Orang Pendiam Perlukan Perhatian

Aku ingin kongsi cerita tentang diri aku. Terlebih dahulu aku ingin mohon maaf sebab aku tak akan beritahu nama aku. Aku malu. Aku takut. Dan aku risau. Perasaan itulah yang selalu aku rasa dalam kehidupan aku.

Kenapa aku berperasaan macam tu?? Semuanya berpunca daripada diri aku sendiri. Aku seorang yang pendiam, tidak reti untuk bersembang dengan orang. Aku lebih suka mendengar berbanding bercakap. Setiap kali bersama rakan-rakan, aku jarang bercerita tentang hidup aku sedangkan mereka mempunyai banyak cerita lagi-lagi setelah lama kami tidak berjumpa. Jika mereka buat lawak, aku ketawa. Jika mereka cerita sedih, aku bersimpati. Tetapi aku, tidak mampu untuk berkongsi cerita aku kepada mereka. Mereka selalu bertanya, “Ti.. Kau takde cerita apa-apa ke?”. Aku hanya cakap, “Takde..”. Sedangkan aku ada banyak benda yang ingin diceritakan. Tetapi disebabkan berasa malu dan segan, aku diamkan sahaja.

Kenapa nak malu or segan?? Mesti korang tertanya-tanya kan? Semuanya kerana ‘low self-confidence’. Keyakinan pada diri sendiri sangat rendah. Aku tak yakin nak bercakap dengan orang. Aku tak yakin nak pandang mata orang. Aku tak yakin untuk luahkan apa yang aku rasa. To be honest, aku nak sangat bersembang dengan mereka tapi aku tak yakin. Aku risau kalau mereka tak faham apa yang aku cakap. Aku risau kalau aku cakap tergagap-gagap. Aku risau kalau mereka berasa bosan dengar cerita aku. Banyak benda yang aku fikirkan untuk aku memulakan percakapan aku. Pelikkan?? haha. Aku pon berasa pelik sampai stress fikirkannya.

Aku takde masalah dengan keluarga. Mak, ayah, adik-adik semua baik dengan aku. Aku bermasalah apabila aku keluar dari rumah. Sebab tu sekarang aku berasa malas nak pergi kerja. Tetapi disebabkan tanggungjawab aku sebagai anak sulung, nak or tak nak aku kena juga bekerja. Kat tempat kerja, aku selalu berharap cepatlah pukul 6, aku nak balik rumah. Aku tak pernah luahkan apa yang aku rasa kepada keluarga. Aku cuma mengadu yang aku letih bekerja sahaja. Keluarga aku selalu sangka yang aku ni kuat sebab aku tak pernah tunjuk masalah aku. Dan aku segan nak cerita kepada mereka sebab aku anak sulung dan menjadi contoh untuk adik-adik.

Di tempat kerja, aku hanya membuat kerja aku. Takde berbual sangat dengan colleagues. Colleagues aku jenis suka buat bising dan menceriakan office. Tapi aku ni jenis tak boleh masuk dengan diorang. Bila diorang lunch bersama-sama, diorang tak pernah ajak aku sekali sebab biasanya waktu lunch aku rest kat dalam office saja. To be honest aku nak ikut sekali tetapi aku hanya membisu. Aku nak bercakap tetapi diorang dah anggap aku perempuan sombong. Aku tak sombong cuma aku ni memang jenis tak banyak bercakap dengan orang. Tahu tak macam mana perasaan aku bila bekerja 9 jam dan langsung tak bercakap. Bila orang bertanya, baru aku keluarkan suara. Ini semua sebab takut untuk bercakap. ALLAH.. Aku sendiri pelik dan sangat stress dengan masalah ni.

Bila aku keseorangan, baru aku sedar bahawa ‘communication is key for a successful relationship’. Kalau sebelum ni aku sering gagal dengan perhubungan dengan manusia. Kini, aku ingin menjadi orang yang mampu berkomunikasi. Sedih sangat bila gagal dalam sesuatu perhubungan lagi-lagi dengan orang yang kita sayang. Aku pernah sayang seseorang tapi dia tinggalkan aku sebab setiap kali kami berjumpa aku diam sahaja. Takde benda yang nak diperbincangkan. Perhubungan kami sangat suram dan membosankan. Jadi, si dia ambil keputusan untuk pergi dan tinggalkan aku keseorangan. Aku faham sebab dia tinggalkan aku. Kelemahan aku sendiri adalah puncanya.

Aku bukan tak cuba untuk bercakap. Aku cuba. Tapi aku takut. Aku gementar. Kadang-kadang bila keseorangan, aku cuma mampu menahan rasa sahaja. Aku selalu pesan pada diri aku sendiri, “Ti.. Kau boleh.” Tetapi disebabkan keyakinan yang sangat rendah, aku jadi tak boleh. Aku selalu mengharap orang sekeliling akan faham apa yang aku rasa. Dan aku sedar itu mustahil sebab mereka tidak tahu perasaan aku. Aku boleh senyum seperti tiada apa-apa yang berlaku tetapi di dalam hati hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sakit dan deritanya menjadi manusia pendiam ini.

Tujuan aku kongsikan cerita ni sebab aku nak berubah. Aku tak nak berubah jadi orang lain. Cukuplah ada peningkatan dalam diri aku sendiri. Aku berharap sangat ada di antara yang membaca ni boleh bantu dengan memberi sedikit tips yang berkesan dalam berkomunikasi. Aku tidak mahu lagi menjadi manusia pendiam. Aku berharap sangat, kalau korang ada kawan yang pendiam macam aku ni, tegurlah dia. Dia tak sombong. Dia cuma malu. Bermesralah dengan dia. Mana tahu, dia berasa selesa untuk kongsi masalah or cerita dengan korang.

Aku hanya mampu luahkan secara tulisan berbanding bicara. Terima kasih kepada yang sudi membaca dan aku berharap sangat korang boleh bantu aku dan manusia pendiam yang lain.

-Miss Ti-

– Miss Ti

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *