7 Hari Bersamamu

Assalamualaikum. Terima kasih iium confession kerana siarkan confession ni. Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya tentang mesej disebalik tajuk ‘7 hari bersamamu’? Dah macam tajuk novel pulakkan? Tapi dalam verita ni tak ada kushairi, tak ada Mia, buntat, mahupun Mak Leha. Entri ni panjang sikit, ini pun dah habis pendek dah aku karang. huhu

Sebelum itu secara ringkas nama aku Aleeya (bukan nama sebenar). Dilahirkan dan dibesarkan bersama-sama seorang abang dan seorang adik. Ye, kami tiga beradik je. Sesekali terlintas di fikiran alangkah seronoknya melihat keluarga besar berkumpul waktu hari raya. Meriah! Namun, tidak bermaksud keluarga kecil aku ini tidak bahagia cuma kadang2 kita manusia pasti mengharapkan yang lebih. Apalah pulak perasaan anak tunggal? tanpa kakak? adik? Pokok pangkal semuanya sudah tersusun cantik olehNya.

Berbalik kepada abang (abang Am) dan adik. Dua-duanya terlalu baik. Pendek kata memang antara orang-orang yg aku doakan untuk dikumpulkan bersama-sama di akhirat kelak. InsyaAllah. Kami membesar sama seperti adik beradik yang lain. Gaduh, bergurau, merajuk, marah, pukul-pukul tapi sikit-sikit ajelah sebab ayah dah bagi jelingan tajam. Sampailah masa semua sekolah, aku dgn abang am dapat masuk asrama. Tinggallah adik dgn umi dan ayah.

Dipendekkan cerita. Allah lebih sayangkan abang Am. Dia dijemput ilahi setahun yang lalu disebabkan satu penyakit. Tidak perlulah aku nyatakan tentang jenis penyakitnya kerana ianya hanyalah asbab semata. Tinggalah aku dan adik.

Tahun ini tahun kedua tanpa abang Am. Alah, baru hilang abang..bukannya hilang mak ayah! Betul. Tapi perasaannya hanya Allah sahaja yang tahu. Kenapa tajuk entri ni 7 hari bersamamu? Sebab tujuh hari sebelum abang Am pergi, aku 24/7 tak pernah berenggang dengan dia. Pada aku tujuh hari nilah waktu yang paling bermakna untuk aku. Kelakarnya, orang ingatkan kami ni suami isteri sebab tidur sebantal, rambut dia aku sikatkan, aku bedakkan dia bagi wangi-wangi. Semua tu aku dapat buat waktu dia sakit. Time tak sakit mahunya kena siku dengan dia. Menyebok!

Aku yg sukarela nak jaga abang Am sementelah dia pun belum kawen. Aku tak nak bagi umi jaga sebab umi pun tak sihat sangat. Masa tahu dia dapat sakit tu.. entah macamanalah aku boleh pasang niat tak nak kawen, tak nak kerja sampailah abang Am sembuh. Mungkin abang Am nak aku teruskan hidup macam orang lain sebab tu dia pergi dulu, kan?

Tujuh hari sebelum dia pergi, aku, umi, ayah dengan adik masih berharap agar abang Am dapat sembuh balik. Namun, kudrat kami tidak mampu untuk melawan ketentuan Allah. Tujuh hari sebelum tu jugak aku masih belum boleh melihat tanda-tanda yang abang Am akan pergi kerana harapan aku tinggi menggunung utk melihat dia sembuh. Selama aku jaga abang Am, dia banyak ajar aku bagaimana untuk redha dan bersabar. Kenapa aku cakap macam tu? Sebab dia sikitpun tak tunjuk yang dia sedih dengan penyakit dia tu. Boleh pulak dia senyum gelak-gelak masa doktor beritahu yang dia sakit. Aku? Dah sah-sahlah basah lencun baju ni. Lagi parah bila tengok dia senyum! Hesy, biar betul abang Am ni.

Dari situ aku belajar bagaimana untuk redha. Kalau aku kat tempat dia, aku pun tak tahu apa reaksi aku nanti. Putus cinta pun dah menangis bagai nak rak. Dalam masa tujuh hari tu jgk aku belajar satu benda dr abang Am. Aku belajar untuk ikhlas dan bersangka baik. Seumur hayat abang Am aku tak pernah dengar dia bercerita tentang org lain. Buruk jahat orang dia banyak diam. Nak dibandingkan dgn aku? Sabarnya hanya senipis kulit bawang je. Nak marah, hentam je. Tapi abang Am tak macam tu. Dia banyak diam. Sebab tu kata2 yang keluar dari mulutnya tak pernah sakitkan hati sesiapa.

Semuanya berlaku terlalu pantas. Sehinggalah akhirnya hari ketujuh tiba. Abang Am yang semalam tidur berkongsi bantal dengan aku sudahpun berada di bawah timbunan pasir. Kami dipisahkan antara dua alam. Malam Jumaat abang Am menghembuskan nafas terakhirnya. Hari yang kita doakan untuk Izrail cabut nyawa kita. Waktu tu tak ada setitik pun aku menitiskan air mata. Doaku biar Allah permudahkan urusannya. Waktu di tanah perkuburan sekali lagi abang Am tunjukkan pada kami tentang ganjaran yang Allah bagi pada hambanya yg ikhlas. Tanah perkuburan tu penuh dgn sanak saudara, jiran, dan sahabat yang aku sendiri tidak tahu dari mana. Allahu, apa lagi kebaikan yang ada pada abang Am semasa hidupnya? Wallahualam..

Waktu menulis entri ini aku masih lagi aku terasa lembut kulit tangannya. Manis senyumnya serta pandangan matanya yg redup. Disebalik entri ini ada sesuatu yang abang Am ajar untuk aku dan untuk kita semua. Semoga sedikit sebanyak ianya dapat menjadi asbab bertambahnya kasih sayang kita terhadap saudara sendiri. Air dicincang tak akan putus.

Dan akhir sekali semoga Allah tempatkan abang Am dalam kalangan orang-orang yang beriman serta yang mendapat keampunanmu. Semoga suatu saat nanti aku dapat berkumpul bersama abang Am, umi, ayah dan adik. Insyaallah.

– Aleeya

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit