360 Hari Pemergianmu Ayah

19 Januari 2022. Berbaki lagi 12 hari sebelum setahun pemergian Abah tersayang.

Abah pergi tepat 1 Februari 2021. Tenang, tanpa kacau, tanpa sakit. Abah pergi dalam tidur. Sebab Abah memang tidur selama 18 hari sebelum Abah pergi menghadap Pencipta.

Figura Abah dari kecil sangat kami sanjungi. Abah tegas, namun Abah penyayang. Paling bertanggungjawab. Walaupun Abah kurang bercakap dengan kami, kami tetap hormat dan sayang Abah.

Abah tak pernah culas beri segala keperluan keluarga. Kami semua cukup makan pakai. Cukup didikan agama dan adab. Kalau buat salah, memang akan kena. Semua akan kena.

Dari kecil Abah suka berceramah kat kami. Ada kuliah Maghrib kat rumah lepas solat. Banyak cerita Abah kongsi. Sekarang tiada lagi kedengaran suara lantang Abah bercerita kisah-kisah Nabi dan sahabat.

Abah susah payah kerja untuk keluarga. Kakak sangat ingat Abah akan bangun awal pagi untuk pergi berniaga. Sambil tu Abah ada buat side income lain; jual kereta terpakai.

Abah banyak kemahiran bab kereta. Abah tahu banyak benda. Abah hafal semua jalan. Abah senang ingat semua benda. Abah jimat. Abah tak boros. Abah pandai urus duit.

Masuk umur Abah 50, sakit Abah sedikit menyusut. Abah kena kencing manis dari umur Abah 31 tahun. Tapi masa tu tak teruk sangat sebab Abah still kuat. Muda lagi masa tu. Kami kecik-kecik lagi masa tu.

Bila Abah dah tak berniaga lagi sebab kaki Abah start sakit dan lenguh berkait dengan diabetes tu, kesihatan Abah makin tak cantik. Tapi Abah jenis kuat semangat. Still boleh drive. Makan sana sini. Melancong sana sini dengan Mak dan kadang-kadang kami ikut.

Abah ok saja masa tu. Masuk umur Abah 55 macam tu, mata Abah dah tak nampak. Kakak ingat lagi Mak call pagi tu bagitahu Abah mengadu kata mata Abah tak nampak. Kakak sedih sangat. Dari situ kakak pun jadi tertekan. Sebab takut Abah sakit teruk.

Banyak yang Abah tak boleh buat sejak mata Abah jadi kelabu. Asbab diabetes jugak. Dulu Abah boleh baca AlQuran hari-hari. Lepas mata kelabu dan kabur tu Abah sedih sebab tak boleh baca Quran lagi. Penglihatan Abah terbatas.

Abah kata sikit-sikit nikmat Allah bagi sudah ditarik. Abah redha. Walaupun kakak tahu Abah sedih sebab Abah tak boleh nak tengok muka cucu-cucu Abah puas-puas.

Mula dari mata, kaki Abah pun makin sakit. Diabetes Abah pun teruk. Buah pinggang Abah mula rosak. Abah dah kena cucuk insulin. Hari-hari. Kalau lepas cucuk dan makan lambat, Abah akan menggeletar. Kena makan cepat.

Abah makin tak nampak. Walaupun kami dah bawa Abah pergi klinik mata untuk elokkan balik mata Abah. Doktor usulkan untuk laser dan operate. Abah sempat laser mata je. Operate tak sempat.

Abah masuk hospital sebab hypo. Lepas tu bermula lah sesi dialysis sebab buah pinggang Abah dah mula teruk masuk stage 5. Abah nampak rilek lagi. K

akak tahu Abah redha dah semua. Abah tak nak sesiapa derma buah pinggang pada Abah. Abah kata Abah yang tak jaga betul-betul organ badan Abah. Bila rosak, Abah kena terima lah.

Kakak selalu urut Abah sebab Abah kata tangan kakak panas. Urut berasa. Last kakak urut Abah, 13 Januari 2021. Sehari sebelum Abah masuk hospital, ditidurkan selama 18 hari tu.

Kami semua tak jangka Abah akan masuk hospital 14 Januari tu dan tak balik-balik lagi ke rumah selamanya.

Macam-macam doktor cuba untuk selamatkan Abah. Kami mula-mula susah juga nak adapt dengan semua ini. Tapi lama-lama kami rasa kalau Abah ditakdirkan pergi, kami redha sebab kami tak mahu lagi Abah menanggung sakit.

Sepanjang Abah jalani dialysis, Abah kata sesi tu sakit. Abah tak bermaya. Cuci darah buat Abah lagi lemah. Mungkin memang badan Abah masa tu dah tak kuat. Tapi Abah tekadkan semangat untuk teruskan juga sampailah Abah dah tak boleh lagi.

30 Januari 2021, doktor buka oksigen Abah. Doktor kata kalau Abah kuat, in shaa Allah Abah boleh survive dengan bantuan tiub pernafasan biasa. Kalau tidak, mungkin Abah akan pergi.

Kami berdoa sungguh-sungguh untuk kemudahan Abah macam mana cara nya pun. Kami redha seredha redha nya. Kami tak sanggup tengok Abah terseksa.

Kakak ingat lagi kakak menangis semahunya masa tengok Abah kat ICU 29 Januari 2021. Abah buka mata. Tapi Abah tak boleh cakap apa-apa.

Abah tengok kami. Tapi doktor kata walaupun Abah buka mata dan tengok kami, tapi otak Abah dah tak boleh berfungsi macam biasa.

Pandangan tu hanya pandangan kosong.

30 Januari 2021, doktor cabut oksigen Abah. Alhamdulillah kondisi Abah agak baik masa tu. Kami sedikit lega. Doa kami tanpa putus untuk Abah agar Abah sihat seperti sedia kala.

Mak ada melawat Abah 31 Januari tu. Mak bukak voice note cucu-cucu Abah bagi Abah dengar. Mak kata Abah menoleh tengok kat Mak. Kakak tahu Abah dengar suara cucu-cucu Abah.

1 Februari 2021, kakak dalam kereta nak balik kerja. Kakak tengok mesej dalam grup family ada yang alfatihah semua. Kakak dah gelabah. Masa tu jugak Mak call kakak. Kakak berenti tepi. “Kak, Abah dah meninggal…”

Kakak terpaku kejap. Lepas tu kakak teruskan drive. Terus air mata kakak tak berhenti turun. Semua memori dengan Abah berlegar-legar dalam kepala kakak. Kakak dah tak ada Abah lagi. Abah kakak dah pergi.

Kakak panjatkan kesyukuran sebab Abah tak lagi sakit. Abah dah tenang. Abah dah lega. Kami di sini yang masih perlu meneruskan cabaran hidup. Abah dah tak perlu lagi.

Alhamdulillah urusan pengebumian Abah dipermudahkan. Meninggal sekitar jam 4 petang dan selesai kebumi malam itu juga sebelum pukul 10 malam. Masa mandikan kondisi Abah tak berubah langsung. Badan Abah tak susut. Muka Abah tenang, macam tidur.

Masa Abah hidup, Abah selalu kata Abah tak suka menyusahkan orang. Abah sakit pun Abah tak menyusahkan sesiapa.

Kami tak pernah rasa terbeban jaga Abah. Abah pun tak nak kami menangisi pemergian Abah. Sebab tu Allah beri Abah kematian paling tenang. Abah kata Abah tak sabar nak jumpa Allah.

Kakak ingat lagi, Abah selalu kata Abah tak suka sangat bergambar. Sebab Abah tak mahu kami semua rindu dekat Abah kalau Abah dah tak ada nanti. Abah tak mahu kami sedih dengan memori2 lama bila tengok gambar Abah banyak2.

Abah, dah hampir setahun Abah pergi. Memori bersama Abah tak hilang-hilang Bah. Kakak tak akan lupa. Abah ialah ayah paling terbaik di dunia.

Kakak tahu sekarang Abah baik-baik saja di sana. Abah jumpa mak dan ayah Abah, adik beradik dan kawan baik Abah kat sana. Semoga kita jumpa di syurga Allah nanti. Kita pasti jumpa di syurga nanti. Alfatihah buat Abahku… AAAR.

– Zehrad (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *