Assalamualaikum dan salam sejahtera semua…
Saya tak pandai menyusun ayat, ini bukan confession pertama saya. Saya pernah menghantar beberapa confession lain namun dengan tajuk yang berbeza. Biasanya, saya suka melihat komen-komen membina dari pelbagai latar belakang.
Berkenaan dengan tajuk, serba sedikit tentang saya—seorang wanita pertengahan umur, seorang ibu kepada seorang anak susuan yang dijaga sedari umur 1 hari hingga kini sudah bersekolah rendah, alhamdulillah.
Perjalanan untuk mendapatkan zuriat sendiri hampir 11 tahun TTC, bermula dengan kehilangan anak yang dikandung pada usia kandungan 8 bulan (jantung bayi berhenti), keguguran demi keguguran, dan kini sedang mengandung.
Namun, situasi kandungan adalah 50/50 dan hanya menanti masa sama ada kandungan ini akan gugur sendiri atau saya perlu serah diri di hospital minggu depan.
Saya bekerja dalam bidang korporat, memegang jawatan sebagai Ketua Pengurusan namun kini diuji dengan tidak bergaji selama lebih dari 3 bulan bermula Oktober 2025.
Saya menyara hidup dengan simpanan yang ada serta pendapatan suami, namun keadaan sangat-sangat memeritkan. Ditambah pula dengan persediaan persekolahan anak, persediaan Ramadan, dan juga komitmen saya sendiri.
Pendapatan suami sebagai pekerja sektor kerajaan tidaklah besar mana, namun segala nafkah wajib telah ditunaikan dan itu adalah rahmat buat saya.
Ujian bermula apabila syarikat saya bekerja disiasat atas masalah penyelewengan wang oleh pihak atasan dan akaun bank dibekukan, menyebabkan kami pekerja-pekerja menanggung akibat. Ramai pekerja mula mencari pendapatan sampingan lain.
Saya juga mempunyai pendapatan sampingan sebelum ini sebagai penulis bebas (korporat), membina laman sesawang dan pelbagai lagi.
Namun, saya tak mampu untuk kekalkan dua pekerjaan kerana tuntutan tugas yang sangat mencabar dan akhirnya pendapatan sampingan saya terhenti seketika pada tahun 2024.
Kemudian saya disahkan mengandung, namun kandungan bermasalah. Bayangkan kegembiraan saya kerana sudah lama mengidamkan zuriat sendiri, akhirnya hampir tiada cahaya di hujungnya.
Akibat stres bekerja dan gaji yang tiada, adakalanya suami mengeluh, membuatkan keadaan kesihatan saya merosot dan kandungan saya bermasalah.
Saat menulis confession ini, doktor telah pun mendiagnosis kandungan saya sebagai missed miscarriage dan menanti masa untuk gugur sendiri. Namun, saya masih berharap agar ada keajaiban.
Kesedihan ini ditambah dengan alahan yang tidak pernah berkurang, penipuan demi penipuan pihak atasan tentang gaji kami, serta tuntutan komitmen saya dan perbelanjaan anak.
Untuk pengetahuan semua, anak ini adalah anak susuan saya bersama bekas suami terdahulu, dan memang menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan semua keperluan.
Suami sekarang ada membantu, namun dia juga punya tanggungjawab kepada anak-anaknya bersama bekas isteri, jadi saya tak mahu membebankan suami saya.
Bayangkan, simpanan saya hampir habis dan saya menangis memohon keampunan serta bantuan daripada Allah.
Dengan tidak semena-mena, bekas suami memberi bantuan kewangan persekolahan kepada anak saya, dan kedua ibu bapa saya pula memahami keadaan saya kini lalu mereka menaja sepenuhnya keperluan pakaian sekolah anak saya. Allah… nikmat apa lagi yang ingin saya dustakan.
Allah sahaja yang mendengar keluhan hati saya setiap malam. Saya memohon agar dibukakan pintu rezeki yang lain dari arah yang tidak disangka-sangka.
Urusan tunggakan gaji, saya tidak nampak jalan untuk syarikat melangsaikan hutang gaji dalam masa terdekat, atau mungkin langsung tidak dapat. Bukan sedikit jumlahnya, mencecah belasan ribu. Segala komitmen saya tertangguh.
Saya cuba mencari kerja yang pernah saya lakukan sebelum ini, namun masih belum ada yang sangkut dengan keadaan saya yang sedang mengandung tanpa kepastian, umur yang sudah pertengahan, dan hanya mampu bekerja dari rumah berbekalkan laptop, internet, serta telefon sahaja.
Saya tidak menyangka ujian demi ujian Allah letakkan pada permulaan 2025. Saya reda dan mohon secebis kekuatan daripada Allah.
Hubungan dengan suami pula makin retak, mungkin sebab keadaan emosi saya tidak stabil menyebabkan suami jadi bosan.
Dia menganggap saya membesar-besarkan keadaan, sedangkan ramai wanita yang keguguran, tanpa mengambil kira emosi saya yang telah berjuang selama 11 tahun untuk memberi zuriat kepadanya.
Namun, urusan rumah tangga saya serahkan sepenuhnya kepada Allah… agar ada titik noktah sama ada suami masih memerlukan saya dalam hidupnya atau sebaliknya.
Saya juga berniaga di TikTok dan Shopee dalam bidang busana Muslimah, namun dengan modal yang sudah pun lebur kerana menampung keperluan lain, perniagaan saya pun terhenti kerana tiada tambahan modal pusingan untuk restock barang.
Jika ada yang memerlukan perkhidmatan saya sebagai pekerja bebas (penulisan korporat, kertas kerja, pengurusan media sosial, suntingan video, bina laman sesawang, pengurusan umrah)
Atau apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan dengan berbekalkan ilmu, pengalaman, dan laptop saya ini, bolehlah tinggalkan komen dan saya akan PM menggunakan akaun Facebook sebenar saya.
Sedih rasa hati… Saya mengharapkan 2025 menyambut saya dengan baik, namun sebaliknya… ujian demi ujian. Doakan saya untuk bangkit semula. Urusan zuriat dan rumah tangga saya serahkan sepenuhnya kepada Allah… Hasbunallah wa ni‘mal wakeel.
Saya mohon doa semua… mana tahu dalam ramai-ramai yang membaca, ada satu doa yang Allah angkat ke langit… Maaf andai susunan ayat berterabur, seperti dalam kepala saya sekarang.
(Terima kasih admin. Kalau ada perlukan moderator, editor, atau apa-apa kerja, boleh maklumkan kepada saya, ya.)
– Hamba Musafir (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Insya-Allah saya mendoakan semoga segala kekusutan puan Allah akan rungkaikan satu persatu sehingga tercapai segala yang dicita. Ada hikmah yang tersembunyi insya-Allah…
Semoga ujian ini mengangkat darjat puan.Jgn lupa sedekah 2% drp gaji kpd zakat.Sedekah org susah asnaf pun boleh.Buh dlm tabung masjid pun ok.
Semoga luas rezeki puan.Jgn fikir banyak sgt…serah pd Allah.Jgn termakan dgn jarum2 syaitan yg buat puan serabut smpai putus asa.
Salam puan..sy doakan puan sekeluarga sihat serta tabah menghadapi dugaan ini..amin.