3 Bulan Takdir Hidupku

Graduate 2014. Perempuan. Bujang. Umur 29 tahun. Sampai sekarang masih dalam proses mencari pekerjaan. Sampai sekarang masih single dan available.

Matlamat hidup yang ingin dicapai sekarang adalah mencari pekerjaan yang tetap dan stabil. Selain itu, mencari teman hidup yang boleh memberikan semangat untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.

Jika tidak dapat kedua-duanya dalam waktu terdekat sekarang ini, harapannya moga dapat salah satu sudah cukup buat diri ini. Moga tahun 2020 ini nasib diri berubah sepenuhnya.

Terima kasih banyak admin menyiarkan cerita saya ini. Moga bermanfaat untuk semua.

Hidup saya ini penuh dengan cacamarba. Latihan industri selama 6 bulan di Syarikat Berkanun ZS. Selepas itu, 3 bulan duduk di rumah menganggur.

Selepas 3 bulan, pihak Syarikat Berkanun ZS panggil datang balik bekerja dengan mereka kontrak 3 bulan sahaja. Menerima dengan hati terbuka bekerja dengan pihak Syarikat Berkanun ZS walaupun sekejap. Selepas 3 bulan, menganggur kembali selama 3 bulan.

Kemudian pihak Syarikat Berkanun ZS panggil datang kembali bekerja kontrak 3 bulan lagi. Hati sudah tertutup untuk kembali bekerja dengan mereka.

Jika pihak Syarikat Berkanun ZS offer 2 tahun kontrak, hati ini terbuka juga menerima kerja tersebut. Tidak dapat menerima tawaran yang diberikan pihak Syarikat Berkanun ZS. Menganggur kembali selama 6 bulan.

Sudah puas duduk rumah menganggur 6 bulan, gigih mencari kerja di Indeed. Akhirnya, dapat interview di sebuah syarikat swasta YR di Subang Jaya. Berjaya diterima masuk bekerja.

Duduk rumah abang di Setia Alam. Berulang-alik daripada Setia Alam ke Subang Jaya selama 3 bulan dengan menaiki motosikal yang baru sahaja beli secara loan dengan Aeon Credit Service. Kemudian, dapat offer bekerja di sebuah syarikat swasta berdekatan dengan kampung.

Ambil peluang tersebut, berhenti bekerja di Syarikat YR ini untuk bekerja di syarikat yang berdekatan kampung. Rupa-rupanya, syarikat tersebut hanya scammer sahaja. Nasi sudah menjadi bubur.

Terpaksa menerima hakikatnya. Mengganggur lagi hampir 3 bulan juga. Menyesal sudah sampai ke hari ini, kenapalah berhenti kerja di Syarikat YR tersebut. Jika terus bekerja disini, sudah pasti hidup saya sekarang bertambah baik. Ada kerjaya. Ada kereta. Ada rumah. Maybe, sudah berkahwin.

Zaman sekarang, zaman materialistik. No Money No Talk. Mana ada lagi lelaki yang hendakkan perempuan yang tidak bekerja. Sekarang pun, lelaki gold digger juga.

Saya pernah kena juga lelaki macam ini. Tidak sampai sebulan kenal, dah nak pinjam duit hampir RM1,000. Apa lagi, memang minta kena unfriend dan block lah lepas itu. Sorry, lari topik pulak.

Minta kerja menjadi Pekerja Sambilan Harian (PSH) di sebuah agensi kerajaan BJ, berdekatan rumah. Alhamdullilah, diterima bekerja tapi untuk kontrak 6 bulan. Sudah muak dengar perkataan 3 @ 6 bulan itu. Naik menyampah dengar perkataan 3 @ 6 bulan tersebut.

Apa salahnya, ambil bekerja terus selama 2 tahun kontrak. Geram juga hati ini. Tapi, tiada pilihan masa itu, terpaksa menerimanya dengan hati terbuka. Itupun, disebabkan ada komitmen kena bayar motosikal tersebut setiap bulan.

Selepas 3 bulan, diberhentikan bekerja kerana kerajaan tiada bajet untuk menyambung kontrak kembali untuk baki 3 bulan lagi. Hati ini, rasa marah sangat bila dapat berita ini. Pada masa yang sama, hati terasa kosong gila, nak bunuh diri pun ada pada masa itu. Dalam kepala sudah berlegar-legar benda itu.

Kenapalah, hidup aku begini? Kenapa? Kenapa? Rasa stress teramat sangat masa itu. Tujuan hidup terus hilang. Sudah tidak dapat nak bertahan untuk optimis tentang kehidupan lagi. Rasa down yang teramat sangat.

Setelah 3 bulan menganggur, diri mencari kekuatan kembali untuk mencari pekerjaan di sekitar rumah. Alhamdullilah, diterima bekerja sebagai seorang jurujual di sebuah kedai SP, berdekatan rumah. Jadilah, untuk menampung keperluan diri dan komitmen setiap bulan untuk membayar motosikal.

Alhamdullilah, azam diri untuk bertahan lama bekerja selama 2 tahun daripada 8 Januari 2017 sehingga 30 Jun 2019.

Syarikat tersebut bankrupt, tidak dapat bertahan untuk meneruskan perniagaan tersebut. Paling bangga bekerja di sini sebab dapat bertahan selama 2 tahun. Terima kasih banyak-banyak atas peluang yang diberikan kepada saya.

Hati terasa sayu yang teramat sangat bila majikan bagitau untuk menutup perniagaannya. Hati tidak dapat menampung kesedihan untuk kembali menganggur. Berlegar kembali rasa hendak bunuh diri tersebut. Sebaik ada secebis keimanan dalam diri ini untuk menghadapinya.

Alhamdullilah, sebelum berhenti kerja, sudah habis bayar motosikal. Akhirnya, tercapai matlamat tiada komitmen untuk dibayar setiap bulan.

Untuk pertama kali, saya tidak menunggu lama. Cukup sebulan, terus mencari kerja yang lain. Diterima bekerja di sebuah kedai DH ini. Tempoh percubaan selama 2 bulan.

Setelah 2 bulan bekerja, keperibadian saya tidak sesuai dan tidak dapat memenuhi syarat yang diingini oleh majikan tersebut untuk meneruskan bekerja di sini.

Saya redha. Saya terima. Saya pun tidak mengharap sangat.  Saya tahu kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Bukan semua orang mampu menerimanya.

Satu nasihat yang saya boleh berikan kepada kesemua majikan di luar sana. Hal peribadi jangan dibawa masuk dalam meeting. Itu namanya membuka dan mengaibkan diri orang tersebut. Cukup dalam meeting hanya berkaitan dengan hal kerja sahaja. Cukup hal peribadi ditegur secara personal only.

Untuk hal kerja, beribu kali ditegur dalam meeting pun tidak apa. Tapi, jika hal peribadi, lebih baik ditegur secara private only.

3 bulan berlalu. Terasa begitu cepat masa berlalu. Saya mengisi borang kekosongan Pekerja Sambilan Harian (PSH) di sebuah agensi kerajaan TK ini. Alhamdullilah, diterima untuk kontrak 3 bulan. Saya terima tawaran tersebut.

Pada masa yang sama, hati saya takut pisang berbuah dua kali. Tapi, saya terpaksa terima untuk menampung keperluan dan kemahuan saya seharian. Teringin juga berbelanja sana sini. Kalau tidak bekerja, tidak dapat duit, tidak dapat nak beli keperluan hidup. Bekerjalah saya selama 3 bulan tersebut.

Sepatutnya, kontrak boleh disambung lagi selepas 3 bulan. Tapi, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kemungkinan kontrak tidak dapat disambung sehingga PKP ini berakhir. Itupun, selepas PKP tidak pasti dapat disambungkan lagi atau tidak.

Menyusahkan dan menambahkan bebanan kerja bahagian sumber manusia dan kerani yang terlibat sebenarnya jika ambil pekerja kontrak 3 bulan ini. Setiap 3 bulan, kena upgrade pengambilan pekerja-pekerja tersebut.

Begitulah kehidupan saya selepas graduate. Kadang-kadang, terasa lucu hidup begini ditentukan oleh 3 bulan tersebut. Saya naik muak, menyampah, geram, sakit hati dan pelbagai macam perasaan negatif dengan perkataan ‘3 bulan’. Semak kepala dengan ‘3 bulan’ ini.

Tambahan pula, kekadang itu, terasa diri ini teraniaya pun ada sebenarnya. Tapi diri ini cuba bangkit dan teruskan hidup ‘Follow The Flow’ dan tidak berharapan besar supaya tidak akan kecewa sangat.

Mesti anda tertanya, kenapa tidak minta kerja lain? Saya juga tidak dapat kerja jauh daripada rumah kampung sendiri disebabkan masalah keluarga. Jika tiada masalah, sudah lama merantau jauh ke KL mencari kerja.

Sudah berpuluh kali minta kerja dengan hantar resume sana sini. Interview sana sini, tidak dapat juga kerjanya. Ironinya, rezekinya dan takdirnya dengan kerja 3 bulan juga dapatnya. Hendak buat macam apa lagi.

Bersyukurlah bekerja walaupun hanya sekejap sahaja tempohnya daripada tidak dapat kerja terus-menerus. Itulah pandangan saya.

Saya dengan ini mendoakan kesemua Pekerja Sambilan Harian (PSH) diserap masuk terus bekerja secara tetap dan tiada lagi pengambilan pekerja selama kontrak 3 bulan tapi ditukar terus kepada kontrak 2 tahun. Aamiin. Moga Allah makbulkan doaku ini.

– Twilight91 (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *