Hari ini saya nak cerita sikit, bagaimana caranya untuk kita membahagiakan ibubapa kita. Sekiranya kita ingin disayangi, maka kita juga perlulah menyayangi mereka sepenuh hati kita. Ibubapa merupakan insan yang paling banyak berkorban untuk anak-anak. Mereka menyayangi kita dari kita kecil hinggalah dewasa tanpa mengharapkan apa-apa balasan pun. Betapa Allah juga mengangkat darjat ibubapa dengan meletakkan kewajipan untuk kita mentaati ibubapa selagi mana mereka tidak menyuruh kita melakukan maksiat.
Sebagai anak, adalah satu tanggungjawab kita untuk sentiasa membahagiakan mereka. Semoga 4 cara ini dapat dimanfaatkan oleh semua yang membacanya. Nanti dah habis baca, boleh share dengan kawan-kawan, adik-beradik dan jiran sebelah rumah.
1. Menjaga komunikasi
Ada anak-anak yang jarang bertemu ibubapa mereka, bermaksud mereka tinggal jauh daripada ibubapa, dan ada juga anak-anak yang masih tinggal bersama ibubapa mereka. Jadi tidak kiralah kita tinggal di mana sekalipun, kita tetap perlu sentiasa menghubungi ibubapa kita. Tanyalah samaada mereka sihat atau tidak, mesti sering melawat mereka, mesti selalu berkomunikasi. Kuncinya di sini ialah komunikasi. Komunikasi yang berjaya ialah komunikasi dua hala. Jangan sampai ibubapa sahaja yang selalu menelefon anak-anak sampai anak-anak lupa mahu bertanya khabar kepada ibubapa. Satu yang selalu kita kena ingat ialah, ibubapa kita tiada penggantinya, sekali mereka tiada, selamanya kita kehilangan. Jadi pastikan kehilangan mereka dalam hidup kita itu masih dalam keredhoaan mereka, dalam erti kata lain, kita dah buat yang terbaik sepanjang hayat mereka bersama kita sehingga mereka benar-benar redho terhadap kita.
2. Jadilah pendengar yang baik
Kadang-kadang, kita akan dapat ibubapa yang memang jenis suka bercerita, semua perkara yang mereka lalui pada hari itu semuanya mereka nak ceritakan kepada anak mereka, sama macam saya, ibu saya seorang yang begitu. Kadang-kadang ada cerita itu sudah pernah diceritakan pun masih ingin diceritakan kepada saya. Hal ini sebenarnya sangat membahagiakan, bukan sahaja bahagia kepada ibubapa itu sahaja kerana dapat bercerita tetapi juga bahagia kepada anak kerana ibubapa memilih mereka untuk mendengarkan semua perihal yang terjadi dalam kehidupan seharian mereka. Lebih menggembirakan hati ibubapa apabila anak-anak turut memberi maklum balas dan pandangan tentang apa yang diperkatakan ibubapa mereka. Sebab itulah saya meletakkan cara yang pertama adalah menjaga komunikasi, sebab dengan terjaganya komunikasi, maka kita akan menjadi lebih akrab dengan ibubapa dan dapat menjadi pendengar yang setia kepada mereka. Kalau tak percaya, cubalah dulu.
Sekarang ini saya bekerja di sebuah rumah penjagaan orang tua Islam yang diberi nama Pusat Jagaan Dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah. Pusat jagaan ini mempunyai 2 cawangan, yang pertama terletak di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi dan yang kedua terletak di Sungai Ramal Dalam, Kajang. Sepanjang pengetahuan saya dari kecil hingga sebelum saya megenali Pusat Jagaan Darul Insyirah ini, saya tak pernah jumpa mana-mana rumah jagaan orang tua yang benar-benar patuh syariah dan berperanan memberikan pendidikan agama kepada warga emas. Kita di Malaysia sangat-sangat kekurangan dalam perkara berkaitan penjagaan warga emas yang patuh syariah ini. Itu serba sedikit dengan kerja saya. ;) Saya sambung lagi cara yang ketiga untuk membahagiakan ibubapa kita.
3. Luangkan masa bersama mereka
Kita tahu bahawa masa itu sangat berharga. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang mempunyai kerjaya dan keluarga. Mereka perlu sangat-sangat bijak untuk menyusun masa agar masa yang mereka luangkan bersama ibubapa betul-betul berkualiti walaupun hanya sebentar. Saya bagi satu contoh, kebanyakan anak-anak muda kurang gemar mengikuti ibubapa mereka ke majlis-majlis kenduri, atau majlis-majlis tahlil dan sebagainya, hal ini boleh terjadi lantaran kerana mereka tidak akrab dengan ibubapa atau tidak minat menyertai majlis tersebut, tetapi cuba kita bayangkan, dalam perjalanan ke majlis kenduri tersebut kita sebenarnya dapat meluangkan masa berbual-bual dan bergurau senda dengan ibubapa kita, tetapi peluang sebegini tidak dapat dilihat oleh segelintir anak-anak. Oleh itu, kalau kita dapat ambil semula formula atau cara yang pertama untuk membahagiakan ibubapa, baru kita sedar sebenarnya meluangkan masa bersama ibubapa kita amat berkait rapat dengan cara kita berkomunikasi dengan mereka. Jadi, jom kita semak semula cara kita berkomunikasi dengan ibubapa kita. Kalau kurang baik, jom perbaiki lagi.
Di Darul Insyirah tempat saya bekerja ini, orang-orang tua di sini disapa dengan panggilan bonda. Bonda-bonda di sini akan diberikan pendidikan yang bersesuaian dengan warga emas dalam dasar pendidikan sepanjang hayat. Yang paling saya suka, misi pusat jagaan ini sebenarnya tak lain dan tak bukan adalah untuk menyelamatkan aqidah warga emas Muslim sebab itu mereka diberikan kelas-kelas untuk menuntut ilmu dan kembali menjadikan Islam sebagai cara hidup yang sebenar. Terharu pula. Mesti pembaca tertanya-tanya kan, adakah mereka ini adalah ibu-ibu yang terbiar atau bagaimana? Tak mengapa, nanti akan saya ceritakan kemudian. Jom sambung baca cara yang seterusnya untuk membahagiakan ibubapa kita.
4. Ingat hari-hari istimewa ibubapa
Ini cara yang paling senang. Siapa di sini yang tak ingat tarikh lahir ibu dan ayah dia? Angkat tangan sikit, saya nak rotan! Hehe. Gurau sahaja. Jangan begitu ya anak-anak. Ibubapa tak pernah lupa tarikh dan detik kelahiran kita, apatah lagi hari yang kadang-kadang kita merasakan remeh seperti hari kita bersunat, hari kita jatuh sakit, hari pertama kita mendapat parut di lutut kerana bermain terlalu lasak di luar rumah. Semuanya ibu dan ayah kita ingat, bukan sekadar ingat, malah boleh bercerita secara lengkap segala peristiwa berkaitan diri anak mereka. Lalu kita sebagai anak takkan tak boleh ingat tarikh lahir dan ulangtahun perkahwinan ibubapa kita? Mudah sahaja bukan.
Saya kongsikan 4 dahulu, nanti saya akan kembali dengan cara yang seterusnya. Terima kasih kerana sudi luangkan masa untuk membaca tulisan ini. Semoga bermanfaat.
– Syuhada
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit