5 Bahasa Cinta

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Saya Madam Z, pernah menulis di sini tentang beberapa topik namun kali ni saya nak bercakap mengenai topik 5 bahasa cinta.

Yelah, di iiumc ni, banyak sangatlah confession mengenai masalah suami isteri, jadi saya harap benda ni dapat membantu kita semua menjalani kehidupan bersuami isteri dengan lebih bahagia.

Kebetulan nak menulis tentang 5 bahasa cinta ni sebab baru je tengok di rancangan Mingguan Wanita di Astro Prima, panel jemputannya adalah Dr Harlina Siraj, siapa yang tidak kenal kan?

Bagi yang kurang faham apa itu bahasa cinta, dia macam ni.

Setiap orang ada tangki emosi yang perlu dipenuhi untuk merasa dirinya dihargai, merasa dirinya disayangi, merasa dirinya diperlukan. Namun cara untuk setiap orang mengisi tangki emosi itu tidak sama.

Jadi sebagai pasangan kita perlulah isikan tangki emosi pasangan kita tu dengan bahasa cintanya, bukan bahasa cinta kita.

Biasa pasangan suami isteri mengisi tangki emosi pasangannya dengan bahasa cintanya sendiri, bukan bahasa cinta pasangannya, itu yang pasangannya rasa dia tak sayang pasangannya, tak cintakan dia, tak memahami dia.

Ok, usah membebel panjang lagi, mari kita ikuti apa 5 bahasa cinta yang diceritakan oleh Dr tadi:

1. Kata-kata.

I love you, you love me. Ada orang memang mudah meluahkan rasa sayang dengan kata-kata. Tak kisahlah melalui mulut atau penulisan.

Jika pasangan anda suka meluahkan kata-kata sayang, anda balaslah, jangan diam je, kasihan pasangan anda. Sebab apa, sebab itu adalah bahasa cinta dia. Dia akan rasa dicintai melalui kata-kata.

Kalau segan nak ucapkan dengan mulut, tulislah kat wasap ke kat kertas mana-mana kemudian bagi pasangan anda, habis cerita.

2. Pemberian hadiah.

Orang yang mempunyai bahasa cinta yang ini pula, dia bukan sahaja suka menerima hadiah, tapi dia juga suka memberi hadiah.

Pernah jumpa tak orang yang macam ni, tak berkira, asyik bagi hadiah je kat orang kan? Itulah bahasa cinta dia. Dia akan rasa bahagia apabila memberi dan menerima hadiah.

Jadi kalau pasangan anda macam tak seronok je bila anda memberi hadiah padanya, mungkin itu bukan bahasa cintanya. Janganlah kecewa, cuba pula bahasa cinta yang lain.

3. Sentuhan fizikal.

Ini pun senang je nak faham. Kalau pasangan kita tu suka peluk kita, suka sentuh kita, kalau rasa geli tu, tahankan jela, sebab kasihan dia, bahasa cinta dia diremeh-remehkan. Apa kata anda peluk dia balik, hihi.

4. Khidmat bakti.

Ha, yang ni macam special sikit, macam ramai yang tak tahu. Kepada si isteri yang mungkin rasa suaminya tak romantiklah, tak suka nak cakap i love u u love me dengan anda, tak suka nak bagi hadiah, mungkin inilah bahasa cintanya.

Berbakti kepada anda. Tolong angkatkan kain, tolong lipat kain, tolong gosok baju, tolong mop lantai, tolong segala tolonglah. Pegang tangan masa melintas.

Dan kita pun kenalah balas balik, tolong dia balik. Itu yang saya fahamlah dengan penjelasan Dr Harlina tadi.

Tolong ni bukan kita suruh baru dia nak tolong. Ni memang tolong yang dia sendiri nak buat tanpa kita suruh. Yang automatik dia buat untuk menunjukkan rasa sayang dia pada kita.

5. Masa berkualiti.

Dr Harlina tadi bercerita tentang dia dan suaminya, sebab salah satu bahasa cinta suaminya adalah masa berkualiti. Saya dengar rasa macam, wow romantik pula dorang ni.

Ceritanya biasalah kadang dia sibuk macam tak ada masa, kemudian dia nampak suami dia macam monyok semacam je, dia akan ambil cuti.

Dan suaminya pun akan ambil cuti. Ambil cuti bukan buat apa pun, duduk rumah, tengok pokok bunga, benda-benda biasa je yang dibuat. Yang penting masa yang dihabiskan bersama.

Dan dia kata dia dan suami dia memang tak boleh nak pjj, tak sesuai, because they need to spend time together.

Ni saya cerita banyak pasal Dr Harlina ni kang dia marah pula, hihi, tapi saya nak cerita juga, nak bagi contoh.

Sebagai rumusannya, dia kata setiap orang akan ada satu atau dua bahasa cinta, dan bahasa cinta ni fleksibel, ia mungkin akan berubah dari satu masa ke satu masa.

Dan katanya yang paling ngam sekali adalah pasangan yang mempunyai bahasa cinta 3 & 5 tu, sebab apa, bila dah habiskan masa bersama tu, mestilah banyak masa nak mesra-mesra, nak peluk-peluk kan? Haha.

Jadi dalam masa yang sama ia dah memenuhi bahasa cinta pasangan masing-masing.

Dan dia kata paling tak ngam adalah no. 4 & 5. Iyalah, seorang tu suka sangat berbakti, gosok bajulah apa bagai, jadi sibuklah, asyik nak buat kerja jela, walhal yang seorang lagi nak luangkan masa bersama.

Ha, itu yang ada konflik sikit di situ. Tapi apa pun bukannya kena bercerai ke apa kalau tak ngam tu, tapi mesti kena usaha lebihlah untuk saling memahami, saling membahagiakan.

Ok, bahasa cinta korang dan pasangan korang apa pula?

Mungkin anda rasa semuanya, tapi cari satu yang paling kuat, dan penuhilah tangki emosi pasangan anda dengan bahasa cinta tersebut.

Kemudian jika rasa pasangan anda tak faham dengan bahasa cinta anda, bagi jela hint, takpun cakap jela terus terang, habis cerita. Tak payahlah nak bergaduh apa bagai sampai nak bercerai berai.

Ok, selamat berjaya!

– Madam Z (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *