“Mak…bangun sahur mak,” bisik saya perlahan di telinga ibu. Diam. Berkali-kali saya mengusap tangannya secara perlahan.
Keadaan tubuhnya mengiring dengan lengan kanannya diletakkan di sisi kepala. Sepi dadanya tidak beralun seperti biasa.
Mata saya mula jernih berkaca. Ya-Allah, tabahkanlah aku mendepani ujian berat, sebak hati saya memujuk rasa.
Pagi itu ibu pergi mengadap Illahi meninggalkan saya seisi keluaraga tanpa sempat mengucup tangan bersih ibu, memohon restu dan ampun maaf di pagi Syawal penuh syahdu.
Ya, tangan ibu begitu didambakan. Teringat lembutnya menjirus air membersihkan kotoran selut di tubuh dan jari-jemari ibu itulah yang menyuap makanan ke mulut saya tatkala kosong perut ibu.
Telapak itu jugalah mengelap muntah, ketika sakit demam tak kebah dan mengusap ubun-ubun, di kala lena beradu.
Dari kecil menginjak dewasa, ibu tidak putus-putus menyuruh solat, hingga adakalanya terasa rimas.
Pernah suatu subuh, dalam keadaan sakit dan tidak boleh berjalan, ibu mengetuk pintu bilik berkali-kali, mengejutkan saya untuk menunaikan sembahyang fardu.
Hati sayu melihat, ibu kemudian mengesot perlahan-lahan kembali ke bilik setelah melaksanakan amanah tuhan.
“Sayang…”lembut perlahan suara ibu memanggil saya suatu petang. Sepanjang hayatnya tidak pernah melaungkan nama sebenar saya, cukup dengan kalimah sayang, yang dulunya saya terasa malu dan kini menggamit rindu.
“…sampai akhir hayat pun mak akan suruh solat…sebab mak sayang anak mak,” titip kata-katanya seminggu sebelum langit menjemput rohnya.
Sesal rasanya kerana ada masa membaris dan menghadiahkan kata-kata ketika ibu berhajat kepada sesuatu.
Sibuk, nanti, ada hal, tak ada masa, penat, lain kali, kerja tak siap lagi, tak ada cuti dan bermacam ‘zikir’ mengiringi jawapan seribu alasan, membiarkan ibu diam membisu.
Ibu tak pernah sekali bersungut malah bibirnya basah mendoakan anaknya dipanjangkan bahagia di bawah lindungan Allah.
“Ketika kita bercadang mahu membuat kebaikan kepada ibu, selalunya sudah terlambat,” coret rakan saya dalam satu catatannya menyengat nurani. Air mata mula mengalir deras.
Ibu, tidak mahu menyusahkan anaknya tetapi di kala anaknya susah, dia sentiasa berada di sisi, mengubat luka dan resah.
Biar buruk, hodoh, cacat, susah, bersalah dan hinanya seorang anak, sayang ibu tak bertepi dan terus menjunjung anaknya ke langit tinggi.
“Ingatlah, kasih ayah menurut kata, kasih ibu semata-mata,” nasihat ulama Almarhum Ustaz Hashim Ghani berkali-kali kepada saya, ketika mengaji begitu meresap di jiwa. Dan air mata makin tumpah mencurah.
Kini, barulah saya mengenal erti kehilangan teramat sangat. Tahu perasaan sebenar anak kehilangan ibu.
Bagaimana denyut rasa si anak yatim yang masih kecil, tiada belaian manja. Rupanya sehingga meningkat tua, kita masih memerlukan kasih dan titipan nasihat ibu.
Sewaktu menjaga ibu di wad, seorang perempuan tua sekitar 70an’, dengan keadaan susuk yang bongkok dan berjalan perlahan menghampiri sambil memicit-micit kaki ibu yang sedang lena.
Ibu sudah tiga kali dimasukkan ke hospital sepanjang tiga bulan lalu, akibat masalah buah pinggang.
“Malam tadi, ibu panggil ‘sayang’..’sayang’…itu anak ka?” soalnya kepada saya, membuatkan hati semakin luluh mengenangkan ibu tinggal semalaman keseorangan, menanggung kesakitan. Terpaksa saya pulang seketika setelah seharian menjaga ibu.
“Ya. sayalah ‘sayang’. Maaf makcik, saya seorang saja warisnya di sini, terpaksa balik sat jengok keluarga. Makcik tunggu siapa ya?” tanya saya pula.
“Tak pa, makcik faham. Makcik dah sebulan tunggu anak makcik..umurnya 46 tahun…sakit buah pinggang juga,” katanya membuatkan saya gamam.
Itulah pengorbanan ibu, tidak bertepi, jika boleh sampai ke mati. Pasti ibu, melakukan yang sama, menjaga anaknya tanpa rasa penat lelah, tidak kira masa.
Di saat sakitnya ibu ketika terbaring di katil, terlihat buku sulung tulisan saya :”Kisah Istimewa Pejuang Kita”, tersisip kemas di celah bantal di kepala ibu. Biarpun pandangannya sudah kabur, ibu masih mahu menatap dan ‘membelainya’.
Dan berjurai air mata saya tumpah, kerana tidak berkesempatan membaca buku itu kepada ibu.
Khamis, senja berlabuh di kala waktu berbuka puasa, ibu sudah tidak boleh menjamah hatta mencicip minuman sekalipun.
Dalam keadaan sakit pun, ibu berpuasa sudah tiga hari, tinggal baki menjelang Syawal.
Dan ketika tertentu antara sedar dan tidak, ibu duduk mengenakan telekung, solat di atas katil tanpa mengetahui waktu apa, masa dan berapa rakaatnya kemudian kembali terbaring menahan kesakitaan.
Dan kira-kira jam 11.30 malam, ibu yang berada di pangkuan riba saya, meminta memanjatkan doa kepada Tuhan Rabul Alamin.
“Sayang, doalah minta Allah ambil mak, mak penat…mak redha,” seraya mengucap kalimah tauhid. Sempat saya membacakan al-Quran daripada Surah Ar-Raad di sisinya. Kemudian kami – ibu, saya dan seisi keluarga – terlena kepenatan.
Maka pagi yang hening lagi kudus itu, Allah menyambut doa ibu, meninggalkan saya sendirian dan kesepian yang teramat.
Dan hujan renyai-renyai petang itu kemudian mengiringi pemergian ibu sambil tanah nan merah mendakap kemas tubuh bersihnya, menanti pertemuan dengan Maha Pencipta.
Kini, saya berdikit-dikit mula mengenal apa itu sesal dan apa itu rindu.
Saya kehilangan ibu tercinta sekaligus terputus doa mustajab ibu tanpa hijab kepada tuhan pencipta di kala saya dambakan bahagia, menyulam derita dan saat ini, tanpa dipaksa air mata tumpah begitu mudah.
Bagi yang ada, sayangilah ibu seluas langit nan bumi dan yang sudah hilang di mata, berdoalah agar ibu tenang dalam lindungan rahmat-Nya.
Allah Tolong Saya Dan Kita Semua.
– AZAMIN AMIN
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit