Assalammualaikum & salam sejahtera pembaca IIUM confession.
Sebelum aku mulakan cerita, aku perkenalkan diri aku sebagai Audelia. Semestinya, bukanlah nama sebenar aku, ini cuma nama yang aku pinjam daripada bahasa Inggeris lama yang membawa makna kuat & mulia.
Semoga aku juga mampu terus kuat menjalani hidup yang kadang tak indah dan mampu menjadi manusia yang bersifat mulia dan memuliakan orang lain juga.
Aku pembaca tegar IIUM sejak IIUM diwujudkan. Dan kebiasaannya, confession yang sangat menarik hati aku adalah disebabkan ada banyak persamaan dengan kehidupan aku.
Boleh rujuk confession berikut antaranya :
https://iiumc.com/anak-
https://iiumc.com/bapa-tak-
https://iiumc.com/abuya-yang-
https://iiumc.com/tolonglah-
Aku berusia awal 30-an, baru sahaja menamatkan zaman bujang dengan pilihan hati aku dan bekerja di ibu kota. Alhamdulillah, sehingga saat ini, kehidupan masih stabil walaupun tidak mewah. Masih mampu memenuhi komitmen, keperluan hidup, dan menyumbang kepada keluarga.
Bila aku terbaca confession mengenai bapa yang tidak bertanggungjawab dan penderaan mental anak dan isteri dengan sikap seorang bapa dan suami, pasti confession itu akan menarik perhatian aku dan dibaca berulang kali.
Lalu aku meletakkan empati kepada confessor, kerana hampir kesemuanya dialami dan berkaitan juga dengan kehidupan aku.
Semasa kecil, kehidupan aku bukanlah seperti hidup kanak-kanak lain yang keluarganya bahagia, yang disayangi bapa. Lebih banyak kesedihan dan kesusahan yang berpuncakan bapaku sendiri.
Aku selalu cemburu dengan kawan-kawan yang keluarga mereka bahagia, yang disayangi bapa sendiri, yang selesa & seronok dipeluk bapa sendiri.
Pernah semasa aku sekolah menengah, aku berhasrat menulis nota luahan hati dan membunuh diri kerana tidak tahan seksanya kehidupan dengan bapa yang toksik.
Harapan aku waktu itu, dengan kematian aku, bapa aku akan sedar betapa toksiknya dia dalam kehidupan keluarga kami.
Mujur, iman masih ada dan aku memikirkan ibu aku, lalu aku batalkan hasrat membunuh diri itu.
Sehinggalah pada saat umur aku sudah melebihi suku abad ini, bapaku masih lagi seperti dahulu, malahan lebih teruk lagi. Terlalu banyak onar dan keburukan dia sehinggakan aku tak mampu lagi menghormati dia sebagai seorang bapa.
Apabila ada orang yang mengatakan anak perempuan akan lebih rapat dengan bapa dan mengidolakan bapa serta mahukan suami seperti bapa mereka, ingin saja aku jerit kepada mereka, tak semua anak perempuan sebegitu.
Kerana hakikatnya, aku sangat benci kepada bapa aku dan tidak mahu suami seperti bapa aku.
Kerana pada aku, bapa aku adalah sampah dan biawak hidup yang tak seharusnya hidup di dunia ini. Betapa aku sangat membenci bapa aku sendiri sehingga kerap aku doakan dia meninggal dunia.
Ya, aku mendoakan dia meninggal dunia sebab aku dah penat berdoa bertahun-tahun memohon kepada Yang Esa supaya dia berubah & mampu menjadi suami & bapa yang baik kepada keluarga kami.
Tetapi, saban masa, dia semakin bertambah teruk dan membuatkan kami semakin membenci & mendoakan dia meninggal dunia supaya tidak bertambah dosa kami kepada dia.
Aku tahu, mesti ramai yang akan marah dan kecam kenyataan aku ini, yang akan mengatakan bahawa bapa seharusnya disayangi & dihormati, bukannya dibenci dan didoakan kematiannya.
Ketahuilah, jika anda tidak berada di tempat kami : isteri dan anak-anak yang teraniaya & didera mental, anda tidak akan faham. Bersyukurlah apabila anda mempunyai keluarga yang bahagia & ketua keluarga yang bertanggungjawab.
Mungkin ada yang tertanya, kenapa aku terlalu membenci bapa aku.
Banyak faktornya. Antaranya, sikap bapa aku yang seperti banyak lelaki lain yang tidak bertanggungjawab. Menjadi biawak hidup dalam keluarga. Menjadi duri dalam keluarga.
Berjudi.
Mencuri duit anak.
Menipu anak demi duit.
Menjadikan anak sebagai bank.
Menjadikan ibu aku sebagai bank & tempat melepaskan amarah.
Melayani ibu aku seperti orang gaji.
Kahwin lain dengan perempuan Indonesia padahal tidak mampu.
Mengabaikan nafkah & keperluan keluarga.
Dia sahaja betul & orang lain tidak boleh persoal cara, keputusan, dan tingkah lakunya.
Memburukkan keluarga sendiri kepada orang lain walaupun hakikatnya dia punca segalanya.
Bergaduh dengan adik beradik sendiri & menabur cerita sana sini.
Bekerja tapi tidak nampak hasilnya entah ke mana.
Gebang seolah-olah dia paling hebat dan terbaik.
Banyak lagi sebenarnya, tak terkira. Sehingga tahap aku cuba imbangkan kebaikan dia dan keburukan, namun kebaikan itu umpama tidak wujud langsung. Mungkin pada orang lain, faktor ini seperti tidak ada apa, tapi, kesannya kepada kami hingga sekarang masih dirasa.
Dapat duit KWSP, dia perhabiskan seorang diri. Joli sana sini. Bawa bini Indonesia berjalan sana sini. Hulur pada ibu hanya RM1000 yang kemudiannya diminta semula. Berpuluh ribu duit KWSP, tak sampai 2 bulan habis. Tak nampak hasil.
Ibu aku dapat duit pembahagian harta pusaka keluarganya, bapa aku minta ibu aku belikan macam-macam. Beli motor, handphone, minta duit. Bila ibu aku enggan penuhi, dia marah-marah, merajuk dan mengatakan ibu aku berkira dan kedekut.
Walhal duit itulah yang ibu aku gunakan untuk keperluan harian dan keperluan sekolah kami waktu itu. Bayangkan, lebih RM30k, ibu aku tak dapat guna untuk dia langsung. Semua dia gunakan untuk keperluan keluarga kami dan terpaksa melayani kehendak mengarut bapa aku.
Duit raya adik aku pernah hilang. Adik aku tanya jika bapa aku ada ambil tetapi dia tak mengaku. Walhal, dia curi dan sorok dompet adik aku tu dalam beg dia. Kantoi sebab satu hari adik aku bukak beg itu untuk cari barang, dan jumpa dompet dia yang hilang.
Waktu sekolah, ibu aku yang usaha untuk kami bayar yuran, belanja sekolah. Mujur aku dapat biasiswa, dapat aku gunakan untuk keperluan sekolah aku.
Tapi untuk adik-adik lain, ada masanya mereka lewat bayar sehingga diperli cikgu. Duit makan, dapat 50 sen dah kira bertuah. Bawa RM1 itu mewah. Kadang-kadang ke sekolah tidak berduit. Waktu rehat duduk di kelas dengan alasan malas keluar, padahal tiada duit makan.
Jika sesekali minta pada bapa aku, dia akan marah-marah dan mengatakan supaya tak perlu pergi sekolah kerana membazir. Jika cikgu minta derma untuk aktiviti, dia akan cakap pada kami supaya suruh cikgu buat surat rasmi walaupun cuma 10 sen.
Duit bas sekolah, kerap tertangguh sehingga diperli pakcik bas sekolah kerana naik bas tapi tak bayar. Rombongan sekolah? Jangan harap kami dapat pergi. Bapa aku akan cakap dia tiada duit nak bayarkan. Tapi beli rokok ada je duit.
Waktu hari raya, mesti akan ada drama yang dia cetuskan. Taknak bergambar, taknak pakai baju raya, taknak bersalam, gaduh tentang rebus ketupat, ada saja benda nak digaduhkan. Padahal dia bukan menolong apa waktu raya. Yang dia tahu, start motor, pergi melepak.
Tapi bila kami ada terlupa tentang sesuatu macam terlupa rebus ketupat, terlupa beli itu ini, dimarah macam kami ni tak berguna. Bila bersalaman raya, dia takkan minta maaf, sebab katanya, dia takkan minta maaf dengan orang. Orang wajib minta maaf dengan dia. Tapi bila dihulur duit raya, tersengih macam kerang busuk
Adik aku accident teruk dan masuk wad lama, kena masuk pusat pemulihan fisio, dia buat taktahu. Umpama tiada anak. Datang tengok, lepastu gebang sana sini cakap anak accident teruk, tapi dia langsung tiada inisiatif nak tolong jaga bermalam ke, uruskan claim insurans ke.
Adik aku ke pusat pemulihan pun dia tak pernah jenguk. Semua perkara kami usahakan sendiri. Tapi bila adik aku dapat duit insurans, laju je dia hulur tangan meminta.
Dia berjudi di mesin judi, berjudi online, duit habis entah berapa banyak. Duit habis, diminta pada anak-anak dan ibu aku.
Ada masa kami bagi sebab malas nak menghadap kerenah & amarah dia jika kehendak tak dipenuhi. Tapi ada masa kami bosan melayan, dia akan memaki & memarahi kami seolah-olah kami anak derhaka.
Dia melayani ibu aku seumpama ibu aku bukan isteri. Makanan mesti siap dimasak sebelum dia balik makan. Jika tidak, mulalah suara dia memetir memarahi ibu aku mengatakan ibu aku lembab, pemalas, hanya tahu tidur, dan bermacam lagi tuduhan mengarut.
Bebelan dia akan berterusan sehingga tahap mengatakan menyesal kahwin dengan ibu aku, ibu tak guna.
Walhal, ibu akulah yang seharian bergerak ke sana sini membuat pelbagai kerja rumah. Memasak, mencuci baju, mengemas. Mujur ada adik aku yang rajin juga membantu.
Aku jadi marah bila bapa aku marah pada ibu aku, sebab aku rasa dia langsung tak layak untuk naik suara dan marah pada ibu aku.
Bila dia marah dan ibu melawan semula disebabkan tidak tahan dengan makian dan bebelan, dia akan mengatakan ibu sebagai isteri derhaka dan kena dengar cakap suami.
Sakit hati aku kalau dengar dia cakap macam itu. Sendiri pun jadi suami tak betul, ada hati menasihati isteri yang dah banyak berkorban macam-macam dengan dia.
Pernah sekali aku dalam bilik, waktu itu cuti semester, bapa aku memarahi ibu aku dan ibu aku diam, aku dari bilik bercakap kepada ibu aku supaya tidak melayan bapa aku.
Bapa aku naik angin mendengar ayat aku dan mengatakan, “kau jangan nak kurang ajar dengan bapak kau”. Menggigil aku tahan marah masa tu.
Bab nafkah, jangan ditanya. Sangat jarang dia membeli keperluan rumah. Alasannya duit tiada. Sesekali bila dia banyak duit (ibu aku kata dia menang judi), dia akan berbelanja banyak. Tapi aku ragu-ragu nak gunakan apa yang dibeli.
Paling kerap, dia minta duit dengan ibu aku. Setiap hari RM5, RM10, RM20. Kadang ibu aku hulur. Kadang tidak. Tapi itulah, ibu aku ada masa lembut hati, diturut juga kehendak bapa aku tu.
Sejak aku bekerja, setiap bulan aku peruntukkan hampir separuh gaji aku untuk keluarga aku. Juga aku gunakan banyak daripada duit gaji & bonus untuk perbaiki rumah.
Alhamdulillah, daripada rumah yang umpama bangsal, akhirnya kini menjadi rumah yang lengkap dan hampir sempurna.
Berpuluh ribu duit aku peruntukkan untuk buat renovation & beli perabot, barang elektrik, dan sebagainya. Semuanya aku buat untuk ibu aku, aku nak ibu aku selesa & dan seronok dengan rumah yang selesa.
Gaji aku tidaklah besar, jika di ibu kota, masih kategori miskin bandar. Katakan gaji aku RM3,000, RM1,000 aku beri kepada ibu untuk keperluan rumah.
RM100 aku beri kepada bapa. Sengaja aku beri sedikit kerana aku tahu dia akan habiskan duit untuk diri sendiri. Jika diberi lebih, entah ke mana duit itu akan pergi.
Juga aku tahu, kerana dalam sebulan tu, akan banyak kali dia mintak duit lagi daripada aku. Ada sahaja alasan dia nak minta duit aku. Tayar bocorlah. Nak bayar yuran menembaklah. Nak pergi situlah. Nak betulkan motor lah. Banyak sangat alasan dia.
Aku umpama bank dia, sebab adik-adik lain memang jarang melayan kerenah dia. Aku selalu kena tegur dengan adik-adik aku supaya tidak melayan sangat kerenah dia yang suka minta duit, sebab dia akan naik kepala, seronok permintaan dilayan.
Tapi aku pula, jadi tak sampai hati bila bapa aku minta duit. Walaupun aku benci dia, tapi ada masa aku terpaksa layan kerenah dia yang terlalu kerap minta duit sebab aku taknak dia susahkan ibu aku atau berhutang dengan orang lain.
Apabila aku mahu berkahwin, dia meletakkan hantaran yang agak tinggi buat tunang (kini suami).
Tunang aku pula dah faham kerenah dia, maka dia setuju sahaja, dengan syarat duit hantaran itu aku yang uruskan. Duit hantaran & duit kahwin kami sama-sama usaha sendiri sebab kami ada buat bisnes kecil-kecilan.
Sales & untung bisnes itulah yang kami kumpul untuk persiapan majlis & wang hantaran. Alhamdulillah, hampir RM25k kami dapat kumpul. 100% majlis kami menggunakan duit kami.
Bapa aku tidak hulur atau sumbang walau seringgit sebab dia tak ada duit simpanan langsung.
Aku sedih juga sebab bila tengok orang lain, bapa mereka sponsor semua atau bantu serba sedikit untuk majlis anak. Tapi tak apalah, waktu ini aku fikir, lebih bagus aku guna duit sendiri.
Sehinggalah beberapa bulan berkahwin, bapa aku meminta duit hantaran aku dengan alasan ingin membetulkan rumah.
Walhal yang ingin dibetulkan hanya kerosakan minima, tidak sampai RM100 kosnya, tetapi dia meminta RM500 daripada aku. Aku bagi sebab aku malas nak cari gaduh jika aku persoalkan.
Apabila perkahwinan aku terpaksa ditangguh disebabkan PKP, aku & tunang hanya melangsungkan pernikahan sahaja.
Namun begitu, sedikit sebanyak perubahan plan ini mengganggu financial flow kami. Duit kahwin yang ada yang kami terpaksa guna untuk cover sesetengah perkara.
Bapa aku pula tak nak faham, dia tahu perkahwinan aku tangguh, yang dia nampak adalah aku ada duit sebab majlis tak dapat buat. Dalam fikiran dia, duit kami ada berjuta-juta.
Dia minta duit hantaran aku untuk kegunaan peribadi. Bukan sedikit. RM1000 dia minta aku beri pada dia. Dia minta ibu aku beritahu aku, tapi ibu aku suruh cakap sendiri dengan aku. Dia marah sebab ibu aku taknak layan permintaan dia.
Akhirnya, dia mesej sendiri aku minta duit hantaran itu. Suami aku tak benarkan aku bagi duit tu pada dia. Tapi selepas pelbagai perbincangan, aku akhirnya bagi separuh juga. Perjanjian aku dengan suami aku, aku takkan bagi lagi duit hantaran pada dia lagi.
Selang 2 minggu aku bagi RM500 tu, bapa aku mesej lagi, meminta RM100 dengan alasan nak repair motor (padahal motor tu pancit je).
Aku masa ni dah sakit hati sebab dia baru mintak duit, dan dia minta lagi. Aku tanya dia elok-elok, “duit hantaran haritu yang baru bagi dah habis ke?”
Agaknya dia marah dengan aku sebab aku pertikai duit tu, dia cakap “Dah habislah. Dah namanya duit, ye digunakan. Kalau nak bagi, bagi. Taknak bagi sudah. Ayah malas nak macam-macam”. Aku read saja mesej dia. Aku tak bagi pun duit tu.
Beberapa hari kemudian, dia mesej aku lagi, dan kali ni mesej dia lebih menyakitkan hati aku. Antara ayat dia, dia sakit hati dengan aku dan dia menyesal menikahkan aku.
Dia juga cakap dia haramkan aku tengok mayat dia jika dia mati, jika tak, aku aka terkena badi. BADI tu dia tulis dengan huruf besar.
Kalau anda di tempat aku, apa yang anda rasa bila bapa sendiri cakap dia menyesal menikahkan anda? Dan supaya anak sendiri dapat badi?
Masih tak layak kah aku membenci dia dan berharap dia meninggal cepat supaya aku tak terus berdosa? Atau aku tetap seorang anak yang derhaka?
Awal-awal tu, aku sedih & hati aku sakit bila aku fikir ayat dia. Lama kelamaan, aku malas layan perasaan tu. Bila fikir, rasa sakit hati. Baik aku abaikan.
Mak aku cakap, sebenarnya, dia sakit hati sebab aku tak bagi dia total duit hantaran tu untuk dia uruskan. Dia nak aku serah keseluruhan duit hantaran pada dia, sebab alasan dia, mudah dia nak uruskan majlis aku.
Aku pula, sebab dah faham sangat perangai dia, aku ikut nasihat keluarga supaya aku pegang sendiri duit itu. Sebab jika duit tu diberi pada dia, entah ke mana perginya duit tu nanti.
Oh aku terlupa. Malam aku bernikah, dia panggil aku & suami duduk sama. Dia “nasihat” macam-macam tentang perkahwinan (dalam hati aku bengkek, dia sendiri rumahtangga tak terjaga).
Tapi nak tahu apa niat sebenar dia panggil kami? Ayat akhir dia pada suami aku, “Audelia ni tiap bulan bagi ayah duit.
Ayah selalu mintak duit dia. Nak apa je, semua ayah mintak dia. Jadi ayah harap, lepas kahwin, kamu jangan halang Audelia bagi duit bulanan pada ayah”.
Sadis kan?
Tak cukup sadis. Hari aku balik semula ke ibu kota selepas cuti kahwin habis, masa salam sebelum berangkat, tiba-tiba dia menangis teresak-esak. Dia cakap dia minta maaf tak dapat buat majlis untuk aku, anak perempuan dia.
Aku masa tu cuma nampak hipokrasi dia, yang aku nampak, dia berpura-pura menangis nak dapat simpati aku .
Adik-adik dan ibu aku pun cakap benda sama pada aku dalam group keluarga kami yang sengaja tidak dimasukkan bapa. Ayat mereka “Entah apa-apa je ayah tu buat-buat menangis. Ingat orang kesian agaknya”.
Yes, betul. Memang sengaja dia menangis tu. Nak bagi aku rasa lembut hati pada dia agaknya. Nak tau kenapa?
Sebelum aku gerak, dia datang dan bisik pada aku, “nanti kalau ayah nak duit ayah mintak kat kau”.
HA HA HA aku ketawa. Suami aku, bila aku ceritakan, cuma mampu geleng kepala. (Balik dari kampung selepas nikah itulah bapa aku minta duit hantaran RM1000 tu).
Aku teringin nak beri lebih kebahagiaan kepada ibu aku. Aku teringin bawa dia berjalan, bercuti. Tapi aku terbatas di situ sebab bapa aku cemburu kalau ibu aku keluar tanpa dia.
Kami pula adik beradik tak gemar membawa bapa kami bersama, sebab dia akan selalu membebel tak tentu hala, pertikai macam-macam, mengepau yang bukan-bukan, dan macam-macam lagi.
Sikapnya itu buat kami tak selesa nak bercuti bersama jika dia ada. Tapi disebabkan itu juga, aku tak dapat bawa ibu aku bercuti. Aku taknak ibu aku diperli dan dimarahi bapa aku.
Diikutkan, banyak lagi perangai dia yang membuatkan kami sakit hati. Tapi aku rasa dah panjang sangat aku menulis.
Minta maaf, jika ayat aku agak ekstrem, tidak sesuai diucapkan oleh seorang anak. Tapi ketahuilan, dah terlalu lama kami ni memendam rasa.
Jika ada yang bertanya kenapa ibu aku tak bercerai dengan bapaku, aku pun tak tahu jawapannya. Sebab aku selalu minta ibu aku failkan cerai, tetapi ibu aku hanya senyap.
Apa yang aku tahu, ibu aku lebih terseksa jiwa dan mental dengan kerenah dan perangai bapa aku.
Sekarang ibu banyak habiskan masa dengan menanam pokok, mungkin terapi dia. Dan jangan risau, aku selalu jadi pendengar setia ibu aku bila dia rasa tertekan atau nak luah perasaan.
Mungkin ada yang mengenali aku menerusi situasi & cerita di atas, sebab ada sahabat aku yang pernah aku ceritakan. Aku pasti kalian faham dan semoga kalian tidak menghakimi aku.
Buat pembaca semua, doakan semoga kami terus kuat sepanjang kehidupan kami yang masih berbapakan seorang bapa toksik ini.
Mungkin jahat jika kami mendoakan daun namanya digugurkan dari Luh Mahfuz, tetapi itulah last resort kami supaya kami tak terus berdosa dengan dia dan tidak berterusan menjadi anak derhaka.
– Audelia, Noble Strength (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit