Tahi Lalat Hidup vs Kanser Melanoma

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Rasa nak berkongsi dengan semua orang betapa pentingnya untuk mengambil tahu apa itu Tahi Lalat hidup vs Melanoma. Sebab benda ni dah terjadi dekat family aku. Dari kita kecik, sampai la ke besar, semua orang kenal apa itu Tahi Lalat hidup. Dan sememangnya itu la ayat yg kita guna pakai selama hari ni.

Melanoma. Ada sesiapa tahu? Kalau ada, Alhamdulillah. Yg aku nak kongsikan disini, pasal Melanoma. Melanoma ni merupakan sejenis kanser kulit. Dah tu apa kena mengena pulak dgn tahi lalat hidup kan? Mesti korang tertanya-tanya. So semuanya akan aku ceritakan kat sini.

Adik perempuan aku merupakan pesakit Kanser Melanoma tahap 4. Penyakit ini di kesan ketika usia kandungannya masuk 5 bulan. Semuanya berpunca dari tahi lalat hidup yang ada dekat lengan kiri dia. Ye tahi lalat hidup. Ayat biasa kita gunakan. Asalnya, tahi lalat tu hanya seakan nampak bayang-bayang di lengan kiri dia. Sehinggalah suatu hari, ia menjadi besar dan itu yg kami selalu katakan tahi lalat hidup.

Tiada sakit. Jadi, tiada keputusan untuk membuat semakan lanjut mengenai tahi lalat yg tiba-tiba membesar. Hari demi hari, tahun demi tahun. Sehinggalah tahun 2017, ketika itu usia kandungannya mencecah 4-5 bulan, tahi lalat itu semakin membesar dan diameternya berubah. Suatu hari, tahi lalat itu berdarah tanpa henti disebabkan dia terlanggar almari/bucu meja (tak pasti apa yg di langgar).

Dia pun terus ke hospital bahagian emergency untuk buat pemeriksaan. Dari situ, doctor buat keputusan untuk membuat pembedahan untuk buang tahi lalat tersebut dan doctor hantar untuk ujikaji apakah benda tersebut. Hampir sebulan juga lengan kiri berbalut. Selepas sebulan setengah dari tarikh pembedahan, keputusan pembedahan buang tahi lalat itu keluar.

Doctor mengesahkan bahawa itu adalah Kanser Melanoma Tahap 4! Buat pertama kalinya aku dengar penyakit ini. Orang Malaysia sedia maklum dengan kanser rahim, payudara, ovari… Tapi Melanoma? aku percaya tak ramai yg tahu pasal kanser ni.

Disebabkan kanser ini sudah di tahap 4, ianya sangat cepat merebak. Sekejap sahaja ia merebak ke bahagian bawah ketiak adik aku. Lagi sekali, pembedahan dilakukan. Ketika itu juga doctor nasihatkan untuk percepatkan proses bersalin adik aku. Sebab doctor nak buat CT scan, untuk melihat sampai mana sel kanser itu merebak.

18hb Januari 2018, Alhamdulillah baby selamat dilahirkan secara pembedahan dan merupakan baby pramatang. Ketika itu usia baby 34minggu. Tetapi, adik aku alami komplikasi. Bleeding dan dia ditempatkan di wad Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) selepas bersalin. Selepas 2hari, dia dipindahkan ke wad biasa dan doctor teruskan plan untuk CT scan. Ct scan dilakukan sebelah pagi, dan pada jangkaan doctor, result CT scan akan keluar jam 3 petang.

Kami menunggu dengan penuh debaran. Minit demi minit. Jam demi jam. Akhirnya, sudah pukul3. Tak lama selepas itu, result pun keluar. Ahli keluarga di panggil dan doctor terangkan satu persatu apa yg berlaku juga tentang result CT scan tersebut. Sel kanser yg ada pada adik aku, sangat aktif. Terlampau aktif kata doctor. Ianya sudah merebak ke hati, tulang, paru-paru. Rasa lemah seluruh badan ketika itu.

Bukan setakat itu sahaja, doctor juga menjangkakan jangka hayat hidup adik aku hanya bulan-bulan berdasarkan result CT scan tu. Ye, hanya bulan-bulan! Jika positif yg difikirkan, 2 tahun pun boleh dikira bulan-bulan. Tapi ianya lebih kepada hanya beberapa bulan! Tak terungkap dengan kata-kata. Hanya tangisan dan air mata yg “menemani” kami sekeluarga ketika itu.

Bermula dari situ, kesihatan adik aku mula drop. Dari hanya sakit tulang belakang, mata kiri yg makin blur, hingga kebas kaki, berkali nak terjatuh sampailah dia tak dapat berjalan. Benda-benda ni berlaku hanya dalam masa beberapa hari selepas CT scan. Tak lama pun. Bayangkan, betapa aktifnya sel kanser dia. Akhirnya dia dimasukkan ke Institut Kanser Negara untuk mempercepatkan rawatan.

Di IKN, dia sempat menjalani rawatan radioterapi sebanyak 5x. Tapi, rawatan itu tidak memberikan sebarang kesan untuk penyakit yg dia alami. Selesai rawatan radioterapi, dia dibenarkan pulang ke rumah. Chemoteraphy tidak dapat dilakukan atas sebab keadaan dia tidak mengizinkan. Lemah selepas bersalin, tambah pula dengan sakit dia tu.

Pulang ke rumah, dia nampak selesa berbanding semasa duduk di IKN. Cuma, dia tidak boleh makan seperti biasa. Selera dah putus. Hanya mampu berbaring. Makin susut badan dia. Ada doctor dan nurse dari IKN datang melawat di rumah untuk monitor keadaan dia. Lebih kurang dua minggu di rumah, dia di kejarkan semula ke IKN kerana mata kanannya nampak terkesan akibat kanser itu. Pandangannya jadi limited. Selepas admit untuk kali ke2, betapa terkejutnya nurse dan doctor, kandungan darah dalam badan sangat-sangat rendah. Berpek darah dimasukkan ke dalam badan dia. Doctor pantau keadaan dia. Hari ke4 di IKN, mata kiri makin membengkak, mata kanan makin merah kesan kanser tersebut. Doctor masukkan antibiotik, malangnya badan adik aku tak dapat beri respons positif terhadap ubat tersebut.

Dia sedar walau keadaannya kurang sihat. Masih boleh bercakap tp agak penat, sebab kanser tersebut telah menyebabkan jantung dan paru-paru dia di penuhi air. Setelah berhari di IKN, 26hb feb, doctor memanggil semua ahli keluarga untuk menerangkan keadaan dia satu persatu. Secara ringkas, apa yg diperkatakan, kita hanya mampu berserah. Doctor membenarkan dia dibawa pulang tapi kami masih ingin meneruskan rawatan di situ dan beranggapan tiada apa akan berlaku.

27hb Feb, dia nampak agak lemah dari hari sebelum. Dia masih sedar dan masih boleh bercakap. Menjelang malam, keadaan dia semakin lemah. Sesak nafas berkali-kali. Berulang kali hingga ke pagi esoknya.

28hb Feb 2018, jam 9.15 pagi, aku terima panggilan dari suami dia yg ketika itu sudah berada dihospital. Dia nyatakan keadaan adik aku semakin lemah. Doctor meminta agar semua ahli keluarga datang ke IKN dengan segera. Tepat jam 10.08 pagi, adik aku dijemput ilahi. Innalillahiwainnahilaiirojiun. Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya. Sebenarnya, tinggal beberapa hari saja lagi dia akan habis berpantang ketika itu. Tapi Allah swt jemput dia dahulu.

Kami redha dengan apa yg jadi. Anak arwah, akan kami jaga sebaik mungkin. Apa yg ingin ditekankan di sini, jangan sesekali kita lihat setiap “pemberian” Allah swt itu hanya biasa-biasa. Macam tahi lalat yg arwah ada, sebelum ni kami tidak pernah amik serious. Setakat nasihatkan agar pergi buat pemeriksaan tapi tidak pernah memaksa dia untuk buat pemeriksaan.

Jangan tanya kami “tak pernah ke korang google pasal tahi lalat tu?” Jawapan kami, Allah swt dah aturkan segalanya. Allah swt uji kami begini. Tidak sedetik pun terlintas untuk mencari apakah kesan tahi lalat hidup tersebut. Macam yg aku cakap, orang kita terlampau biasa dengan tahi lalat hidup. Atau mungkin Allah swt memang uji kami untuk tengok sejauh mana usaha kami untuk kesan penyakit itu. Wallahualam.

Melanoma. Namanya cantik, tapi dialah kanser yg paling jahat dan buat kerja dalam senyap. Doctor menjangkakan dia berada dalam badan adik aku lebih kurang 2 tahun. Selama 2 tahun itu juga la adik aku tidak pernah alami simptom-simptom atau sakit-sakit yg teruk disebabkan Melanoma ni. Ujian Allah swt beri, tapi kami tak sedar.

Alfatihah untuk arwah adikku. Semoga kau di tempatkan dikalangan orang yg beriman. Arwah tidak sempat kendong anaknya seperti orang lain. Waktu berpantangnya banyak dihabiskan di atas katil. Hanya dapat melihat anak dari tepi. Alhamdulillah, anaknya sihat. Dan doakan anaknya di beri kesihatan yang sempurna.

Terima kasih kerana sudi baca coretan panjang ini. Ini untuk peringatan bersama. Anugerah yg Allah swt beri sentiasa di datangkan dengan ujian. Semoga kita sentiasa beringat tentang itu. Assalamualaikum wbt.

– Syaza Baha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *