Mencari Arah

Salam semua. Terima kasih admin kerana sudi approve untuk confession saya yang pertama kali ini. Maaf mungkin penulisan saya agak berterabur. Saya dah lama tak mengarang/menulis!

Saya ceritakan serba sedikit tentang diri saya. Saya berumur awal 30-an dan masih bujang. Saya bermula dengan latar pendidikan yang cemerlang dari sekolah rendah dan menengah rendah sehingga ditawarkan masuk ke sebuah sekolah yang yang memang dibanggakan prestasinya. Namun entah di mana silapnya, pelajaran saya semakin merosot bermula dari SPM dan matrikulasi tetapi masih mampu untuk menempatkan diri di IPTA. Keseluruhan keputusan di IPTA masih dikategorikan sebagai baik kerana masih mampu meraih second class upper.

Perjalanan selepas graduate tidak seperti yang diharapkan. Saya menganggur lama di saat kawan-kawan lain sudah mula menuai hasil titik peluh belajar di IPTA. Pekerjaan yang berkaitan dengan course yang saya ambil tidak pernah lekat walau sekali pun. Saya pernah bekerja dengan jawatan kontrak selama hampir 2 tahun (sektor kerajaan) yang saya jadikan batu loncatan dengan harapan saya dapat diserapkan untuk jawatan kekal. Namun rezeki tidak menyebelahi saya. Saya redha walau hati remuk redam dan kecewa.

Berbulan saya kecewa, saya ambil keputusan untuk keluar mencari pekerjaan di bandar. Ya saya berjaya memperolehi pekerjaan tetapi bukan dengan jawatan dan gaji yang berpadanan. Buat pengetahuan semua, saya sudah beberapa kali bertukar kerja dan ditemuduga (kerajaan dan swasta) tetapi masih belum berupaya mendapat jawatan yang sesuai dengan taraf pendidikan saya. Sehingga kini setelah hampir sepuluh tahun, saya masih di tahap gaji seorang fresh graduate! Memang agak memalukan sehingga saya terpaksa menghadkan kemunculan saya di socmed. Saya malu untuk bercerita tentang perkembangan diri sendiri yang tidak seberapa di saat orang lain bangga dengan kerjaya professional dan bermacam anugerah yang mereka dapat. Almaklumlah sudah hampir sepuluh tahun berkhidmat sudah tentu prestasi kerja juga seiring. Akibatnya saya hilang ramai kawan. Saya jadi quite reserve. Saya tidak pernah ikut serta dalam mana-mana alumni atau reunion yang diadakan.

Dengan pekerjaan berstatus kontrak, gaji yang sedikit, career growth yang limited, bidang pekerjaan yang langsung tidak berkitan dengan degree background, saya terpaksa struggle hidup di bandar besar ini. Masih mampu untuk survive memandangkan saya tidak punya apa-apa komitmen melainkan bayaran PTPTN setiap bulan. Tidak punya kereta dan tidak layak untuk memohan pinjaman perumahan itu hakikat yang terpaksa saya telan. Sungguhpun begitu, walau dalam keadaan kewangan yang ketat, saya masih lagi mampu menyimpan secara konsisten dan tidak pernah culas memberi wang kepada parents di kampung (doakan supaya berterusan). Saya juga selesaikan tunggakan PTPTN berbelas ribu dengan simpanan sendiri.

Ahli keluarga saya masih tidak mengetahui perihal pekerjaan saya sekarang kerana saya rasa rendah diri untuk berkongsi cerita. Pada mereka kehidupan saya bertambah baik dari dulu memandangkan saya jarang mempamerkan kesusahan/kesempitan yang saya alami ditambah dengan perwatakan saya yang agak ceria. Malahan jika ada ahli keluarga yang terdesak memerlukan bantuan kewangan ataupun tabungan keluarga bagi majlis tertentu, saya masih mampu untuk bekerjasama tanpa sebarang alasan. Kebanyakan ahli keluarga saya masing-masing sudah mempunyai kehidupan yang stabil dan aset-aset yang mereka laburkan untuk hari tua. Hanya saya yang masih terkapai kapai mencari arah kehidupan dan masih bujang di usia sebegini.

Masih bergelar bujang dengan keadaan pencapaian hidup yang tidak seberapa sesungguhnya satu keadaan yang menyedihkan. Kadang kala memalukan. Saya terpaksa telan satu-satu wajah sinis, wajah simpati yang memandang apabila kehidupan saya berjaya dirisik oleh mereka. Berbeza sekali keadaannya jika kamu masih bergelar bujang tetapi sudah mempunyai kehidupan yang serba serbi lengkap dan terjamin masa depan. Kadang kala cemburu juga melihat individu yang lebih muda sudah mampu melengkapkan aset untuk masa depan masing-masing. Apa yang boleh saya katakan sekarang, masa depan saya masih kabur. Saya jadi ragu-ragu untuk menjalin hubungan serius memandangkan si dia mempunyai pekerjaan yang baik dibandingkan dengan saya. Saya takut satu hari nanti perbezaan keadaan kewangan kami yang akan menjadi asbab untuk ketidaksefahaman. Saya jadi takut untuk memikirkan penerimaan keluarganya juga. Pada saya bersandarkan cinta semata-mata tidak ke mana memandangkan zaman sekarang duit sudah menjadi priority untuk kehidupan yang selesa.

Tidak dinafikan saya memang kecewa. Kecewa dengan perjalanan hidup saya yang kurang bertuah seperti mana orang lain. Sampai satu tahap saya hanya pasrah dan reda tanpa melakukan apa apa untuk hidup saya. Terasa terlalu penat dalam pencarian hampir 10 tahun ini.

Saya mohon pembaca semua boleh berikan pendapat yang membina supaya saya terus bersemangat untuk mengubah nasib diri saya. Masih belum terlambat kan? Berikan cadangan atau nasihat dan kecaman juga dialukan2kan kalau itu yang boleh menolak diri saya dari terus terperosok dalam masalah ini. Saya takut ia merebak menjadi depress pulak nanti.nauzubillahiminzalik..

– Ms Gloomy

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *