4 Kisah Seram Aku

Assalamualaikum dan salam sejahtera admin dan para pembaca. Hari ini aku nak kongsikan kepada semua pembaca tentang kisah seram yang pernah aku alami. Sebelum tu aku perkenalkan diri aku sebagai Siti.

Kisah 1

Petang tu selesai minum kopi dan makan cekodok pisang kegemaran, aku berhajat untuk baring-baring nak tenangkan fikiran di ruang tamu rumah. Mak pulak ketika itu berada di bilik sedang melipat pakaian. Selesai makan dan minum bersama cekodok kegemaran, aku pergi ke singki untuk mencuci pinggan mangkuk.

Aku pandang ke luar jendela, nampak cuaca sangat mendung. Hujan rintik-rintik pun berbunyi dari atas atap rumah yang diperbuat daripada zink. Semasa sedang mencuci aku jenguk jendela. Aku nampak mak aku tengah merenung sesuatu dari bawah pokok mangga. Aku rasa mungkin mak aku nak ambil buah mangga. Aku pun pelik masa hujan-hujan begini mak ambil mangga.

Tanpa berfikir panjang aku pun mendapatkan payung yang cantik tergantung di beranda rumah berniat nak menolong mak aku. Aku bawa plastik hitam mana tahu mak aku dapat banyak mangga. Sampai di tempat mak aku tadi, mak aku pun hilang lesap. Aku pun pelik dan cari merata sambil menjerit memanggil mak dalam rintik hujan yang renyai.

Masa tu baru aku teringat mak aku dalam bilik melipat pakaian. Dalam mata meliar mencari mak, aku dapat rasakan seseorang tengah perhati gerak-geri aku. Bila aku mendongak kepala aku nampak pontianak sedang berjuntai di atas pokok mangga. Pontianak tu mata dia besar, merah dengan lidah terjelir.

Tanpa berfikir panjang aku terus memecut selaju yang mungkin untuk naik ke atas rumah. Pintu bilik mak tidak berkunci. Aku kaut dan aku nampak mak aku tengah sedap tidur di atas katil. Aku pun malas nak kejutkan mak dan menceritakan perkara yang sebenar. Aku pun meneruskan niat aku yang tergendala sebentar tadi untuk baring-baring rehatkan minda ditambahkan lagi dengan hujan yang kian deras fuh best!!

Kisah 2

Semasa di tingkatan 5 aku duduk asrama. Asrama sekolah ada dua bangunan iaitu bangunan aspura dan bangunan aspuri. Orang kata bangunan aspura lebih keras berbanding bangunan aspuri. Tapi tempat aku menetap ni adalah bangunan aspuri. Malam tu aku tak boleh lelapkan mata sampai pukul 2 pagi.

Dalam melayan mata yang tidak mahu lelap aku terdengar hilaian tawa budak kecil dari koridor asrama. Masa tu asrama berkonsepkan dorm. Jadi aku dapat lah nampak suasana di luar dari atas katil. Aku terkejut apabila nampak sekujur tubuh di koridor bersebelahan dengan katil tempat tidur aku.

Aku teringat dengan kisah seorang remaja maut di koridor tersebut lalu aku melompat dari katil untuk mengejutkan kawan-kawan se ‘dorm’ yang tengah tidur lena. Malangnya mereka tidak  mahu bangun tidur. Aku pun tidur di samping kawan aku kerana terlalu takut dengan apa yang aku nampak.

Keesokan paginya aku pun menceritakan hal sebenar kepada mereka malangnya mereka tak percaya. Malam selepas kejadian seorang daripada ahli dorm aku terkena histeria kerana ternampak makhluk tak berkepala di hujung locker. Sejak tu kisah aku dipercayai oleh kawan-kawan aku.

Kisah 3

Masih kisah aku tinggal di asrama sekolah. Pada jam 3 pagi aku terbangun dari tidur. Aku memberanikan diri menuju ke dorm 12 yang berada di tingkat atas untuk mengejutkan seorang rakan aku sebab kami sudah berjanji untuk melakukan qiamulail di surau waktu tu. Aku perkenalkan kawan aku ni sebagai Tina.

Sesampainya di tingkat 12 aku pun mengejutkan Tina. Tina menyuruh aku pergi mandi dulu sementara dia menyiapkan pakaian untuk solat qiamulail. Akupun dengan naifnya akur tanpa berfikir panjang. Hilang takut aku waktu tu sebab aku nampak macam ada orang pergi ke tandas waktu tu. Aku pun mandi berkemban di luar kolah. Aku nampak sudah tiada orang di tandas tapi masih ingin meneruskan niat untuk mandi sambil menunggu Tina.

Semasa menyiram air ke badan, aku terdengar ketukan sebanyak 3 kali dari dinding menghadap ke tandas. Aku pun laju-laju menjirus air takut ada orang intai. Aku curious dengan Tina yang lambat sampai. Aku agak dia tidur balik. Aku pun cepat-cepat menyudahkan urusan mandi. Kali ni aku dengar hilaian tawa dari sebalik dinding. Aku dengan tak cukup tanahnya berlari naik ke atas dorm. Niat untuk ber qiamulail dilupakan.

Kisah 4

Ini pula kisah aku di rumah. Malam tu aku solat isyak di dalam bilik. Pada rakaat pertama segalanya smooth seperti tiada apa -apa  yang berlaku. Setelah rakaat kedua aku mula mendengar bisikan-bisikan halus dari belakang aku. Aku amati suara tersebut lalu aku dengar seperti makhluk itu membaca al-fatihah.

Badan aku sudah menggeletar ketakutan. Aku faham iman aku senipis kulit bawang dan aku tahu aku tidak patut takut dengan makhluk Allah swt. Tapi aku sudah tidak mampu nak menampung ketakutan lalu aku berlari keluar bilik. Malam tu aku solat di ruang tamu rumah.

Sekian kisah seram yang tak berapa nak seram untuk santapan pembaca. Maaf kalau kurang seram sepanjang penulisan aku ni, tetapi ianya berdasarkan kisah benar hidupku. Lain kali aku tulis kisah-kisah hidup aku pula, insyaaAllah.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *