Pengakuan Kesan Mental Mangsa Buli Asrama

Aku pernah duduk di asrama selama dua tahun. Asrama yang aku duduki buat pertama kali sewaktu tingkatan satu dan dua, ia amat memberikan luka yang amat mendalam secara mental. Jujurnya, aku juga sakit secara fizikal sewaktu di sana.

Aku dilahirkan di keluarga yang porak poranda. Ibu dan ayah bercerai sewaktu aku berumur 5 tahun. Lepas tu ayah tak pernah muncul lagi dalam hidup kami.

Aku masih ingat yang mak dan ayah akan bergaduh dengan teruk sekali sampai aku terpaksa lari ke dalam bilik dan tutup telinga kerana tak nak dengar mereka menengking dan kadang kala memecahkan perabot. Kemudian selepas ibu bercerai kami adik tinggal bersama atuk dan nenek selama beberapa tahun.

Aku yang sulung ketika itu dan adik-adik masih kecil dan adik bongsu sebenarnya masih setahun dan menyusu badan. Tetapi diberi susu formula semasa ketiadaan ibu. Walaupun aku masih berumur 5 tahun ketika itu, aku masih tidak dapat lupakan setiap peristiwa yang berlaku.

Aku masih ingat segala-galanya. Nenek sangat garang, tetapi sangat penyayang. Kalau kami buat salah, memang nenek akan sangat garang sehingga mencubit kami. Tetapi kalau kami behave dan tak buat salah, kami akan dilayan bagai menatang minyak yang penuh.

Nak makan apa? Cakap sahaja. Nak mainan apa? Mesti dapat. Nenek siap bagi duit lagi kepada aku walaupun sebenarnya aku sewaktu itu masih tak memerlukan duit lagi. Dari situ aku mula belajar mengira dan pandai membeli gula-gula sendiri.

Walaupun kadang-kadang aku takut dengan nenek, tetapi aku bahagia tinggal dengan nenek. Cuma aku sangat takut bila nenek marah. Nenek dia tak cakap banyak, dia akan terus cubit dan rotan kami dengan penyapu, hanger, atau apa-apa yang dia capai kalau kami buat salah. Lepas tu nenek akan sapukan ubat dan nasihat kami supaya jadi budak baik dan dengar cakap orang tua.

Atuk pula jarang layan kami, selepas pulang kerja atuk akan pergi ke warung dan melepak dengan kawan-kawan sampai maghrib. Bila waktu maghrib, atuk akan pergi ke surau sampailah malam. Bila balik malam, kami biasanya sudah tidur.

Sabtu dan ahad sahajalah baru kami akan nampak atuk duduk di rumah dan menghabiskan masa menonton televisyen sahaja. Lepas tu waktu petang, baru atuk keluar ke warung seperti biasa untuk berjumpa dengan kawan-kawan sampai maghrib.

Selepas itu, aku seorang sahaja kembali tinggal bersama ibu aku di tempat baru dan di rumah baru tanpa ayah. Adik dua orang lagi masih tinggal bersama nenek. Apabila aku bertanya tentang ayah, mak akan naik angin dan marahkan kami. Mak kata, “Jangan tanya pasal ayah lagi”.

Sejak dari tu, aku tak berani nak tanya pasal ayah. Jujur sebenarnya aku sangat takut apabila dimarahi. Aku akan rasa nak lari ke dalam bilik dan bersembunyi di dalam almari di bilik gelap dan duduk sahaja di sana. Pernah aku terlalu rindukan ayah, aku duduk bawah katil dan menangis keseorangan.

Aku duduk bersama ibu kerana aku perlu masuk tadika kerana tahu depannya aku akan bersekolah. Macam tu jugalah adik-adik aku, mereka akan kembali tinggal dengan ibu ketika sudah berumur 6 tahun. Aku akan berjumpa mereka ketika hujung tahun sahaja sewaktu cuti sekolah. Sebab waktu itu, aku akan tinggal bersama nenek semula.

Aku sejak kecil lagi aku sudah pandai berdikari sendiri. Umur 6 tahun, aku sudah pandai balik dari tadika berseorangan, makan makanan yang biasanya ibu sudah masak sebelum pergi kerja, cuci pinggan, dan letak baju kotor dalam mesin basuh.

Selepas itu aku akan duduk berseorangan menonton televisyen berseorangan. Lepas main permainan, aku akan kemas balik sebab aku tak nak Mak marah. Mak akan marah kalau rumah bersepah.

Walaupun Mak sebenarnya tak garang macam nenek, tetapi bila kena marah, aku tetap tertekan dan takut. Mak pesan jangan main dekat luar sebab ramai orang jahat. Jadi sebab aku telah didik untuk sentiasa patuh oleh nenek, jadi aku patuh sahaja arahan ibu. Ya, aku cuma kawan di tadika sahaja. Aku tiada kawan di kawasan perumahan.

Dalam masa setahun duduk di rumah sahaja, aku menjadi gemuk. Kemudian apabila masuk sekolah rendah, aku selalu dibuli dan diejek gemuk. Kawan-kawan selalu kenakan aku dan mereka akan lari. Aku tak dapat kejar mereka kerana aku berbadan besar.

Sewaktu di sekolah rendah, aku akan merasa cemburu dan kadang-kadang menangis bersendirian apabila tengok kawan-kawan dengan ayah. Lama kelamaan, aku benci ayah. Ayah tak pernah datang jenguk kami.

Aku masih ingat lagi adik bongsu kami yang tak tahu pun apa maksud ayah ketika dia berumur 6 tahun. Sebab hidup kami memang tanpa ayah. Ibu pun tak bagi kami tanya pasal ayah.

Ada rakan ibu dari pejabat tanya adik kami,

“Ayah adik mana?”

Adik aku akan jawab, “ayah tu apa?”

Ya, budak berumur 6 tahun, tetapi masih tidak tahu apa maksud ayah. Walaupun budak lain, itulah antara perkara pertama mereka mengerti.

Sewaktu aku berumur 6 tahun sehingga darjah tiga. Ibu selalu berpindah-pindah. Mulanya duduk di KL, lepas tu Melaka, lepas tu Sabah, lepas tu Kedah, Kelantan, dan akhirnya kami duduk di Kuala Lumpur. Tetapi masih berpindah-pindah, cuma sudah tidak keluar dari KL.

Tetapi awal tingkatan 4, barulah kami tidak lagi berpindah. Jadi, aku tiada kawan tetap dan tiada kawan yang kekal. Pada mulanya, aku ada kawan perempuan yang rapat dengan aku. Kami selalu berutus surat, tetapi setelah dua tahun, tiada lagi surat yang diterima dan aku juga sudah berputus asa untuk mengutus surat kepadanya.

Selalunya di sekolah baru, aku berupaya untuk memberikan first impression pada mereka, tetapi lama kelamaan, kawan baru akan menjauhi aku. Aku akan dibuli kerana fizikal aku yang gemuk dan tidak pandai bersukan. Jadi, setiap kali bermain, aku akan jadi liabiliti. Mereka akan mengelak aku jadi team mereka.

Tak kiralah sama ada bola sepak, bola keranjang, takraw, dan sebagainya. Aku menjadi orang paling teruk bersukan kerana waktu kecil aku hidup aku cuma perkarangan rumah nenek dan di rumah mak sahaja.

Aku cuma menonton televisyen dan membaca buku sahaja. Bilik aku penuh dengan komik, novel kanak-kanak, dan buku pelajaran. Jadi aku jarang bersukan dan banyak menghabiskan masa di rumah. Aku bukanlah pelajar yang popular dan sering dibuli dan tak pandai bersukan.

Aku saja nak ceritakan sedikit latar belakang tentang sebelum asrama kerana nak anda semua tahu siapa aku sebelum peristiwa hitam berlaku.

Setelah keputusan UPSR diumumkan, aku antara pelajar cemerlang di dalam sekolah. Guru sekolah kami berusaha untuk mendapatkan biasiswa dan sekolah menengah yang terbaik di Malaysia.

Aku dapat tawaran beberapa buah sekolah dan aku pergi hampir ke semua ujian kemasukan ke sekolah menengah elit. Akhirnya aku memilih untuk bersekolah di sebuah sekolah yang agak ternama di Malaysia.

Sekolah itu memang sekolah elit. Tak sangka yang aku akan satu kelas dengan anak ahli politik, anak ahli perniagaan yang kaya raya, dan anak-anak orang elit yang lain.

Aku ditawarkan biasiswa dan dikehendaki untuk masuk ke asrama. Sekolah tu ada tiga jenis pelajar. Satu program akademik untuk pelajar cemerlang dan ditawarkan biasiswa. Satu lagi program sukan untuk pelajar yang cemerlang sukan, tetapi upsr sekurangnya 2A dan minima 1C.

Satu lagi program adalah program pelajar biasa yang masuk sekolah itu dengan kelayakan minimum 3A atau 4A. Mereka boleh memilih untuk tidak duduk di asrama. Tetapi aku dapat tahu ada antara anak orang elit itu cuma masuk sekolah itu dengan cuma 2A.

Mungkin pakai pintu belakang. Jadi, itulah caranya untuk sekolah itu mengekalkan prestasi kejayaan akademik dan sukan. Memang kami antara sekolah yang terkenal dan selalu menang peringkat kebangsaan sama ada segi akademik dan sukan.

Aku terpersona dengan sekolah itu ketika ibu aku bawa untuk tengok semua sekolah yang aku dapat tawaran dan yang telah aku ambil peperiksaan kemasukan. Sekolah itu ada seni bina Inggeris dan sekolah itu pun sudah berusia hampir seratus tahun.

Tidak aku tahu yang rupanya aku sendiri memilih neraka yang akan memberi kesan yang amat mendalam dalam hidup aku.

Pada minggu pendaftaran asrama, kami disambut dengan baik sekali. Bayangkan para senior menyambut kami dan tolong angkat beg kami ke bilik. Mereka berbual dengan ibu aku dengan sungguh berbudi sekali. Aku rasa betul-betul aku sudah buat pilihan yang sangat tepat. Kemudian senior itu sendiri cakap pada mak aku,

“Jangan bimbang mak cik, kami semua di sini bagaikan keluarga besar. Kami akan didik anak Mak Cik untuk cemerlang dunia akhirat” Tidak sikit pun aku tahu didikan jenis apa yang aku akan terima nanti.

Aku takkan lupa kata-kata itu sehingga sekarang. Kerana kata-kata itu memberikan aku harapan yang sangat tinggi untuk dapat keluar dan akhirnya memiliki kawan dan suasana yang aku impikan.

Tetapi dalam minggu pertama sahaja, semuanya berubah 180 darjah. Senior yang baik bertukar jadi senior yang sangat garang dan kejam. Suasana riang bertukar menjadi suasana neraka.

Sewaktu minggu orientasi, kami di rangging dengan berbagai perkara yang memalukan. Kami diarahkan untuk memenuhi buku tandatangan yang memerlukan tandatangan 10-20 pelajar senior tiap tingkatan. Ada antara mereka yang baik dan terus bagi tandatangan asalkan hafal nama penuh mereka.

Tetapi ada antara mereka yang meminta untuk meniup kipas, meminta air, ketuk ketampi, kena kurung dalam loker, dan berbagai lagi benda yang menyeronokkan mereka tetapi benda yang tak masuk akal pada kami.

Pada malamnya, kami perlu memanjat pagar dan berguling di padang sekolah. Kami perlu ditutup mata dan melalui longkang, selut, kolam busuk, dan berbagai lagi. Kononnya untuk latih ketahana kami.

Sewaktu minggu orientasi juga, kami di ajar untuk cintakan sekolah, kami diajar cheers, lagu, tarian perang hakka, dan berbagai lagi tradisi sekolah itu.

Ramai kawan yang semangat dan mencintai sekolah itu. Tetapi bagi aku, aku makin membenci sekolah itu. Aku makin membenci senior sekolah itu. Aku antara yang yang selalu kena jerit dan digelakkan kerana fizikal aku yang gemuk, banyak cabaran yang aku tak boleh buat.

Sewaktu minggu orientasi lagi, aku sudah digelakkan senior dan rakan-rakan. Sewaktu kena panjat pagar, aku dan beberapa kawan yang gemuk lain tak dapat panjat. Mereka semua gunakan aku untuk naik memanjat, tetapi sewaktu aku nak memanjat, dua tiga orang menghulurkan tangan, tetapi mereka semua terjatuh ke bawah kerana aku terlalu berat.

Semua orang tertawakan aku kerana peristiwa tu. Tetapi tak pasal-pasal senior datang dan mengherdik aku. Dia herdik kenapa aku terlalu gemuk dan menyusahkan orang.

Aku sejujurnya tak berniat pun nak susahkan sesiapa pun. Akhirnya aku perlu lari ke pintu pagar dan datang ke tempat mereka dalam masa yang ditetapkan.

Sewaktu aku lari ke sana, mereka semua tertawakan sata kerana seorang budak gemuk sedang berlari dengan terhegeh-hegeh. Tapi aku gagal sampai dalam masa yang ditetapkan. Aku diherdik lagi dan kena buat push up sampai tak larat. Sebab tak larat, aku kena buat ketuk ketampi sampai kaki aku menggelatar.

Setelah habis minggu orientasi. Aku sangkakan semuanya sudah berakhir. Tetapi rupanya kami ada lagi orientasi oleh setiap batch. Mula-mula form 5. Mereka panggil pukul 1 pagi. Kami kena roll call dan kena ugut dengan mereka.

Kami diperkenalkan dengan ugutan untuk hormat mereka. Jika tidak kena pukul seperti ada seorang senior di depan kami. Dia ditutup mata. Kami dikatakan kesalahan dia adalah tidak hormat senior.

“Kalau tak hormat abang-abang, macam ni kau akan dapat”, terus dia sepak abang senior form 3 tu. Lepas tu ada senior form 5 lain tampar dia. Kemudian banyak lagi tamparan, pukulan, sepakan yang dia terima. Kemudian dia di bawa ke bilik sebelah.

Malam tu kami diugut kaw-kaw dan diherdik. Kemudian mereka juga memukul loker, merosakkan kerusi, dan menghentak katil demi menakutkan kami untuk tunjukkan siapa besar.

Pada hari lain pula, senior form 4 pula panggil kami satu batch. Kami diajar yang pe-repot adalah anjing asrama. Sehina-hina budak asrama, tukang report adalah budak paling hina. Kami diugut, kalau ada antara kami yang report ke warden, mereka kena gantung, kami tetap akan diburu di sekolah atau diluar asrama. Jangan harap kami akan selamat.

“Aku dapat tahu siapa yang report, macam ni aku bagi dia” Salah satu palajar senior tu tendang loker sehingga kemik.

“Pintu loker yang bengkok ni akan jadi tulang korang sekiranya ada yang merepot.” Itu kata-kata dia yang kami terima.

Hari lain pula, pelajar tingkatan tiga pula yang panggil. Mereka ajar tentang unity, Kalau satu jatuh, semua kena jatuh. Kalau satu buat salah, semua kena pukul. Mereka ajar kami untuk menipu cikgu dan warden.

Kami siap ada simulasi yang kononnya salah seorang antara kami mencuri, siapa yang salah sila mengaku. Kalau tak semua akan dipukul. Kemudian kami sorang-sorang ditampar. Aku ditampar sampai berdesing telinga.

Akhirnya salah sorang antara kami pura-pura mengaku dan diheret ke depan. Kemudian senior tu cakap, ni contoh budak batch yang baik kerana dia korbankan diri untuk batch. Walaupun dia tak buat, tetapi dia korbankan diri untuk batch. Jadi itu korang semua kena belajar dari dia.

Rupanya salah sorang senior dah arahkan dia untuk mengaku untuk bagi pengajaran pada kami. Ianya cuma untuk brainwash kami sahaja.

Cuma abang tingkatan dua sahaja yang tak panggil kami malam-malam. Sebab tingkatan satu dan dua, belum sampai maqam untuk pukul memukul. Hanya tingkatan 3 yang ada lesen untuk memukul junior.

Sepanjang hidup di asrama, duit kami selalu kena paw. Jadi, aku sentiasa sorokkan duit di dalam stokin, kasut, spender, dan mana-mana yang terfikir. Wallet kena ada RM1 atau syiling sahaja. Kadang kala, kami disuruh untuk kumpul syiling setiap sorang dan beli air di vending machine.

Hari demi hari, buli kami semakin berat. Kami disuruh basuh baju senior, kena paw maggi dan suruh buat maggi, suruh ambil air, belikan makanan dekat luar, dan berbagai lagi. Kalau tak ada maggi, senior suruh cari maggi dengan cara minta pada kawan-kawan dan buatkan maggi guna mangkuk dan sudu sendiri. Kerana sejak kecil aku sudah diajar untuk patuh, aku hanya buat sahaja.

Waktu berbaris ambil makanan. Senior akan potong barisan kami. Waktu belajar malam, kalau kami bising, senior akan on the spot tampar kami. Kalau kami lambat pergi surau, atau kesalahan lain, malam tu kami akan kena hukuman. Sama ada tampar, buat motorboat, kena ketuk ketampi, kena basuh baju, kena terajang, dan berbagai lagi. Semua ada. Hidup dalam neraka.

Tetapi dalam banyak-banyak junior, akulah selalu yang kena target mangsa buli sebab aku tidak pernah melawan dan ada senior kata muka aku ni punch-able. Rasa nak tumbuk je walaupun tak ada sebab. Dan dia pun tumbuk muka aku waktu tu jugak. Ya, dia tumbuk tanpa sebab.

Ada rakan kami yang melawan, tetapi malamnya dia dipanggil ke bilik senior dan dipukul. Dia dijadikan contoh buat kami. Esoknya dia terlalu sakit untuk pergi ke sekolah sampai kami terpaksa sorok dia di stor. Balik dari sekolah, kami cepat-cepat keluarkan dia dari stor dan bawa dia ke katil.

Kami satu bilik bagi bawa makanan dari dewan makan dan bagi dia makan. Punyalah teruk sampai tiga hari dia tak boleh pergi sekolah.

Siapa sangka, senior yang nampak seperti malaikat ketika minggu orientasi, adalah antara senior paling bengis pernah wujud di asrama. Dia memang terkenal dengan kaki gila sebab pernah pukul budak sampai masuk hospital. Dia kemudian digantung asrama dan kembali semula ke asrama. Jadi dia terkenal dengan panggilan xxxxxx.

Jadi, bila dia dah balik. Bayangkan bertapa tauma dan takutnya kami dengan senior. Kalau kami report, senior akan kena gantung je dan akan balik semula. Jadi, lepas tu hidup kami akan jadi lebih neraka. Sama ada secara mental atau fizikal. Siapa yang mereport, pastu akan kena balik.

Pernah ada batch kami cerita pada ayah dia tentang buli yang dia kena. Ayah dia datang asrama dan serang pengurusan Asrama. Senior tu cuma kena rotan sahaja.

Tetapi hidup kami bagaikan neraka selepas itu. Semua gara-gara aku sebilik dengan dia. Kami satu batch panggil dia anjing sebab dia mereport. Sebab kadang-kadang tiba-tiba ada senior roll call kami tiba-tiba dibilik dan kononnya buat spot check.

Mereka punggah seluruh loker kami dan buang ke lantai. Baju-baju kami kena campak ke bawah dari tingkat 3. Sebelum mereka pergi, dia kata, “Ni nasib korang terima sebab ada anjing dalam bilik ni”. Kami semua salahkan dia dan pulaukan dia.

Kadang-kadang balik sekolah, habis tilam kami kena selongkar dan dibuang ke tandas. Habis basah dan kami terpaksa jemur tilam kami. Malam tu kami masing-masing tidur atas papan. Bila warden tanya kenapa, kami tepaksa cakap yang salah sorang kami main pili bomba.

Waktu tu, dua orang dari kami berkorban dan mengaku salah. Yang sorang tu kononnya saja hala pili bomba, tetapi kawan dia saja buka pili bomba dan habis terpancut air ke dalam bilik kami. Jadi mereka berdua kena rotan.

Bijak kan kami menipu? Sebab kami sudah diajar senior untuk bagi alasan munasabah.

Sebenarnya aku sangat tertekan dengan kehidupan di asrama. Aku setiap malam membenci dan menyenaraikan semua senior yang aku benci dan berharap mereka mati.

Sebab aku sewaktu kecil banyak bersendirian, aku banyak menulis diari. Aku luahkan segalanya pada diari. Dalam diari tu, aku tulis setiap buli yang aku kena dan siapa nama senior tu. Dalam diari itu aku tidaklah tulis yang aku selalu mengelamun untuk mereka mati.

Tiap hari aku adalah neraka. Pasti aku disuruh basuh baju, cari duit dan beli air vending machine, kena beli barang tapi guna duit sendiri.

Paling tidak kena cari maggi dan masak maggi untuk senior. Sampai ada kawan batch kami sengaja rosakkan vending machine dengan potong wayar sebab vending machine tu merupakan elemen neraka bagi kami. Bila orang vending machine repair, dia potong wayar tu lagi.

Sampai hari ini kami tak tahu siapa, tetapi kami tahu sebabnya. Abang senior form 5 marah, kalau dapat tangkap siapa buat dia akan pukul kami. Tetapi kami lega apabila vending machine tu tidak lagi di-repair untuk tempoh masa yang lama. Tahun depannya baru vending machine tu elok balik. Tapi bagi junior, kami semua benci vending machine tu.

Pada suatu hari, ada kejadian curi dan aku antara yang dipanggil kerana disyaki mencuri. Sejujurnya aku tak mencuri, tetapi aku tetap dipukul kerana disyaki. Sebab ada saksi nampak aku pergi ke bilik tu. Terdapat empat orang antara kami. Duit senior dicuri RM10. Gila apa nak curi duit senior. PAsti pencuri tu sebenarnya budak batch dia jugak tu.

Aku masih ingat mata aku ditutup. Mata aku ditutup sebab mereka nak pukul secara mengejut dan aku tidak menahan atau kerasakan badan apabila dipukul. Aku dipaksa mengaku, tetapi aku tetap tak mengaku. Akhirnya tiada siapa yang mengaku tetapi kami berempat dipukul dari pukul 1 sampai 4 pagi.

Kami disusun secara rapat-rapat, kemudian akan ada senior yang lari dan buat flying kick. Kami semua akan jatuh serentak. Kemudian ditukar posisi sampai semua merasai kena flying kick. Kami ditampar di telinga sampai berdesing. Dipukul dengan kayu dan disepak sampai aku termuntah. Tak pasal-pasal lepas habis sesi memukul, aku kena stay untuk bersihkan muntah sendiri.

Seperti biasa, kami akan diugut untuk tidak melaporkan hal ini. Pagi tu, aku terpaksa pergi sekolah dengan badan sakit-sakit. Sampai sekolah, aku cuma tidur dan kena marah dengan cikgu sebab tidur. “Budak asrama ni suka sangat tidur dekat sekolah”. Kata cikgu. Memanglah, dah malamnya kami kena ragging, cakap aku dalam hati.

Dari hari itu, aku jadi trauma. Tiap malam aku bermimpi tentang kena pukul itu. Kadang-kadang aku tak boleh tidur. Aku jadi takut dengan mereka. Kadang-kadang mereka saja sergah aku dari belakang. Aku jadi berdebar-debar dan rasa takut sangat.

Ada satu malam lain, aku kena panggil malam-malam sebab tak buat kerja senior. Aku tak buat sebab aku buat kerja senior lain. Tetapi mereka tak nak dengar alasan. Kononnya banyak point mereka kumpul. Malam tu aku kena pukul lagi.

Aku kena sepak, kena tampar, dipukul dengan kayu. Tempat senak banyak kali kena pukul. Ini pertama kali aku kena pukul berseorangan. Mereka suruh aku menyalak macam anjing dan secara tiba-tiba aku kena flying kick. Aku tercampak dan terkena katil. Bibir aku berdarah. Barulah mereka stop pukul aku sebab tengok aku berdarah.

Lepas tu ada sorang abang senior buka penutup mata dan rawat aku dengan Dettol kuning dekat tempat berdarah tu. Lepas tu ada abang senior lain seperti biasa suruh cakap yang aku jatuh tangga.

Paginya sewaktu roll call asrama, warden tegur kenapa bibir aku pecah. Aku cuma menjawab jatuh tangga waktu main kejar-kejar. Mulanya wardan nak bawa ke klinik, tapi aku cakap tak apa sebab malam tadi abang xx dan rawat aku. Padahal dia antara yang pukul aku.

Dekat asrama aku, ada berlegar satu lagenda yang satu budak ni kena pukul dekat tandas. Lepas tu tulang rusuk dia patah dan masuk hospital. Tetapi dia tak report pun. Dia cuma cakap jatuh dekat tandas. Budak itu sampai sekarang dijulang sebagai hero asrama sebab tak mereport.

Sungguh aku trauma dengan setiap buli yang aku kena. Kadang dalam mimpi, aku bermimpi sedang membunuh mereka. Aku rasa puas dan lega bila dapat mencekik, membunuh dengan pisau, dan menikam mereka dari belakang. Bila bangun tidur, aku rasa geram kerana itu cuma mimpi.

Ada satu hari tu, aku kena ejek dengan budak satu batch. Mereka pula buli aku secara mental. Panggil aku gemuk dan ambil sebelah kasut aku. Mereka baling ke atas pokok. Aku menangis bawah pokok berseorangan sebab aku tak boleh memanjat.

Satu malam ketika kelas tambahan. Aku diejek dan aku tak tahu haritu itu aku rasa sangat terluka. Sudahlah tiada kawan, kena buli dengan senior lagi. Aku rasa hidup aku dah tak bermakna. Aku pergi ke tingkat paling tinggi dekat banggunan sekolah aku.

Aku tengok ke bawah dan duduk panjat batas di koridor. Aku berdiri dan memandang ke bawah. Sejujurnya aku belum rasa nak terjun, tetapi aku rasa seperti satu perasaan yang macam everything is meaningless anymore. Rasa kosong. Rasa hidup ke mati ke, sama je.

Tiba-tiba aku kena peluk dengan kawan batch. Entah bila mereka ada di belakang kau. Kecoh malam tu katanya aku nak bunuh diri.

Ketua batch aku marahkan aku, dah tak sayangkan mak ke? Dah tak sayangkan keluarga ke? Itu dia marahkan aku.

Sejak dari itu, budak batch aku tak buli aku dah. Tetapi mereka semua pulaukan aku. Mereka cakap, “kadang salah cakap, kau bunuh diri pulak”. Sejujurnya perkataan tu amat menyakitkan. Cuma ada beberapa yang kesiankan aku je masih berkawan dengan aku.

Aku masih ingat sorang kawan aku ni. Dia yang protect aku dari kena ejek. Dia ajak aku pergi makan malam bersama dan dia je yang akan teman aku. Tetapi aku masih tak buka hati untuk dia. Dia cuma kesiankan aku. Cuma aku berterima kasih pada dia.

Kadang-kadang bila aku tertekan aku akan pergi ke belakang tangki air. Aku akan menangis sorang-sorang sambil membayangkan kerana bertapa sialnya hidup aku ni. Ayah tak ada, kena buli, tak trendy dan fancy macam kawan-kawan kelas.

Bila kena tampar atau pukul secara tiba-tiba, aku akan ke sana dan menangis. Kadang aku membayangkan setiap orang yang buli aku tu mati dibunuh dengan tangan aku sendiri di situ. Aku rasa sangat berdendam dan marah dengan sekeliling. Hampir tiap malam aku bermimpi yang aku mencekik mereka sampai mati.

Pernah ada video viral yang junior kena paksa masuk dalam tong sampah dan tong sampah ke kena golek dan disepak terajang. Ya, ada antara kami pernah kena. Mungkin ada antara kalian pernah tengok video budak dibuli di asrama dan dipukul ramai-ramai. Ya, itu perkara biasa. Kami semua dah merasainya.

Banyak perkara yang korang tak dapat bayangkan pun berlaku. Kena pukul beramai-ramai dan bergilir-gilir tu asam garam kami.

Ada suatu hari tu, aku meletup. Aku serang kawan bilik aku sebab dia sepak aku sebab bergaduh mulut. Aku cuba pukul dia, tetapi dia lagi superior dan dapat pukul aku balik. Aku menjerit yang aku doakan dia mati. Kecoh asrama aku menjerit macam orang gila.

Hati aku penuh dendam dan kemarahan. Aku dah tak tahan duduk di asrama. Ada satu hari tu. Aku kantoi panjat pagar fly asrama. Aku tertekan dan malas belajar pada hari itu. Ada senior nampak dan dia panggil aku malamnya. Dia cakap, fly sekolah ni ada minta lesen ke?

Ya, dekat asrama aku, kalau nak buat kesalahan kena minta lesen dari senior. Nak fly sekolah ke, nak panjat pagar ke, nak pukul junior ke, kena minta izin abang senior form 5. Tapi selalunya adalah ufti kena bayar. Belikan rokok ke, air vending machine ke, duit ke, maggi ke, atau apa-apalah.

Jadi, malam tu, aku dan dua kawan aku kena pukul sampai pagi di tandas. Badan aku penuh lebam akibat dipukul. Aku disalahkan sebab lambat panjat pagar walaupun ada bantuan meja.

Esoknya, aku isi beg sekolah dengan baju dan aku tak pergi sekolah tetapi aku balik secara tiba-tiba. Aku balik rumah dan menangis. Mak aku yang balik kerja pada petangnya terkejut aku ada di rumah. Aku ceritakan yang aku dah tak nak duduk asrama dan tunjuk semua lebam badan aku akibat kena pukul malam tadi.

Aku bagi tahu yang kononnya jatuh tangga, jatuh longkang, dan berbagai lagi kemalangan tu sebenarnya aku kena pukul. Aku bagi diari aku pada mak aku dan mak aku senaraikan semua orang yang pernah buli aku sama ada suruh basuh baju, masak maggi, sampailah pukul aku beramai-ramai.

Mak aku marah sangat dan bawa ke sekolah. Ramai orang kena panggil dan rotan. Gempar asrama ketika itu. Tetapi yang aku geram, orang yang pernah pukul aku cuma gantung mereka dua minggu sahaja. Aku dipanggil anjing oleh rakan batch. Ada sorang kawan batch aku datang dan marahkan aku dekat kelas.

Dia kata, kerana aku, satu batch kena pukul. Budak-budak asrama kat kelas aku semua menyampah dengan aku. Mereka tak layan aku. Mereka pun kutuk aku dekat kelas panggil aku anjing, lembik, dan bukan budak asrama pun diam je.

Mengikut perjanjian biasiswa, aku perlu duduk asrama. Tetapi aku dah tak tahan, aku minta untuk tukar sekolah. Aku perlu habiskan sekolah dekat sekolah tu selama hujung tahun dan aku berulang alik naik bas. Tahun depannya baru aku tukar sekolah.

Tetapi walaupun tak duduk asrama, hidup aku masih tak tenang. Sebab aku sentiasa dapat pekhabaran yang senior cari aku. Mereka nak jumpa bila balik sekolah.

Aku hidup dalam ketakutan. Waktu rehat aku akan menyorok sebab aku dapat tahu ada senior cari aku waktu rehat. Aku tak pergi kantin berminggu lamanya. Habis sekolah je, aku terus lari dari kelas dan pergi ke bas untuk balik rumah.

Biasanya aku akan ikut pintu lain yang betul-betul dekat dengan blok tingkatan aku. Pernah aku terserampak dengan senior tingkatan 3. Aku dah terkejut dan nak lari. Tetapi dia cuma cakap, kau rilek. Aku tak pukul kau. Tapi kau kena hati-hati, ramai orang cari kau ni. Semua gara-gara senarai yang mak aku buat dan bagi pada pihak asrama.

Sejujurnya, aku jadi benci pada pengurusan asrama yang handle perkara ni. Mereka cuma bagi hukuman yang ringan. Kami terseksa fizikal dan mental.

Suatu hari tu, ada abang senior yang kena gantung tu tunggu aku luar sekolah. Dia dah habis kena gantung. Aku terpaksa panjat pagar dan baju aku koyak kerana terkena duri pagar. Esoknya aku terus tak datang sekolah tu dan berjanji dengan mak aku untuk belajar di rumah sahaja. Mulanya mak aku tak bagi, tetapi sebab aku menangis, mak aku benarkan.

Ya, tak nafikan. Tak semua senior jahat. Tak semua senior kaki pukul. Tak semua senior kaki buli. Tetapi mereka semua tak buat apa-apa. Ada yang tak kaki pukul, tetapi mereka akan cover line. Jadi mata-mata tengok warden kat mana.

Aku tak sangka apabila aku tukar sekolah, rupanya biasiswa itu masih berjalan sehingga aku tingkatan 5. Rupanya syarat duduk asrama tu sekolah itu yang tentukan. Biasiswa tu cuma nak report peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun sahaja.

Sejujurnya, segala kemarahan, kebencian, dan penghinaan yang aku terima, sampai hari ini aku masih rasa. Aku sebenarnya masih lagi bermimpi berjumpa mereka dan nak bunuh mereka. Kadang aku mimpi mereka mengepung aku, aku jadi cemas dan terjaga dari tidur. Kemudiannya aku menangis seorang diri dalam bilik.

Sewaktu di sekolah baru, semuanya baik kerana mereka tiada tradisi senior junior. Tak ada panggilan abang atau kena hormat senior. Cuma ada fraction dan geng-geng sahaja. Bila aku berkawan dengan geng ni, aku tak boleh rapat atau tegur dengan geng lain.

Kiranya aku cuma perlu berhati-hati dengan geng lain sahaja. Tetapi aku selalunya boleh kawan dengan orang yang dari geng berlainan. sebab diorang tengok aku ni budak skema dan baik. Geng-geng is not my thing. Ya, sekolah baru aku ada geng tiga garisan dan nombor-nombor semua tu. Dekat sekolah itu, aku berjaya lupakan sikit-sikit trauma aku dan mula ada kawan baik.

Tetapi peristiwa kena pukul itu tetap menghantui aku. Kadang-kadang apabila aku marah, marah aku berlebihan. Aku bagai orang kena rasuk. Dari seorang anak yang sentiasa patuh, aku ada rage dan kemarahan yang terpendam. Aku berusaha jadi kurus dan akhirnya aku dah kurus di sekolah baru.

Bayangkan, semua itu sudah berlalu 15 tahun yang lalu. Tetapi sampai hari ini, aku masih lagi bermimpi membunuh orang yang buli aku. Aku masih lagi ada kemarahan dan dendam dengan mereka. Aku pernah terjumpa salah seorang pembuli dalam facebook.

Serta merta tangan aku jadi menggeletar, aku rasa dada aku sakit sangat. Aku rasa marah dan geram. Aku rasa nak cari mereka aku nak pukul mereka dan bunuh mereka! Aku geram dan sangat berdendam.

Tapi aku tak buat semua tu sebab aku sayangkan mak aku. Aku tak nak mak aku hidup dengan mengetahui salah sorang anaknya adalah penjenayah.

Sampai sekarang sebenarnya aku masih tak ramai kawan. Kawan aku sikit. Aku sebenarnya hilang keyakinan untuk berkawan dengan orang terlalu ramai dan takut berada di berhadapan orang ramai. Aku masih trauma kena ejek dan kena herdik. Sebab tu facebook aku tiada satu pun gambar aku. Aku tak nak kawan asrama jumpa fb aku atau senior jumpa fb aku.

Sampai sekarang aku kadang-kadang tak dapat kawal kemarahan dan membuatkan aku melampau melepaskan kemarahan. Sebenarnya aku tak berniat.

Aku takut sakitkan orang sekeliling aku. Sewaktu tingkatan 4, aku pernah terpukul adik aku sampai dia merayu berhenti pada aku. Kamudian aku terhenti sebab reaksi dia sama dengan apa yang aku buat ketika kena pukul dengan senior pada waktu asrama.

Serta merta aku menangis dan minta maaf. Sejak haritu aku tak pernah pukul adik aku dah walaupun tak sengaja. Aku berjanji pada diri sendiri untuk tak pukul sesiapa yang aku saying. Aku cuba untuk bertahan untuk tidak marah-marah.

Tetapi trauma aku tetap ada. Aku masih lagi dihantui dengan bermimpi kena pukul beramai-ramai. Aku masih lagi bermimpi membunuh mereka satu demi satu. Semua tu tetap ada walaupun setelah 15 tahun tinggalkan asrama.

Aku tahu aku perlukan bantuan, tetapi sejak kejadian adik aku itu, aku semakin dapat kawal kemarahan dalam dunia sebenar. Di tempat kerja, kadang-kadang aku memang terpaksa marah-marah dan kadang kala kemarahan yang aku pendam tu aku keluarkan.

Kesian Bangladesh yang kena marah dekat tempat kerja. Tetapi aku tak pernah naik tangan atau pukul sesiapa dah. Aku cuma marah sampai mengherdik mereka kalau mereka lakukan kesalahan. Kadang-kadang kawan sekerja aku pun terkejut bila tengok aku marah terlampau.

Mereka akan hentikan aku. Tetapi sebenarnya aku tak patut marah mereka sampai macam tu sekali. Bila hari lain, aku rendahkan ego aku dan minta maaf pada bangla yang aku tengking dan herdik tu. Sungguh aku menyesal buat macam tu.

Tetapi itulah, bila kau terlalu pendam semua tu bom jangka yang menunggu untuk meletup. Bila sampai satu tahap aku akan breakdown dan terlalu marah, aku lepaskan semua kemarahan aku pada benda bukan hidup. Aku pergi ke tempat yang tak ada orang.

Aku bawa kayu besball, dan aku bawa bantal atau barang-barang elektronik yang aku dah rosak atau apa-apa sahaja yang aku dapat capai dan tak berguna lagi. Aku akan pukul dan pecahkan sampai aku penat. Lepas tu akan akan kumpul dan sapu balik, barulah aku buang ke tong sampah. Lepas tu aku akan lega dan takkan marahkan sesiapa.

Aku pernah terlintas adakah satu hari nanti aku akan lakukan pada orang? Tetapi aku rasa tak. Sebab aku masih ada empati. Sekiranya ada Bangladesh cedera di tempat kerja, aku ada rasa empati dan cuba rawat mereka. Jika mereka susah dan sakit, aku akan tolong mereka. Kadang mereka merayu nak pinjam duit, aku bagi. Kalau setakat RM10-RM50, aku bagi sahaja.

Aku juga rasa terganggu tengok animal abuse. Aku juga rasa terganggu apabila melihat video orang kena pukul. Sebab aku akan dapat nampak aku adalah mangsa pukul tu. Aku akan rasa akulah binatang yang kena abuse itu. Aku trauma dengan kejadian adik aku.

Bila aku terfikir, kalau aku pukul orang, aku akan jadi orang yang paling aku benci, iaitu si pembuli. Ya, aku masih ada empati. Empati itu yang menahan aku dari memukul orang.

Ya, aku masih lagi bermimpi membunuh pembuli yang membuli aku. Tetapi aku sebenarnya rasa macam takkan buat dalam dunia sebenar. Tetapi aku tetap tak tahu takut dan takut sekiranya aku terlepas juga pada orang.

Aku dah ada isteri dan anak. Pada mula perkahwinan, aku pernah tak sengaja tergenggam lengan isteri aku sehingga dia sakit. Waktu tu kami bergaduh dan dia nak pergi, aku sentap lengan dia dan tarik dia. Dia cakap sakit dan nampak muka dia sangat sakit. Aku segera lepaskan.

Aku betul-betul tak sengaja dan minta maaf. Bila tengok balik, lengan isteri aku lebam. Aku menangis minta maaf dekat isteri aku. Aku janji takkan sekali-kali sakitkan dia lagi. Alhamdulillah setelah 7 tahun, kejadian itu tak berulang lagi. Sebab setiap kali kami bergaduh dan aku marah. Aku akan keluar dari rumah.

Mulanya isteri aku sangat marah bila aku buat macam tu, tetapi aku takut aku tercederakan isteri aku seperti aku sentap tangan dia masa awal-awal perkahwinan dulu. Tapi rasanya itulah yang terbaik. Bila masing-masing dah cool, kami akan selesaikan selisih persefahaman tu tanpa masing-masing marah.

Aku pernah secara tak sengaja mengherdik anak aku yang sulung beberapa kali. Tapi aku tak pernah pukul anak aku. Paling teruk pun aku pernah jentik jari dia je. Itulah rasanya sentuhan fizikal yang untuk menghukum pernah aku buat. Aku tak nak anak aku trauma seperti aku apabila kena pukul ke kena rotan ke.

Satu hari tu, isteri aku cakap, ha buatlah macam tu nanti ayah marah. Pada mulanya dia tak peduli. Waktu tu aku balik dari kerja.

Isteri aku cakap, “Ha tu ayah dah balik. Ayah nak marah tu”. Anak aku terkejut dan macam nampak hantu. Dia tiba-tiba menangis dan meraung. Aku tanya kenapa tu, dia kata takut aku marah. Isteri aku nasihat pada aku yang kurangkan sikit kemarahan tu bila didik anak.

Anak awak dah trauma dengan awak. Aku menyesal sangat-sangat mendengar tu. Aku menangis sambil peluk anak aku. Aku cakap sorry pada anak aku dan ayah takkan marahkan dia macam tu lagi sambil peluk dia. Waktu tu dia cuma mengangis.Bila pada masa lain, aku datang dekat dia. Aku peluk dia dan cakap sorry. Aku cakap yang ayah sayang pada dia.

Pada mulanya dia diam, lama lepas tu barulah dia cakap yang dia sayangkan aku balik. Secara jujurnya, aku tak tahu macam mana nak jadi seorang ayah. Memori aku pun, aku tak pernah rasa kehadiran ayah di dalam hidup aku. Ya, aku pernah jumpa ayah aku. Dia dah ada keluarga lain dan dah ada anak lain.

Selepas tu aku banyak bergurau dengan anak aku dan beli macam-macam mainan dan bawa dia berjalan berdua untuk beli balik jiwa dia. Aku rasa lega bila isteri aku cakap, dia dah tak trauma dengan aku macam tengok hantu. Tetapi aku masih bertegas dan tak nak anak aku jadi spoil brat.

Cuma bila dia dah melampau, aku pernah cakap pada anak aku. Nak ayah marah ke? Dia terus akan behave atau tidak melampau. Kadang-kadang aku saja biarkan dia lepaskan semua tantrum dia. Bila dia letih, barulah aku layan dia. Bila aku terlalu marah pada anak aku, aku buat benda sama pada isteri aku. Aku akan cakap pada isteri aku, awak tengok anak tu dan aku akan keluar dari rumah.

Selalunya aku cuma memandu ke taman atau ke kedai makan. Aku akan duduk minum air sambal termenung. Semua kejadian dan trauma aku di asrama pasti akan flashback. Aku jadi geram bila marah. Cuma yang dapat memadamkan kemarahan aku itu adalah masa.

Aku akan tengok gambar isteri dan anak-anak aku. Aku tengok gambar anak aku ketika kecil dan ingat kembali bagaimana gembira dan bahagianya aku bersama mereka. Waktu tu dah cool down, baru aku akan pulang ke rumah. Aku takut untuk sakitkan isteri dan anak-anak.

Sekarang ni, bila aku balik kerja. Anak aku tu akan berlari kejar cari aku. Ayah dah balik. Ayah dah balik. Anak aku yang aku pernah takutkan aku kini dialah yang paling gembira bila aku balik. Aku cuba untuk berlaku adil dan sayang semua cara rata.

Aku amat berharap yang suatu hari nanti aku dapat berdamai dengan diri sendiri dan lenyapkan semua kemarahan dan meleraikan semua dendam yang terbuku. Aku amat berharap semua trauma ini akan hilang dan tidak lagi broken dari dalam.

Walaupun sampai sekarang ni, aku masih lagi bermimpi berjumpa pembuli aku dan aku cekik mereka atau bunuh mereka dalam mimpi. Ya. Setelah 15 tahun, aku masih lagi ada kemarahan dan rage dalam diri aku pada mereka.

Terima kasih kerana baca panjang-panjang luahan hati aku. Aku dah terbiasa tulis dalam diari. Sebab tu aku tulis panjang-panjang.

Sejujurnya, aku tak pernah cerita semua ini walaupun pada mak dan isteri aku sekalipun. Jadi, aku rasa sampai sudah masanya untuk aku cuba berdamai pada aku sendiri. Sebab itu aku tulis di sini dan kongsikan pada orang. Aku cuba nak lepaskan semuanya disini.

Harap apabila aku sudah kongsikan pada semua orang, aku sudah boleh berdamai dengan diri sendiri.

Harap aku boleh memaafkan semua pembuli aku dan tidak lagi berdendam dan melenyapkan semua kemarahan dan geram yang terbuku dalam hati.

– Mangsa Buli (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *