Ibu Pilih Kasih

Assalamualaikum. Aku Cindy. Umur 30-an. Sudah berkahwin dan mempunyai 2 anak. Aku dan suami tinggal bersama mak aku sebab ayah dah meninggal. Aku tinggalkan pekerjaan tetap dan bekerja dari rumah untuk jaga mak aku. Mak aku ni ada kencing manis, darah tinggi semua, jadi selalu kena bawak ke appointment klinik, jaga ubat-ubat dia.

Sepanjang tinggal dengan mak, memang banyak kecil hati walaupun itu mak kandung sendiri. Sebabnya, mak aku selalu pertikaikan semua benda yang aku buat. Ada sahaja tak kena di mata dia. Selalu kata aku pemalas. Ya, aku tak serajin dan secekap mak buat kerja rumah. Tapi aku tetap buat dan tak pernah sesekali aku mintak tolong mak buat. Pantang kain tak berlipat, mulalah membebel. Kadang-kadang aku nak rehat sekejap. Esok baru buat. Tapi mak aku bukan jenis macam tu. Semua kena cepat. Tak boleh tengok bilik aku bersepah sikit. Masak pun ada sahaja yang tak kena. Tak boleh ke mak makan je tanpa merungut. Aku penat urus anak, urus rumah, dan aku baking juga untuk tambah pendapatan keluarga. Bila aku cakap aku penat, mak selalu cakap kamu bukan kerja pun. Apa yang penat. Sedih sangat bila mak cakap macam tu.

Mak juga selalu membandingkan suami aku dengan menantu yang lain. Duduk serumah, mesti adakala suami penat balik kerja tak senyum. Selalu kata menantu dia yang lain tak pernah tak senyum dengan dia. Memanglah sebab menantu lain balik sekali sekala. Masa cuti. Tak penat pun. Kalau weekend ada kala suami nak rehat je dalam bilik. Tapi nanti mulalah mak aku membebel cakap suami pemalas.

Suami aku tak pernah merungut kalau kena bagi mak lebih untuk belanja dapur, dan bil elektrik naik mencanak bila adik-beradik lain balik rumah mak. Kalau cuti sekolah lagi la. Cucu-cucu balik dekat sebulan. Guna aircond setiap masa. Makan banyak. Yelah, budak-budak kan. Faham je. Pernah aku cakap nak minta adik-beradik bayar seorang sedikit duit sebab kadang-kadang banyak sangat bil elektrik kami tak mampu nak bayar. Belanja dapur pun kalau boleh mintak tambah sikit. Suami aku gaji bukan banyak pun. Tapi mak cakap jangan. Adik-beradik aku duduk kl banyak nak belanja. Padahal gaji sorang 5k-7k kot. Takkan tak cukup. Suami aku tak sampai 3k. Takpelah aku telan je. Aku berjimat-jimat belanja diri sendiri dan anak-anak.

Kadang-kadang pergi shopping, mak aku nak belikan adik lelaki aku baju. Pilih yang mahal harga ratus-ratus pastu suruh aku bayar. Aku ni baju pun dah lama tak berganti. Pastu shopping barang rumah. Nak beli langsir baru padahal langsir kat rumah elok je lagi. Pastu suruh aku bayar. Sakitnya hati aku masa tu. Bila aku kata minta lah adik-beradik lain yang bayar, mak aku cakap ‘tak sanggup ke?’ lepas tu buat muka. Kalau suruh aku bayar tu laju je. Nak minta duit anak-anak yang lain, risau sangat anak-anak lain tu tak cukup belanja, tak cukup makan.

Kecik hati aku bertambah-tambah bila adik perempuan aku habis belajar dan tinggal sekali dengan kami di rumah ibu. Adik aku kerja balik petang. Ye lah aku faham dia penat. Balik tidur sampai maghrib. Malam pun tak habis penat lagi agaknya, main handphone je aku tengok. Aku kadang-kadang minta tolong adik aku basuh pinggan, mak aku cakap takpelah adik tu penat balik kerja. Oh ye, lupa nak cakap sekarang aku tengah sarat mengandung. Tapi semua benda dalam rumah aku jugak yang buat. Sabtu Ahad nak minta tolong adik pun, mak aku boleh cakap biar lah adik aku rehat, dia kerja. Sabtu Ahad pun penat jugak ke? Habis tu aku ni tak penat ke? Kadang-kadang aku rasa mak aku ni tak tahu yang aku mengandung kot. Sampah berat-berat pun aku jugak yang kena pergi buang. Kalau adik-beradik lain balik pun, aku jugak yang kena buat semua. Alasannya, biarlah mereka nak rehat cuti-cuti ni. Aku ni mengandung mak paham tak??

Masa awal-awal mengandung, aku ada morning sickness. Selalu muntah-muntah. Bila aku mengadu, cakap aku muntah, tak larat, mak aku cakap biasalah tu mengandung. Mak dulu mengandung semua kerja rumah buat jugak macam biasa. Langsung tak ada rasa simpati. Sedihnya tak tahu nak cakap. Kalau aku pergi rumah mertua pun tak dilayan macam ni. Mak mertua selalu kata banyakkan rehat. Tapi mak sendiri? Hmmm….

Bulan 12 tahun lepas adik perempuan aku kahwin. Kami ni bukanlah keluarga berada. Tapi adik aku nak majlis grand, macam artis dah aku tengok persiapan dia. Memanglah dia guna duit sendiri, tapi mana cukup. Kena tambah juga duit adik-beradik. Adik-beradik lain tambah sorang sikit. Tapi masih banyak tak cukup. Jadi mak minta sape tambah yang selebihnya? Ya, aku dan suami la. Duit aku simpan untuk bersalin nanti terpaksa aku guna untuk majlis adik aku ni. Bila aku bersuara pasal kenapa nak buat majlis grand, mak aku cakap biar lah, taste adik aku memang tinggi. Hmmm tak larat nak cakap dengan mak.

Entahlah banyak sangat benda yang buat aku kecik hati dengan mak. Hati aku ni selalu meronta-ronta nak pindah rumah sendiri. Tapi adik aku kerja. Kalau aku pindah, memang mak sorang-sorang je waktu siang kat rumah. Dan confirm adik-beradik lain pun akan pertikaikan kenapa nak pindah. Aku tak pernah luah pasal ni kat sesiapa, sebab orang mesti akan cakap, ‘alah orang tua. biasa la. sabar je la.’ Tapi aku dah tak tahan sangat. Memang beberapa kali jugak aku tinggi suara dengan mak sebab aku penat. Aku rasa duduk lama-lama dengan mak boleh jadi anak derhaka aku ni. Apa patut aku buat?

Cindy.

– Cindy

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *