Kawan atau Lawan

Assalamualaikum pembuka bicara, terima kasih kepada IIUM Confession sekiranya cerita hidupku ini disiarkan kepada umum. Terima kasih juga kepada yang sudi membaca.

Dalam hidup kita, banyak perkara yang berlaku. Ada yang kita suka, ada yang membuat kita berduka dan terluka. Namun berbekalkan pengalaman hidup selama 20+ tahun, aku dapati beberapa keputusan yang aku buat dalam hidup ini adalah keputusan yang salah. Mungkin juga masih muda dan mentah, mungkin juga dikatakan tidak matang. Jadi, perkara yang terjadi kepada aku ini memerlukan pandangan dan pendapat para pembaca tentang apa yang perlu aku lakukan.

Kisahnya bermula pada penghujung 2017, aku seorang remaja lelaki yang berusia 20an berjaya menempatkan diri dalam salah satu universiti awam di semenanjung Malaysia (Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menguasai seluruh Alam). Bermulanya hidupku sebagai mahasiswa sarjana muda kejuruteraan. Semuanya berjalan lancar pada mulanya, namun satu perkenalan dengan pensyarah muda di situ yang menyebabkan aku terperangkap dalam satu keadaan yang membuatkan diri ini berasa tertekan.

Usai program orientasi, aku mula menceburkan diri dalam bidang kepimpinan di kampus tersebut. Sebagai pelajar baru yang masih bersemangat, aku menyertai pelbagai aktiviti dari sukan hingga program kepimpinan, disamping mengumpulkan merit untuk kolej (tipu la taknak kolej kan haha). Menjelang akhir semester pertama di kampus tersebut, pensyarah-pensyarah mula mengenaliku, memberi amanah kepadaku menjalankan pelbagai program hingga akhirnya aku diberikan jawatan tinggi di dalam fakulti. Di situ bermulanya perkenalanku dengan seorang pensyarah lelaki, kita gelarkan dia Sir A.

Pada mulanya, aku hanya ditugaskan untuk menjalankan satu program komuniti di kawasan kampus tersebut dan dipantau oleh Sir A. Dari situ kami mula rapat, aku sebagai pelajarnya memang menghormati seorang yang mencurahkan ilmu kepadaku, walaupun bukan di dalam kelas. Dia meminta nombor telefonku, dan dari situ Sir A mula menghantar mesej melalui applikasi whatsapp. Sir A seorang lelaki yang sudah berkahwin dan boleh dikategorikan sebagai seorang lelaki yang sedikit lembut – bukan prejudis, hanya sedikit gambaran – dan juga sentiasa ramah dengan orang sekeliling. Mengikut perkiraanku, mungkin kerana dia seorang yang peramah maka dia sentiasa berwhatsapp dengan para pelajar jadi aku tidak mengambil kisah tentang mesej2 yang dihantar kepadaku walaupun kadang-kadang mesejnya tidak langsung berkait dengan tugasan di kampus.

Bermula cuti semester, keadaan semakin jelas buat aku. Mengikut sahabat-sahabatku, hanya aku yang Sir A selalu whatsapp, bertanya ‘sudah makan ke belum’, ‘sihat ke tidak’ dan sebagainya. Dia mula bertanya tentang tentang keluargaku, adik-beradikku dan juga ibu bapaku. Keperihatinannya memang terserlah kepada aku. Bermula cuti semester juga aku mula perasan yang Sir A sentiasa menghantar mesej kepadaku hampir setiap hari, setiap masa. Ada kalanya jam 12 dan 1 pagi telefonku masih berbunyi menandakan adanya mesej yang diterima. Sir A selalu menegaskan bahawa dia hanya kebosanan dan juga perlukan rakan berbual.

Perasaan tidak selesa mula wujud dalam diriku, aku mula berasa ragu tentang niat pensyarahku itu untuk berkawan denganku. Dia mula menawarkan aku sebarang pertolongan yang boleh dia berikan kepadaku, dan setiap kali aku menolak pasti dia akan bertanya lagi keesokan harinya. Dia juga bertegas untuk aku meminta pertolongan darinya sahaja, membuatkan aku merasa pelik dan hairan tentang kenapa Sir A bertindak sedemikian, seperti memaksa aku untuk memohon pertolongan darinya sekiranya ada apa-apa yang aku perlukan. Dia mula bertanya aku kemana setiap hari dan dia juga berkata yang aku perlu beritahunya sekiranya aku kemana-mana. Sikap mengongkong Sir A membuatkan aku tertekan dan rasa terkongkong.

Perkara-perkara yang tidak sepatutnya dia ambil tahu menjadi keutamaannya untuk tahu. Mesej whatsappnya masuk lebih banyak dari mesej teman wanitaku sehari-hari (HAHAHAHA okay2 serius2..). Aku mula mengabaikan whatsapp nya, membalas lambat dan mengatakan ada perkara yang aku perlu lakukan dan jarang melihat telefon bimbitku. Dia mahu berjumpa aku setibanya di kampus nanti dan ini merisaukan aku kerana Sir A merupakan orang yang aku hormati sebagai pensyarahku.

Aku perlukan pandangan para pembaca, apa yang aku perlu lakukan? Adakah aku terlalu bersangka buruk kepada pensyarahku ataupun aku perlu melakukan sesuatu tentang perkara ini? segala pandangan dan nasihat aku terima dengan hati yang terbuka.

Sekiranya karangan ini disiarkan dan mendapat pandangan dan pendapat yang bermanfaat, aku akan cuba melakukannya dan menulis lagi tentang apa yang terjadi selepas aku mengambil tindakan tersebut.

Nukilan seorang pelajar yang masih cuba menghormati gurunya,
NA

– NA

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit