1steri Yang Tawar Hati

Assalamualaikum. Nama aku Kemboja (Nama samaran). Aku dan suami dah berkenalan selama 8 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Usia perkahwinan pun telah memasuki 15 tahun. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka.

Kami menunggu 7 tahun sebelum mendapat anak sulung dan sekarang ni kami telah dikurniakan 3 anak. Anak sulung pun telah memasuki darjah 2 (8 tahun umurnya).

Sebelum dikurniakan anak sulung, bermacam-macam usaha dan ikhtiar yang telah dilalui seperti rawatan moden, rawatan trasidional hinggalah islamik yang telah kami buat.

Suami aku seorang yang baik dan membantu aku membuat kerja rumah seperti membasuh baju, menyapu sampah, membasuh pinggan mangkuk, menjaga anak, bawa anak ke taman dan sebagainya.

Suami tidak pandai memasak, tapi itu pun aku tak kisah kerana aku rela memasak.

Umur kami memasuki 40 dan kami adalah sebaya.

Aku berkerja office hour (8am-5pm) dan cuti sabtu ahad manakala suami bekerja secara syif 1pm-8pm dan hanya cuti 1 hari pada hari biasa. Jadual cutinya tidak tentu kerana bergantung kepada giliran syif.

Berbalik pada tajuk di atas, minggu lepas merupakan hari lahir aku.

Apa yang menyedihkan aku, suami tidak menghadiahkan apa-apa kepada aku. Tidak ada hadiah dan tidak ada sambutan yang istimewa.

Yang ada hanyalah, dia mengajak kami berlima ke KFC yang mana bagi aku hari-hari biasa pun kami telah biasa pergi ke KFC. Tiada kejutan, tiada doa dan tiada hadiah.

Aku tidak meminta hadiah yang mahal pun. Yang ada hanyalah ucapan “Happy Birthday”.

Tiada doa seperti “Semoga panjang umur, murah rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik dan lain-lain” sepertimana rakan-rakan lain ucap pada aku.

Aku bukanlah nak mengungkit apa yang aku dah buat. Tapi, pada hari lahir suami aku sebelum-sebelum ini, aku buat element kejutan, aku buat surprise delivery dengan menghantar kek ke pejabat dia.

Pulangnya dia daripada pejabat, dia kata lain kali jangan buat surprise delivery ke pejabat, dia tak suka.

Beberapa tahun lepas, aku hadiahkan smartphone kepadanya memandangkan suami masih tiada smartphone. Yang dia dia suka. Aku tak kisah berhabisan sedikit duit demi suami tercinta.

Masa hari lahirnya juga, aku dan anak-anak bersama-sama nyanyikan lagu “Happy birthday” kepadanya beramai-ramai dan bagi aku moment tu sangat indah.

Aku suka mengambil gambar dan video sebagai kenangan. Tapi suami aku sebaliknya. Yang diambil hanyalah gambar dan video anak-anak sahaja. Sedih hati aku. Kecil sungguh hati aku.

Suami juga tidak pernah back up aku jika ada kes yang melibatkan keluarga mertua.

Kami pernah menghadiri satu jemputan kenduri kesyukuran dan sesampainya di majlis tersebut, aku jadi pening kepala, nafas tercungap-cungap, sakit perut, berpeluh, rasa nak muntah dan rasa macam nak mati.

Muka aku memang tak boleh nak kawal (tak boleh nak control ayu) disebabkan aku sakit sangat dan perkara ni terjadi secara tiba-tiba.

Aku menunggu suami siap makan dan mengajaknya pulang tergesa-gesa sebab aku dah tak tahan sangat.

Aku akui aku bermuka masam (sebab menahan sakit) dan tidak sempat untuk menyapa mertua dan tetamu yang hadir sama ke majlis tersebut.

Sudahnya, beberapa hari selepas majlis mertua merungut kepada suami yang aku bermuka masam depan semua orang.

Suami sikit pun tak back up aku. Perkara ini yang membuatkan aku sedih sangat. Rupa-rupanya sewaktu kejadian tersebut, aku telah mengandung 8 minggu tanpa sedar.

Perkara ini sangat meruntun hati aku. Aku memang luahkan kepada suami. Dia hanya diam sahaja dan lastly dia hanya ucap minta maaf.

Suami juga pernah membiarkan aku bersama 2 anak (umur 4 tahun dan 2 tahun) menempuhi perjalanan pulang dari kampung ke rumah kami yang berjarak 350km.

Suami telah pulang dulu ke rumah kami dan berjanji akan jemput aku dan anak-anak di kampung. Aku rasa sangat terkilan.

Sepanjang perjalanan, aku doa banyak-banyak agar kereta tidak rosak, tiada kemalangan dan perkara-perkara buruk yang berlaku kepada aku dan anak-anak.

Rumah yang kami duduki sekarang aku beli atas nama aku. Aku tidak kisah suami tinggal bersama walaupun bayaran pinjaman rumah aku yang tanggung sorang-sorang.

Suami bayar bil astro, bil air, bil elektrik dan yuran taska anak manakala aku membayar yuran persekolahan anak.

Untuk bayaran kereta aku dan dia, masing-masing bayar sendiri dan kami telah 8 tahun telah bebas hutang kereta. Untuk makan dan minum, kami sama-sama keluar belanja.

Tiada istilah nafkah bulanan untuk aku walaupun aku pernah minta suami untuk memberi nafkah RM50 atau RM100 sebulan, itupun suami tak pernah beri.

Aku pernah memberitahu dia, walaupun gaji isteri setinggi mana, suami tetap perlu beri nafkah bulanan untuk isteri.

Suami akan menanggung dosa jika tak berbuat demikian. Bila aku beritahu ayat ni, suami aku diam sahaja. Entahlah, aku pun dah malas nak meminta. Biarlah dia menanggung dosa.

Untuk pengetahuan pembaca juga, aku bergaji 2kali ganda lagi tinggi daripada suami. Aku bergaji 7K manakala suami bergaji 3.5K.

Suami sering luahkan yang rezekinya payah, kereta seringkali rosak dan nasibnya selalu tidak baik terutamanya melibatkan hal di pejabat.

Aku katakan padanya, nasibnya tidak baik mungkin sebab dia tidak menghargai isteri dan tidak menjaga hati isteri. Aku kongsi juga video ceramah ustaz-ustaz berkenaan pemberian nafkah kepada isteri, penghargaan kepada isteri.

Tapi itulah, ianya tidak memberi kesan kepada suami aku. Kadangkala aku pun sudah penat dan tawar hati. Agaknya akulah yang bernasib malang. Kadangkala aku tawar hati sampai rasa macam nak berpisah.

Aku rasa aku ini adalah teman serumah (housemate) dan bukanlah isteri (soulmate).

Aku tak nak berlaku curang kerana aku tahu ianya berdosa dan aku masih sayangkan anak-anak dan rumahtangga yang dibina. Aku cuma nak rasa diri aku dihargai dan dirai serta disayangi sebagai isteri.

Itu sahaja. Aku tak minta lebih pun. Aku hari-hari doa moga Allah jadikan suami aku suami yang romantik, mengasihi dan menyayangi aku.

Itulah sahajalah usahaku, telah habis dayaku.

Pembaca budiman, mohon doakan aku ya!

-isteri yang tawar hati-

– Kemboja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *