Assalamualaikum, terima kasih admin kerana menyiarkan confession saya di ruang ini.
Baru-baru ini, telah menjadi trend anak muda umur lewat belasan dan awal 20-an untuk kahwin muda, dan seterusnya mengarang post panjang di laman instagram, atau thread di twitter, untuk menyatakan betapa bahagia nya dapat berkahwin dengan pilihan hati masing-masing, di usia yang muda setelah setahun dua perkenalan. Kadang-kala turut terpalit nasihat tentang bagaimana si ibu bapa sepatutnya tidak melarang hasrat murni mereka, sebab ikut sunnah, kan? Juga bagaimana perkahwinan dapat mengelak daripada maksiat.
Walaupun aku bersetuju tentang sunnah Rasulullah untuk berkahwin, dan bagaimana perkahwinan dapat menjaga kehormatan diri, aku lebih memandang kepada statistik penceraian yang sangat tinggi di negara kita. Bukan aku mendoakan yang buruk, tapi inilah realiti kehidupan. Perkahwinan bukan perkara yang main-main, sekiranya budak-budak muda tersebut faham dengan sebenar-benarnya apakah tanggungjawab yang datang bersama perkahwinan, tentu mereka berfikir 2, 3 kali sebelum menyatakan hasrat untuk berkahwin. Tanggungjawab suami untuk menyediakan keperluan asas, si isteri untuk taat dan melayan suaminya. Bunyinya mudah, tapi kalau benar-benar mudah nescaya tiada seorang pun yang bercerai. Kewangan, kesetiaan, hormat-menghormati, serta pandai mengawal konflik turut patut dititikberatkan.
Umur yang muda, mereka belum benar-benar melihat realiti kehidupan ini bagaimana. Mereka hanya terdedah kepada persekitaran sekolah, atau universiti, atau jika yang sudah bekerja secara sendiri, hanya kepada kelompok manusia yang sedikit. Apakah mereka tidak pernah berfikir, beberapa tahun akan datang, rakan sebaya mereka gah berjalan mencari pengalaman hidup, ada yang semakin berjaya, kerana tiada kekangan komitmen yang tinggi. Dan apakah mereka boleh redha dengan pilihan sendiri, tanpa ada sedikitpun rasa cemburu atau penyesalan di dalam hati? Apakah cita-cita mereka hanya untuk berkahwin muda, dan bercinta hingga mati?
Juga pernahkah mereka berfikir secara dalam tentang dari mana datang wang untuk hari esok, sekiranya keluarga semakin membesar? Walaupun janji Tuhan untuk membuka pintu rezeki bagi pasangan yang berkahwin, rezeki tidak akan datang bergolek tanpa ada usaha. Jika perkahwinan dilanda badai, sanggupkah mereka bertahan bersama-sama, atau memilih jalan singkat untuk bercerai?
Ada alasan kenapa ada ibu bapa melarang anaknya berkahwin muda, untuk menghabiskan pengajian terlebih dahulu. Sekiranya anak tersebut belum tentu pandai mengurus diri, mana mungkin ibu bapa rela melepaskan anak tersebut untuk bertanggungjawab menguruskan orang lain. Biarlah kita bekahwin sedikit lewat, asal diri sudah benar-benar bersedia. Sudah puas merasa duit sendiri, sudah puas berbakti kepada ibu bapa.
Dan janganlah menjadikan “untuk mengelak daripada maksiat” sebagai sebab utama perkahwinan, tetapi lebih kepada mencari redha Tuhan, untuk memikul amanah dengan sebaik-baiknya.
Soalan yang paling aku ingin tanya kepada yang sibuk untuk mengelak maksiat,
“kau memang hari-hari bermaksiat ke macam mana sampai kena kahwin? kau kawal nafsu pun fail, ada hati nak kahwin”
– Anonymous
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit