Tak Boleh Berhenti Menangis

22 Mac.

Hari ni hari jadi aku. Tapi dari pagi aku tak berhenti menangis. Sampai suami rasa kesian bila aku cakap aku tak tahu kenapa aku tak boleh berhenti menangis, yang aku tahu aku terlalu sedih. Air mata jatuh berjura-jurai.

Aku rasa aku sebak mungkin sebab hari ini ialah birthday sendiri.

Hari ini, 27 tahun yang lepas, emak lahirkan aku. Yang menurut emak, paling sakit antara semua anak-anaknya, hampir ceaser. Paling lama bepuasa, sampai tidak terdaya dan bertenaga saat mahu melahirkan aku.

Bila dah jadi emak orang, rasa semakin attached dengan emak sebab aku dah rasa dan faham naluri seorang ibu.

Bila tengok emak sekarang, sedih sangat rasa. Emak sekarang sudah mula bongkok teruk badannya walhal emak baru berusia awal 50an . Emak pernah jatuh waktu dalam pantang lepas melahirkan aku. Tapi emak tak berurut sebab tak mampu upah tukang urut pun. Masa berpantang pun sebenarnya emak tak cukup rehat sebab buat kuih dan nasi lemak, untuk bantu ayah tambah pendapatan keluarga. Pada aku,sebenarnya emak tak pernah pun mampu berpantang.

Berbeza sangat dengan aku,ya Allah. Allah rezekikan aku dapat suami yang mampu. Suami upah confinement lady sebulan lebih. CL duduk rumah buat semuanya untuk aku. Lagipun aku tak sampai hati sangat tengok emak terbongkok-bongkok uruskan aku dan anak dalam pantang.

Ingat lagi bening mata emak dan senyumannya, duduk sebelah aku masa hari pertama aku pulang ke rumah selepas melahirkan anak. Emak cakap dia gembira untuk aku,lagi-lagi bila aku dapat penjagaan terbaik dari CL. Dia belek-beleknya param,pilis, scrub dan semua yang ada satu-persatu sambil senyum, sesekali aku tengok mak termenung sekejap sambil matanya berair.

sedih sangat, emak tak pernah pun dimanjakan begitu sepanjang dia lahirkan kami enam beradik. Emak mengabdikan hidupnya untuk keluarga. Entah sakit perit emak siapa pun tak tahu.

Sebab tu di usia ini, emak banyak sangat penyakit sebab emak tak pernah sayang dirinya. Tak pernah cuba rehat. Tak pernah ambil tahu kesihatan sendiri,yang emak tahu; asal ahli keluarganya terjaga.

Sedih sangat, Allahu allah.

Bila dah jadi ibu,aku jadi sangat hargai emak. Aku selalu belikan barang-barang yang emak tak pernah ada, selalu balik, selalu telefon, dan emak akan selalu gembira, sambil ucap terima kasih.

Aku saaaangat sedih bila emak ucap terima kasih, sesungguhnya aku tak layak terima ucapan tu.

“Terima kasih Saffiyah, sebab balik ya nak,”
” Terima kasih belikan emak vitamin ni. Emak tak pernah makan vitamin macamni, mesti mahalkan? Susahkan saja,”
” Terima kasih, piah telefon emak,”

Ya Allah semua ni menyeksa jiwa aku. Mengapa emak baik sangat?

Hari ini, aku ingin seru semua anak-anak yang ada di dunia ini,
Kenang semula pengorbanan emak kita yang selalu mengenepikan kesihatan, kehendak, keadaan dirinya sendiri.
Jangan sekali-kali sakiti hati emak kerana ia lebih derita daripada kesakitannya melahirkan dan membesarkan kita.
Selalulah menghargai, tunjukkan rasa kasih dan sayang kita.

Selayaknya syurga di bawah tapak kaki mereka, kerana merekalah semulia-mulia insan.

Setiap kali birthday kita, telefon emak dan ucapkan terima kasih kerana melahirkan kita.
Belikan mereka hadiah sebagai tanda penghargaan.

Emak, terima kasih lahirkan piah! 27 tahun lepas, piah lahir ke dunia dan sejak itu emak tak pernah sesaat pun lupakan piah, malah lepas piah kahwin pun, emak masih risaukan piah.

Sayang emak!

– Saffiyah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *