Assalamualaikum, aku disini nak bercerita satu pengalaman yang membawa perubahan dalam hidup aku 360 sepanjang MCO di Malaysia.
Diharap apa yang aku ceritakan ini menjadi tauladan pada kita semua supaya tidak judge kehidupan orang lain yang kita rasa tak setaraf dengan gaya hidup kita.
Sebelum wabak Covid-19 melanda negara kita, aku menikmati kehidupan bujang yang selesa, mewah dan boleh dikatakan setiap weekend atau cuti umum ada sahaja plan lepak dengan kawan-kawan aku di Universiti dulu.
Paling selalu kitorang naik Genting sebab jarak dari KL tak sampai 1 jam. GPO akan menjadi hentian pertama kami untuk berbelanja sakan.
Kalau tak cukup cash, aku akan swipe credit card, berbelanja tanpa had. Gaji aku sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat tidaklah sebegitu besar kalau difikirkan semula, hanya RM2900 sebulan secara bersih.
Oleh kerana pendapatan aku yang atas 2500 aku merasa diri wajib memakai pakaian mahal, aksesori mahal, berkereta mewah. Makan makanan yang sedap, minum air kopi mahal2 hampir setiap hari menjadi rutin.
Tanpa memikirkan masa akan datang, aku mula membuat pinjaman peribadi untuk kepuasan sendiri dengan menggunakan wang tersebut membeli set komputer gaming kerana selain hangout dengan kawan-kawan,
Gaming juga merupakan hobi yang aku melabur begitu banyak duit tanpa aku sedar.
Kehidupan aku terasa begitu indah ketika itu, kerana setiap yang aku impikan aku berjaya mendapatkannya dengan mudah kerana aku mempunyai pekerjaan yang baik dan gaji yang lumayan.
Satu hari, kawan baik aku dari kampung menelefon mengatakan dia akan berada di Kuala Lumpur untuk urusan kerja.
Aku mengajak Ami tidur dirumah sewa aku sahaja kerana selepas SPM kami tidak berkesempatan untuk berjumpa, hanya berhubung melalui whatsapp dan facebook sahaja itupun kadang-kadang.
Petang selesai sahaja Ami menghabiskan tugasan kerja kami bertemu di sebuah restoran di KLCC. Aku menyangka dia datang dengan keretanya sendiri tapi dia menaiki teksi dan aku rasa bersalah kerana tidak mempelawa untuk menjemput Ami di stesen kereta api.
Aku melihat dia tidak seperti yang aku biasa lihat pada kawan-kawan Universiti aku. Pakaiannya biasa dan begitu jauh dari trend sekarang.
Aku ketika itu merasa sedikit malu jika aku terserempak dengan kawan-kawan lain dan tanpa aku sedar aku mengajak Ami menaiki kereta aku dan hanya melepak di sebuah warung Tomyam berdekatan dengan rumah aku.
Kami makan dan aku mula berbicara menanyakan perkembangan Ami selama kami tidak bertemu.
Ami mengatakan dia hanya dapat menamatkan pengajian diperingkat Diploma dan terpaksa mematikan hasrat untuk menyambung pengajian kerana ketika itu ayahnya sakit tenat dan meninggal dunia tidak lama lepas Ami tamat pengajian.
Dari ceritanya, dia mula bekerja di sebuah syarikat dikawasan pekan kami sebagai Kerani di syarikat menjual motorsikal. Gaji nya jauh lebih kecil berbanding dengan gaji aku.
Tidak cukup kerja sebagai kerani, Ami juga bekerja sebagai part-time sales asisstant pada hujung minggu di sebuah kedai pakaian bundle tidak jauh dari syarikat motor.
Aku ketika itu merasa megah dengan apa yang aku kecapi dan aku bercerita tentang kehidupan yang aku jalani dengan bergaji RM2900.
Ami mengangguk dan senyum melihat aku membuatkan aku begitu yakin untuk memberi nasihat padanya supaya mencari pekerjaan lain yang lebih menjaminkan pendapatan yang lumayan.
Tidak habis disitu, apabila sampai dirumah, aku menunjuk set gaming yang aku beli kepada Ami dan dia berasa terkejut melihat harga yang aku bayar hanya untuk memenuhi kepuasan hobi aku.
Malam itu aku memberi Ami bermacam kata yang aku rasa ketika ini hanyalah sebuah ejekan padanya dengan cara halus. Aku begitu bangga dengan apa yang aku ada dan merasa kehidupan itu tidak akan berkahir.
Sehinggalah satu hari, selepas tamat PKP 1 syarikat kami mula mengalami sedikit kesukaran mendapatkan projek dan projek yang sedia ada telah dihentikan sementara.
Bermakna pekerja yang tidak diperlukan khidmat ketika itu akan dibuang atau diberhentikan dengan cara sukarela.
Untuk fasa 1 aku terselamat dari senarai tersebut. Selama 3 bulan gaji dan pekerjaan aku masih macam biasa.
Hingga satu wasap dari akak HR sampai pada aku mengatakan aku diberhentikan kerana syarikat tidak mampu untuk menanggung kos pekerja yang tidak diperlukan ketika itu.
Dunia aku belum lagi berputar kerana aku masih mempunyai jalan lain walaupun tidak bergaji lagi selepas dihentikan. Aku mengambil langkah mengeluarkan duit di KWSP selepas 4 bulan aku tidak bekerja dan duit simpanan aku semakin susut.
Hutang credit card, rumah sewa, kereta dan bil telefon dan langganan internet semakin membebankan aku. Selepas berjaya mengeluarkan wang dari KWSP aku masih belum tersedar dari kesilapan.
Perberlanjaan aku masih seperti sebelum ini, hari-hari aku menghabiskan masa dengan bermain game dari pagi hinggalah ke pagi seterusnya.
Takdir menimpa aku bila duit didalam akaun semakin susut dan tidak terurus. Pernah baki akaun aku mencecah rm23.00 sahaja. Aku buntu kerana banyak bebanan kewangan yang perlu aku bayar.
Sehinggalah MCO terbaru ini, pada MAY 2021 aku mengambil keputusan untuk menelefon Ami memberitahunya tentang keadaan aku ketika itu.
Aku tidak mahu pulang ke rumah orang tua aku kerana aku tahu mereka pasti akan memarahi dan membebel jika mereka tahu aku boros berbelanja.
Ami tanpa berlengah, terus mempelawa aku untuk menumpang dirumahnya sehingga aku berjaya mendapatkan pekerjaan baru.
Sebelum pulang ke kampung, aku menjual set komputer dan menggunakan wang tersebut membayar tunggakan card credit dan pinjaman bank.
Oh aku lupa, sebelum aku mengetahui aku diberhentikan aku telah membuat satu lagi pinjaman personal untuk tujuan berjimba dengan kawan-kawan aku di sebuah pulau. Kepulangan aku ketika itu masih belum menyedarkan aku.
Ego aku masih meninggi. Kereta aku pandu laju memasuki kawasan kampung dan menuju ke rumah Ami. Aku disambut mak Ami dan adik-adiknya. Aku meminta mak Ami tidak memberitahu dahulu kepulangan aku kepada orang tua aku.
Selama seminggu aku menumpang dirumah Ami, aku masih bersikap ego. Bermacam kerja kosong Ami tawarkan pada aku yang ada di pekan tapi aku menolak kerana tidak setaraf dengan kelayakkan aku. Dijadikan cerita, satu hari aku terserempak dengan adik aku di pekan.
Aku pulang kerumah setelah adik aku mengetahui keberadaan aku dikampung. Aku tidak menceritakan pada emak tentang keadaan aku ketika itu. Dosa yang aku lakukan pada emak tidak mungkin dapat aku lupakan.
Aku gadai gelang pusaka emak untuk melunaskan hutang-hutang. Lebihan duit aku berjoli lagi. Bila ayah aku mendapat tahu, aku dimarah dengan teruk dan emak hanya diam. Aku bengang dan tanpa segan aku kerumah Ami lagi.
Disini aku mula melihat dan tertanya-tanya kenapa Ami tidak terkesan sedikit pun dengan keadaan terkini sedangkan gaji nya jauh lebih kecil dari aku sebelum ini.
Hati aku menjadi marah, memaki hamun tanpa sebab. Ami seperti perasan akan sesuatu mengganggu fikiran aku.
Semua yang aku rasa ketika itu aku luahkan. Sikap Ami yang suka menyimpan dan berjimat dalam berbelanja menjadikan dia tidak terkesan dengan masalah kewangan. Syarikat tempatnya bekerja juga merupakan kepunyaan seorang orang kaya dari Bandar.
Majikan nya menjaga kebajikan pekerja dan Ami menjaga hubungan dengan keluarganya terutama emak Ami.
Paling aku terkesan dia tidak pernah lupa menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Aku bertanya pada Ami bagaimana dengan jumlah gaji yang kecil masih mampu menyara kehidupan emak dan adik-adiknya.
Prinsip utama Ami ‘kalau rasa tak mampu membeli, tidak sesekali dia akan berhutang’.
Kehidupan yang Ami jalani jauh berbeza dengan aku. Aku merasakan kehidupannya lebih selesa dan gembira tanpa masalah-masalah hutang credit card, pinjaman peribadi dan belanja yang bukan-bukan seperti aku.
Kejujuran dan ketekunan dalam menjalankan tanggungjawab dalam pekerjaan yang ada pada dirinya juga membuatkan dia dinobatkan sebagai pekerja cemerlang dan dihadiahkan majikannya sebuah kereta Axia.
Duit-duit hasil kerja hanya berbelanja barangan dapur dan membayar bil-bil rumah.
Yang paling mengejutkan aku, Ami mempunyai sebuah lot tanah yang siap dibina rumah untuk disewakan.
Rupanya selama dia belajar duit pinjaman pelajaran tidak dihabiskan dengan benda tidak berfaedah, dan juga dia rajin bekerja semenjak dari dibangku sekolah.
Aku akui sejak dulu lagi Ami memang seorang yang rajin, ketika kami bermain game di siber kafe, dia bekerja di kedai runcit kampung kami. Baru aku sedar bahawa diri aku begitu banyak berbelanja dan pengurusan kewangan aku tidak begitu baik.
Kesedaran yang aku ada begitu lambat, hanya kini aku bekerja cuma untuk membayar hutang-hutang aku. Kawan-kawan yang bersama ketika aku di KL dulu semuanya tidak mengambil tahu tentang aku.
Malu aku rasa pada Ami bila aku ingatkan semula kata-kata aku padanya tentang pekerjaan yang dia ada. Tentang pikiran aku pada pakaian yang dipakainya hanya dari Bundle sedangkan aku memakai pakaian mahal tapi poket kosong.
Sekarang kereta aku dah aku jual, dan hanya memiliki sebuah motor untuk aku gunakan pergi balik kerja. Dari seorang jurutera aku menjadi seorang abang Panda.
Pengajaran ini mengubah hidup aku disebabkan MCO, bayangkan jika wabak ini tidak wujud entah berapa banyak lagi timbunan hutang aku. Benar, setiap ujian ada hikmahNYA.
Pesanan aku, apapun pekerjaan kawan kita jangan pernah malu untuk bersamanya. Mungkin hari ini kita merasa megah esok lusa tidak kita ketahui. Wallahualam.
– Zul Runsing (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit