Perkahwinan juga bukan semudah ABC kalaupun berkahwin atas dasar cinta. Tapi itulah hidup. Tak ada hidup tanpa ujian. Baik kahwin atau tidak ujian kita masing-masing akan tetap ada dengan cara berbeza.

Walau apapun juga nantinya, aku berterima kasih pada A. Dia buat aku sedar rupanya perasaan ini belum mati dan hilang. Terima kasih kerana dia, aku rasa happy dengan cara yang aku dan Allah saja tahu. Dia datang masa aku betul-betul down hal personal dan kerja.

Sungguh. Masa itu aku sangat-sangat down. Allah hadirkan dia dalam hidup ini, meminjamkan aku sedikit semangat dan rasa percaya pada diri sendiri.

Dia banyak ingatkan aku tentang diri sendiri, tentang takdir Allah. Nasihat benda yang kadang-kadang entahkan aku tak sedar atau terlupa.

Itu pandangan ikhlas aku pada A kalau pada dia aku ni tak macam yang dia cakap, itu bahagian dia. Manalah kita tahu hati dan fikiran orang kan. Aku cuma percaya dia lelaki yang baik pada pandangan aku. Aku doakan dia bahagia dunia akhirat. Ikhlas.

Dunia ini memang tempat ujian dan kita sebagai hambaNya sangat layak untuk diuji. Aku doakan semua readers dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.

Terima kasih sekali lagi pada yang sudi membaca. Maaf jika tulisan ini tidak sesempurna yang diharapkan, mengundang rasa tidak senang atau kedengaran kasar bagi sesetengah readers.

– Miss S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *