Kisah Hitam II

Untuk part I, (https://iiumc.com/1230am1232020/).

Salam sejahtera sekali lagi buat semua pembaca IIUMC yang dikasihi. Kepada sesiapa yang pernah membaca confession saya sebelum ini iaitu, “Kisah Hitam”, terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda untuk membaca.

Terima kasih kepada IIUMC yang menyediakan platform ini untuk manusia seperti saya mencurahkan emosi dan perasaan yang terpendam selama ini. Terima kasih juga buat semua yang memberi komen positif dan membina; saya tersangat menghargainya.

Banyak komen-komen membina daripada anda yang senasib dengan saya, dan ianya sedikit sebanyak membuatkan saya sedar bahawa saya tidak keseorangan menghadapi masalah sebegini.

Saya tertarik dengan komen daripada salah seorang pembaca yang mengatakan mungkin masalah datangnya daripada diri saya sendiri.

Saya akui sedikit sebanyak impak buli sedari usia 7 tahun itu membuatkan saya mengalami masalah paranoid dalam pergaulan. Sehinggakan semakin meningkat usia saya masih “terperangkap” dengan impak tersebut.

Memang saya faham, sukar terkadang tu untuk menerangkan pada orang di manakah silapnya mangsa buli? Dan ada sesetengah pihak lebih mudah berpihak pada pembuli atas segala alasan lain yang ditegakkan supaya perbuatan membuli itu dianggap benda remeh.

Kita manusia dilahirkan dengan kekuatan mental dan rohani yang berbeza. Ada orang memang jenis hati kering, ada orang pula makan dalam, memendam sehingga merosakkan jiwa sendiri.

Sebagai seorang Muslim yang dah dididik sedari kecil supaya menjaga lidah, menjaga perlakuan dan tidak berdendam malah bersengketa, itulah yang saya praktikkan dari kecil sehingga kini.

Memang bunyi seperti saya bodoh kerana tidak mempertahankan diri, tidak melawan pembuli, tetapi saya pasti ada sebab Allah uji saya sedemikian.

Ini bukanlah bermaksud saya redha membabi buta, tetapi saya anggap pasti ada sebabnya, dan sedikit hikmahnya saya sendiri memang telah nampak dan alami seiring dengan peningkatan usia saya.

Untuk yang baru membaca, saya bukanlah remaja atau anak gadis, tapi dah nak menjengah usia 40. Mungkin kematangan usia saya bercampur aduk dengan kisah hitam saya membuatkan saya menjadi ibarat ahli falsafah yang banyak termenung dan merenungi segala ujian dari Illahi.

Saya akui saya takut berkawan, lagi-lagi jika berkawan itu dalam berkumpulan atau kelompok yang ramai. Maknanya, tiada istilah “girls group” sepanjang saya bernafas di Bumi Illahi ini.

Boleh kata “forever alone”, tapi bukanlah bermaksud terus tidak berkawan. Ada sahabat, tapi seorang dua. Itu pun yang saya sangat percayai.

Buli mental sebenarnya lebih sakit dari buli fizikal. Sakitnya berganda. Buli fizikal lukanya dan lebamnya akan sembuh dalam seminggu dua,

Namun buli mental, kesannya hanya si mangsa sahaja yang alami dan ia turut “membunuh” jiwa mangsa sehingga memberi kesan kepada keseluruhan kehidupannya seumur hidup.

Anda cuba bayangkan anak-anak anda, yang sepatutnya gembira berkawan pada waktu kecil, bertukar menjadi anak yang murung, pendiam, suka berkurung? Adakah anda akan duduk diam?

Bagi sesetengah orang yang suka menyalahkan mangsa buli, mereka akan katakan bahawa kami ini lembik, tak kuat jiwa, penakut dan bermacam-macam label lagi.

Anda pasti sedia maklum karekter pembuli (pemangsa) ini bagaimana? Mereka berhati kering, sebab itu mereka lack of empathy and sympathy.

Mereka boleh memanipulasi segalanya untuk membuatkan orang lain jatuh kasihan kepada mereka dan seolah-olah memberikan “lesen besar” bagi “menghalalkan” buli.

Contoh mudah, si Ali buli si Abu. Abu tidak melawan. Dan kemudian orang lain cakap, Ali tu berasal dari keluarga berantakan oleh sebab itu dia buli Abu. Ali buli Abu kerana Abu dari keluarga yang bahagia dan berjaya.

Adakah kita sebagai masyarakat akan selamanya jatuh kasihan pada orang seperti Ali? Sedangkan Ali juga punya akal? Dan adakah mangsa buli iaitu Abu perlu mengalah selamanya, dan Abu akan membesar dalam keadaan trauma dan fobia?

Dan masyarakat kita juga jikalau Abu melawan Ali, sudah pasti Abu akan dilabel sebagai orang yang tidak sabar, cepat melenting.

Kita sendiri tidak sedar bahawa kita sudah menanam budaya “halal pembuli” dengan hanya berlatarbelakangkan cara si pembuli membesar.

Dan mereka menganggap mangsa buli yang pada dasarnya dibesarkan dalam suasana sihat, terpaksa menanggung kesan sehingga dewasa dengan tekanan emosi perlu menerima segalanya sebagai ujian dan takdir, dan ada yang sampai melabel mangsa buli sebagai bermasalah.

Karekter pembuli biasanya memang mereka punya ramai kawan, kerana pengaruh mereka, jika dibandingkan dengan mangsa buli yang biasanya memang tidak mempunyai ramai kawan.

Untuk pengetahuan pembaca, saya dibesarkan dalam keluarga yang bahagia, mementingkan pelajaran, penuh kasih sayang. Bukanlah seorang pelajar bermasalah, malah saya tidak mempunyai masalah dengan guru-guru, pensyarah serta majikan.

Jadi renunglah sendiri, bagaimana saya boleh terkesan sangat hingga hidup penuh trauma apabila semakin dewasa? Lebih 30 tahun saya hidup begini hingga kadang tidak kenal diri sendiri.

Sedar tak sedar dah panjang lebar saya menaip. InsyaAllah saya akan sambung lagi dalam Kisah Hitam III.

Saya hanya bersuara bagi pihak mangsa-mangsa buli di luar sana, kerana saya tak mahu ada lagi anak-anak kecil yang akan membesar menjadi mangsa buli seperti saya.

Jumpa lagi di entri saya seterusnya ya?

– Syifa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *