Tegurlah Aku Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Pertama sekali, aku terpanggil untuk menulis di sini kerana isu hangat yang melanda seorang artis berhijab baru-baru ini. Terima kasih jika admin siarkan dan aku sangat berharap seandainya tulisan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua khususnya buat semua muslimah yang dicintai kerana Allah.

Aku graduan UIA. Pernah belajar di sekolah agama. Aku seorang yang boleh dikatakan ‘friendly’, ‘happy-go-lucky’, ‘cheerful’, dan seumpama dengannya. Aku tak pernah ber’couple’ tetapi aku pernah anggap bahawa tiada masalah untuk ber’huha’ dengan rakan-rakan lelaki. Ala setakat keluar makan atau berjalan beramai-ramai antara lelaki & perempuan bukannya ber’dating’ pon. Malah dalam sesetengah persatuan Islam pon aku lihat bergurau antara lelaki perempuan sudah menjadi kebiasaan. Selain itu, aku juga dulu jenis yang suka upload gambar di media sosial. Yelah seronok bila dapat like & komen tak kisahlah dari rakan lelaki atau perempuan.

Aku sebenarnya tak sedar bahawa aku sedang hanyut dengan pemikiran begitu sehinggalah ada rakan-rakan baik yang menegur. Ada seorang rakan aku pernah kongsikan pesanan Ustaz Hasrizal mengenai ikhtilat yang aku rasa sangat menyentap jiwa terutama buat insan yang kononnya ada ‘ilmu agama’. Tapi sentapnya sekejap jelah sebab aku sudah terbiasa dengan pemikiran apa salahnya perempuan berkawan dengan lelaki.

Sehinggalah pada suatu hari, seorang rakan mengajakku makan bersama. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampus, dia bertanya “awak rapat ke dengan mamat(bukan nama sebenar)?”

Aku jawab “yup, he’s my best friend.” Kemudian dia menyambung satu pesanan yang aku ingat sampai sekarang “awak tau tak saya cemburu tengok anak-anak senior yang sangat soleh & solehah. Rahsia diorang sebenarnya ialah menjaga ikhtilat sebelum berkahwin.” Aku rasa pesanan dia tuh sangat menyentuh lubuk hati aku. Mungkin sebab dia sampaikan dengan penuh kasih sayang. Baru lepas belanja makan pulak tuh. Hehe.

Bermulalah dari saat itu hijrah aku. Sebenarnya aku memang ‘salute’ dekat muslimah-muslimah solehah yang sangat menjaga ikhtilat dan yang aku perhatikan golongan bidadari dunia ini kebanyakkannya akan ‘private’kan media sosial mereka terutamanya instagram istimewa buat rakan muslimah sahaja.

Dulu aku kurang faham kenapalah ‘golongan suci’ ni asyik menekankan bergaul atas dasar urusan sahaja sampailah aku dengar tazkirah

Ustazah Fatimah Syarha “kalau kita dulunya suka berchatting dengan bukan mahram, duk bertukar ganti pasangan, bila kita dah kahwin nanti syaitan akan bisikkan curiga pada pasangan kita.” Rupanya pergaulan secara bebas akan beri kesan jangka panjang kepada rumahtangga yang bakal kita bina. Yelah bila kita dah biasa untuk tak menjaga batasan, mudah untuk iblis hancurkan masjid kita dengan kecurangan.

Akhir zaman ini, kita sebagai muslimah memang mudah untuk hanyut dengan arus kemodenan. Kalau tengok media sosial hari ini, jangan kata anak remaja malahan makcik-makcik pon sudah tidak segan silu untuk ‘posing’ menggoda dengan fesyen masa kini yang hanya ‘membalut’aurat semata-mata.

Sebenarnya semua ini berlaku berpunca dari sifat malu yang telah tercabut dari dalam diri kebanyakan muslimah akhir zaman ini. Kita sibuk untuk menjadi ‘glamour’, ‘trendy’, sehingga kita terlupa untuk bercita-cita menjadi seorang muslimah solehah.

Bukan mudah untuk menjadi seorang yang solehah dalam dunia penuh fitnah. Ya, tidak mudah jika kita menempuhnya bersendirian. Namun, ia akan menjadi lebih mudah jika kita sama-sama berubah. Kepada muslimah di luar sana yang Allah telah pilih untuk melalui jalan menjadi solehah, pimpinlah tangan setiap muslimah yang sedang hanyut dalam lembah fitnah. Ramai orang boleh kecam apabila seseorang buat salah, tapi tak ramai yang akan peluk untuk beri nasihat kasih sayang kepada seorang pendosa. Sayang bukan bermaksud menghalalkan perbuatan orang yang dicintai tetapi menegurnya dengan cara yang paling berhikmah.

“Seindah-indah perhiasan dunia ialah wanita solehah”.

Jom kita sama-sama usaha untuk jadi solehah. Fighting!

– Seorang pendosa

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit