1bu B4pa Narsis

Narsisis. Itu perkataan yang aku mampu fikir untuk kedua ibu bapaku.

Namun mereka bukanlah narsisis sampai ke tahap abusive atau menderaku secara fizikal namun emosi dan mental aku terseksa.

Aku Pasha (bukan nama sebenar), seorang gadis berusia 25 tahun yang masih hidupnya ditentukan oleh ibu bapaku hanya kerana aku seorang sahaja anak perempuan mereka.

Dari kecil hidupku diatur sebegini dan sebegitu. Mungkin kerana bapaku masih trauma dengan perceraiannya dengan arwah ibu kandungku,

Di mana dia terpaksa meninggalkanku dan abangku bersendirian semasa kecil di rumah, tiada aturan, tiada pengawasan, dan dia mencuba untuk menutupi kesalahan lalunya.

Kini dia bersama-sama ibu tiriku yang aku anggap seperti ibu kandung cuba mengawal hidupku dari setiap aspek.

Aku cuba memahami trauma ibu bapaku tetapi aku tidak boleh menerima trauma mereka sebagai alasan untuk memberi trauma kepadaku.

Narsisis. Aku tidak boleh berpakaian dan berfesyen sebarangan seperti rakan-rakan sebayaku kerana itu tabarruj, ini aurat, meskipun aku telah menutupinya dan aku yakin tidak melanggar hukum agama tetapi tidak bagi mereka.

Contoh – aku memakai stokin tetapi berselipar, itu tetap aurat kerana menampakkan bentuk kaki walaupun stokin yang aku pakai itu hitam dan tidak jarang.

Tetapi mereka masih mahu aku kelihatan cantik seperti gadis-gadis lain yang mengenakan solekan, baju-baju berfesyen.

Narsisis. Dengan mengurungku di rumah tidak dan susah membenarkan aku keluar ke mana-mana bersama-sama dengan kawan-kawanku walaupun amat senang bagi adik beradik lelakiku yang lain dapat. Dengan alasan aku anak perempuan. Aku perempuan.

Aku tetap salah. Aku tetap hina. Anak perempuan itu sial. Itu yang aku rasa daripada cara mereka melayaniku. Membela sekandang lembukan lebih senang daripada membela seorang anak perempuan.

Nanti apa kata orang. Anak perempuan satu sahaja pun tidak pandai jaga. Itu kata-kata orang luar pada ibu bapaku apabila mereka menceritakan serba-serbi kesalahanku pada orang-orang luar itu.

Narsisis. Dengan megawal kebebasanku untuk memilih pengajian tinggiku suatu ketika dahulu. Tidak percaya dengan kebolehanku untuk memasuki menara gading,

Mereka memaksaku untuk meneruskan pelajaran hingga ke Tingkatan 6 dan hanya mendengar rayuanku untuk berhenti ketika aku mendapatkan tawaran sambung belajar di sebuah universiti terkemuka tempatan.

Aku yang terpaksa membayar yuran Tingakatan 6 aku sendiri atas desakan cikgu-cikgu hanya untuk berhenti pada hari esoknya. Aku tidak memandang rendah kepada sijil STPM. Aku cuma benci dan sedikit trauma dengan alam dan suasana persekolahan.

Narsisis. Dengan cuba menentukan hala tujuan masa depan dan kerjaku. Kerja swasta makan gaji, part-time itu bukan level mereka. Ketika aku curi-curi membuat part-time untuk mencari wang tambahan, mereka samakan aku dengan PATI.

Mereka memaksaku bekerja di sektor kerajaan dengan menggunakan ‘kabel’ mereka tanpa pengetahuanku, menyorokkon surat tawaran kerja, dan hanya memberitahuku tarikh perlu lapor diri dan bertugas tanpa persetujuanku.

Apabila aku membantah? Merekalah mangsa keadaan. Betapa susahnya mereka mendaftarkanku, meminta bantuan itu ini. Aku tidak jelas dengan apa yang aku nak. Aku yang memeningkan. Aku yang membebankan.

Akibatnya? Dari kecil aku memendam rasa seorang diri. Aku menangis kepada kawan-kawan dan pasangan akibat ibu bapaku walaupun sepatutnya sebaliknya yang berlaku. Aku move-on sendiri daripada bekas kawan-kawanku dan bekas pasangan-pasanganku.

Aku disahkan mempunyai ‘depression’ pada usia 20 tahun walaupun aku tahu aku sudah lama mengalaminya. Aku pergi ke klinik dan hospital berkat bantuan kawan-kawan tanpa pengetahuan mereka.

Aku banyak berahsia dan lebih selesa mengurung diriku dalam bilik. Aku cuba berlakon seperti tiada apa-apa, cuba bergaul dengan mereka tetapi hati dan nuraniku tersiksa.

Aku tak mampu menipu diri aku. Aku berdendam. Aku ingin membawa diriku jauh daripada mereka apabila aku berkahwin nanti. Oh lupa, berkahwin pun mereka tidak bagi. Itu salah ini salah.

Aku juga cuma mampu diam setiap kali berbincang kerana mereka tidak ingin mendegar jawapanku.

Mereka cuma ingin mendegar jawapan yang mereka ingi dengar keluar dari mulutku dan itulah yang terjadi setiap kali kami sekeluarga cuba ‘berbincang’. Aku jadi bijak menipu.

Aku teliti dengan jadual mereka dan bila waktu aku boleh bertindak bagi memperuntukkan masa untuk diri aku.

Mungkin kesan yang paling teruk, rasa sayangku makin pudar dan hilang. Hanya tinggal perasaan taat dan patuh kerana takut dimarahi dan takut kepada balasan sebagai anak derhaka.

– Pasha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *