Tuhan Tidak Pernah Tinggalkan Kita

Tuhan tidak pernah tinggalkan kita…

Pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian, kata benak hati. Lalu saya menyelak helaian surah Ad-Dhuha, menekuni maknanya, perlahan-lahan, satu demi satu sehingga berhambur air mata tanpa henti…Ya Allah.

“Azamin…pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan,” kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

“…demi malam apabila telah sunyi…Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak pula membencimu….Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk… Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan…” (Surah Ad-Dhuha)

Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang

Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 20 tahun lalu, sambil melihat seolah-olah masa depan nan kabur.

“Azamin…pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan,” kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

“Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

“Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

“Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?” soalnya lagi dan kali ini air mata saya sekali lagi bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan.

Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:”

Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia dan jauh lebih baik berbanding saya.

“Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati…lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata.

“Kamu tidak tahu di sebalik semua itu..namun sekurang-kurangnya jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakanya kita lupa dan alpa…” katanya membuatkan saya terdiam seketika.

Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira 6 tahun lalu , saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang ‘kurang’ harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.

Saya tidak gamak dan tidak mampu lagi untuk melihat ibu berjurai air mata, lalu dengan serba kepayahan, sedaya upaya untuk lunasi hajat ibu.Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana.

Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Saya pinjam kereta orang, kereta yang juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.

Dalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu dan isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk ‘tambang’ pulang.

Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu di muka keluarga.

Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.

“Nah, wang belanja untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini…” katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, saya menangis sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah ‘menjawab’ keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.

Suatu hari, sekitar tahun 2002, rumah saya kehabisan, barang keperluan. Ketika itu, dalam hati saya berdoa, janganlah ada tetamu yang datang kerana tidak ada sebarang ‘habuk’ pun untuk dijamu. Buruk sungguh kelaku saya sehingga berdoa begitu.

Bukan apa tetapi saya malu dan khuatir tidak dapat meraikan tetamu dengan juadah yang boleh dijamu.
Ya, kita fikir perancangan dan doa kita betul padahal Allah itu lebih menyayangi kita. Sebenarnya, sudah diajar jika ada tetamu, jamu dan layan sedaya mampu kerana kehadiran mereka, ‘membawa’ rahmat dan ‘membersihkan’ dosa.

Bonda saya ada berpesan, jika ada tetamu, apa yang ada di dapur jangan disimpan. Jamulah semuanya kerana utamakan tetamu adalah ajaran Nabi dan agama.

Lantas, selesai sahaja berdoa (supaya tiada datang tetamu), tak semena-mena pintu rumah diketuk orang. Doa saya tidak diperkenan, dan tetamu tetap juga datang. Hati saya berbolak-balik.

Saya memandang wajah isteri dan memberi isyarat bertenang. Dalam keadaan gelisah, kami mampu jua hidangkan ‘teh o bujang’ tanpa sekeping biskut pun sebagai hidangan.

“Tak pa, Min…kami datang ni nak tengok anak sulung awak, janganlah susah-susah. Lagipun kami ada hal lain lagi,” sambil tetamu bersalaman, mengepilkan helaian sekepal wang not biru ke telapak tangan.

Kemudian, air mata basah mula menjadi teman…

Benarlah kata Tuhan, Nabi dan agama. Janganlah kita memandai-mandai berdoa yang tidak baik atau berfikir yang bukan-bukan sedangkan Allah tidak pernah tinggalkan kita.

Apa-apa yang kita rasa dan lalui, adakalanya kita rasakan tidak baik bagi kita sedangkan ianya elok untuk kita dan hanyalah Allah sahaja yang mengetahui.

Ujian yang bertindih, bertali-arus adakala membuatkan saya kerdil dan ‘menyumpah’ diri dengan kata-kata tidak baik seolah-olah dimurkai tuhan sedangkan ujian itu cukup baik dan manis bagi saya selepas itu.

“…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al- Baqarah, ayat 216)

(Allah Tolong Saya dan Kita Semua)

– AZAMIN AMIN

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *