Pendidikan Kita Tertindas

Assalamualaikum.

Baru-baru ni banyak artikel yang aku nampak dikeluarkan oleh mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sektor perubatan. Doktor, jururawat, pesakit, masing-masing semakin mempunyai kesedaran tentang betapa bertuahnya kita di Malaysia yang mampu menikmati kemudahan perubatan dengan harga serendah RM1. Aku tak nafikan, masih ada golongan yang sinis dan jahil dengan perubatan dan sering merendahkan serta menghina kakitangan perubatan. Tapi apabila pegawai perubatan dan kementerian kesihatan sendiri berani melontarkan suara dan membidas tuduhan melulu oleh orang awam, bagi aku, itu adalah satu fenomena yang sihat untuk semua yang terlibat dengan sektor perubatan daripada terus ditindas.

Tapi, berbeza halnya dengan sektor pendidikan. Aku dapat melihat betapa sektor pendidikan di Malaysia ni seolah-olah dianaktirikan. Golongan pendidik juga tidak terbela nasibnya padahal pendidikan itu adalah kunci utama untuk membangunkan manusia. Aku tak salahkan cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah. Tapi aku cukup kecewa dengan sistem pendidikan yang membunuh anak murid serta pendidik itu sendiri.

Sistem KBAT yang dicanang-canang pun bagi aku tidak membantu perkembangan anak-anak kecil yang sedang mengenal erti persekolahan. Aku tak faham apa tujuan sistem pembelajaran dirombak hampir setiap tahun yang kononnya untuk menggalakkan pelajar supaya lebih cerdik dan lebih pintar berfikir. Apa yang aku boleh lihat, semua itu hanyalah mainan kementerian semata-mata. Permainan yang mahu menunjukkan bahawa “pada zaman aku di kementerian inilah perubahan yang aku telah laksanakan” padahal apa yang terhasil adalah kemusnahan.

Aku berbeza umur dengan abangku cuma 2 tahun. Abang aku mempelajari semua subjek dalam Bahasa Belayu dari sekolah rendah sehingga ke SPM. Memandangkan ada murid lain yang lebih memerlukan pinjaman buku teks, kami adik beradik tidak dapat merasa kemudahan SPBT. Tapi tidak menjadi masalah pada aku kerana aku masih boleh menggunakan buku teks abang sebab tak berbeza silibus. Tapi bila aku menginjak ke Tingkatan 1, segalanya berubah. Aku batch “eksperimen” yang secara kebetulan perlu menukar segalanya ke Bahasa Inggeris. Lebih malang lagi, buku-buku teks abang aku tidak dapat digunakan kerana faktor bahasa yang berbeza. Membazir begitu sahaja.

Sistem pendidikan di Malaysia yang terlalu ‘exam-oriented’ juga menghakis nilai-nilai moral dikalangan murid. Kalau tak, tak mungkin wujud isu soalan bocor untuk peperiksaan besar seperti UPSR, PT3 dan SPM. Masing-masing cuba mendapat markah tertinggi walau dengan apa jua cara kerana hanya dengan result yang gempak tu, mereka boleh diterima di peringkat yang lebih tinggi. Apa jua cara, by hook or by crook. Betul, bukan itu yang disasarkan oleh pihak kementerian. Tapi itu yang terwujud secara tak langsung akibat dimomokkan dengan perlunya pencapaian cemerlang dalam peperiksaan. Ada je kawan aku yang bersikap kurang ajar dengan cikgu. Tapi oleh sebab result dia cemerlang, dia terlepas begitu sahaja walaupun cikgu-cikgu di sekolah makan hati dengan perangai dia. Mengapa? Sebab apa yang dipandang cuma result di atas kertas dan bukan sahsiah pelajar.

Pernah satu ketika selepas beberapa tahun tamat persekolahan aku saja-saja datang ke sekolah balik untuk ziarah cikgu-cikgu yang mengajar aku dulu. Dan aku berjumpa dengan seorang cikgu ni. Selepas bertanya khabar, berborak, bersembang, bergurau senda, tiba-tiba cikgu tanya aku satu soalan, “Kamu masih berhubung lagi tak dengan ‘geng-geng yang itu’?” Ya, ‘geng-geng yang itu’ ialah geng yang kurang ajar dengan cikgu tapi masih mendapat keputusan cemerlang. Cikgu sambung lagi, “Kalau kamu semua, cikgu tak bimbang sebab cikgu tahu kamu macam mana. Cikgu cuma nak tahu macam mana perkembangan ‘geng-geng yang itu’.” Mungkin sebab cikgu bimbang jika terdapat balasan yang kurang baik terhadap ‘geng-geng itu’ kerana selalu melukakan hati cikgu. Nampak tak betapa seorang cikgu tu terasa hati sehingga bimbang ada balasan yang tak elok terhadap anak murid dia? Tapi apa yang cikgu boleh buat? Telan dan simpan sahaja sebab tak ada siapa yang akan datang membela.

Makin aku menginjak dewasa, makin aku nampak ketidakadilan di kalangan guru-guru Malaysia. Ramai kawan-kawan aku yang menjadi guru, terutamanya yang perempuan. Tapi cuma segelintir yang mendapat tempat di kampung halaman. Yang lain, terpisah dari keluarga, terpisah dari anak dan suami sendiri. Ada sorang kawan aku, dapat posting di negeri yang berlainan dengan tempat kerja suami. Mungkin tak berapa jauh, dalam 2, 3 jam perjalanan sahaja. Tapi semasa posting di sana, dia sedang mengandung. Pernah satu ketika semasa kandungan dia tengah sarat, dia jatuh terhempas. Call suami untuk minta tolong tapi suami hanya mampu datang selepas tamat waktu bekerja ditambah pulak dengan perjalanan 2 jam. Bayangkan kesakitan cikgu ni yang tak tau apa nasib kandungan dia dan tanpa suami di sisi. Itu belum lagi dengan kawan yang terpaksa meninggalkan anak untuk bersama suami selepas tamat tempoh pantang. Anak baru 3 bulan, sudah terpaksa dipisahkan dengan ibunya. Ada pula, pasangan cikgu yang baru berkahwin, terpisah dengan lautan. Sorang di semenanjung, sorang di Sabah/Sarawak. Berjumpa hanya 3, 4 kali setahun. Adakah ia sesuatu yang sihat untuk sesebuah perhubungan? Betul, memang mereka telah berikrar untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara tanpa mengira tempat. Tapi apa yang negara dapat dengan mendera mental cikgu-cikgu sedemikian rupa?

Ditambah pula dengan permintaan pihak kementerian yang mahu macam-macam dari cikgu. Nak pelajar cemerlang, nak perlajar aktif bersukan, nak pelajar terlibat dengan aktiviti sihat, nak pelajar lebih kreatif dan inovatif, nak pelajar itu, nak pelajar ini. Tapi hakikatnya, tiada bajet untuk pelajar-pelajar terbabit. Berapa banyak cikgu yang mengadu terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli barang kelas? Berapa banyak cikgu yang terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa pelajar kemana-mana kerana tiada peruntukan menyewa bas/van? Berapa banyak cikgu yang cuba mendidik dan mendisiplinkan murid-murid tapi cuma berakhir dengan cacian dan makian dari ibubapa yang tak berpuas hati? Tapi apabila jadi kemudaratan terhadap pelajar-pelajar ini, berbondong-bondong jari dituju kepada cikgu. Adakah mereka dibela? Tidak. Malah dicerca, dikutuk pula oleh netizen. Pengetua pula mengambil jalan pintas, pindahkan cikgu ke sekolah lain tanpa sebarang usul periksa sebab lebih mudah dari menjawab tohmahan pihak atasan.

Masih banyak lagi yang aku ingin suarakan bagi pihak cikgu-cikgu di luar sana tapi cukuplah buat masa ini. Aku tak nafikan, semua perkara yang baik yang diterapkan di dalam sistem pendidikan negara kita. Cuma semakin hari semakin terserlah sisi gelap pendidikan yang tidak dihiraukan oleh pihak di luar sana. Aku bukan cikgu, jauh sekali dari mereka yang terlibat dengan sektor pendidikan. Aku cuma seorang ibu yang mempunyai anak yang akan dididik oleh cikgu dengan acuan sistem pendidikan di Malaysia. Dan oleh sebab itu aku sangat-sangat bimbang, apa hasil sistem pendidikan songsang ini terhadap anak aku?

– Anak Murid Cikgu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *