Assalamualaikum dan hi semua.
Terima kasih admin kerana memberi peluang kepada saya meluahkan isi hati.
Ini kali pertama saya membuat konfesi di sini.
Saya seorang wanita di akhir 20-an, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan bakal ke sekolah rendah tahun hadapan.
Sekarang, saya sedang melalui fasa yang menyaksikan betapa jiwa tersepit antara keperluan menyediakan rumahtangga yang terurus, ekonomi yang mampan, dan jihad untuk agama. Semuanya adalah demi mendapatkan suasana yang terbaik untuk anak cucu kami.
Berbelit sungguh kan?
Izinkan saya mencuri masa dan tumpuan tuan/puan pembaca.
Saya dibesarkan di sebuah daerah pesisir pantai, timur Malaysia. Dibesarkan dalan keluarga yang berpegang teguh pada adat dan agama. Ya, seperti yang selalu diungkapkan oleh kebanyakan terhadap rakyat negeri kami. Saya sedar dan akui itu.
Nenda2 saya orang yang suka belajar, berguru dengan guru pondok, pergi ke masjid-masjid untuk dengar ceramah agama, dan juga membuat madrasah khusus di sebelah rumah, supaya senang menjemput penceramah. Kata nenda, “dalam tidur atau dalam jaga, biar telinga mendengar yang baik-baik sahaja. ”
Manakala bonda dan ayahanda saya pula berfikiran konservatif. Anak-anak dihadkan pergaulan. Tiada gajet dan alat komunikasi lain di rumah, melainkan hanya telefon rumah. Setiap minggu akan diadakan usrah dan sesi tazkirah muhasabah. Anak-anak perempuan diharamkan berseluar. Menyertai aktiviti kokurikulum di luar sekolah boleh, tetapi akan ditemani mereka berdua atau salah seorang.
Setelah mahir mengeja abjad roman dan huruf arab hasil didikan bonda di rumah. Menginjak umur 6 tahun, saya didaftarkan ke sekolah rendah swasta. Dari sekolah rendah ke menengah ke universiti, semuanya aliran agama. Ini adalah peraturan yang ditetapkan ayahanda. Sebagai anak, saya hanya patuh.
Cita-cita ayahanda bonda adalah supaya anak-anak cemerlang demi agama. Kalau perempuan, biarlah dapat jadi doktor pakar sakit puan. Kalau perempuan, biarlah dapat jadi se’alim Saidatina Aisyah. Kalau perempuan, biarlah dapat jadi pembela agama sehebat Nusaibah dan Sumayyah.
Sebelumnya, saya hanya menurut sahaja semua kehendak ayahanda. Menurut tanpa kefahaman. Sehinggalah apabila saya berkahwin dan mempunyai zuriat sendiri, saya mula berfikir seperti ayahanda. Apatah lagi apabila saya sendiri dikurniakan anak perempuan.
Pengalaman saya mengembara ke negara orang, saya jadikan panduan dan iktibar. Betapa indahnya jika apa yang ada di fikiran saya ini menjadi kenyataan.
Di zaman kegemilangan Islam, anak-anak perempuan dijaga seumpama berlian dan emas. Tersimpan rapi, digilap. Harum dan sinarnya hanya dapat dinikmati oleh pemilik sahaja. Sedangkan, jika ada yang mahu menumpang, hanya berkisar di sebalik tabir.
Sedangkan di zaman kita, ibu-ibu perlu bekerja sama sibuk seperti bapa. Malah ada yang lebih sibuk. Anak-anak terbiar ke sekolah. Berapa jam mereka ditinggalkan jauh dari pengawasan ibu bapa? Sejak umur 3 bulan lagi sudah dihantar ke rumah asuhan. Maka wujudlah kisah, anak didera, anak dinoda, anak diculik. Anak-anak ini adalah generasi yang bakal memimpin negara kita.
Betapa saya rindu dan mengharapkan kembalinya zaman itu. Zaman di mana, ibu-ibu tidak perlu risau akan kemampuan suami memenuhkan isi perut ahli rumah. Zaman di mana ibu-ibu boleh fokus menjadi sekolah yang pertama. Zaman anak-anak perempuan bukan sekadar dilatih menjadi perempuan yang berada di ceruk dapur, tetapi perempuan yang membentuk pemimpin dunia.
Zaman di mana suamilah menjadi wali, orang yang dipertanggung-jawabkan menjaga keluarganya. Zaman di mana lelaki di ajar untuk mempertahankan keluarga dan tanah air.
Zaman di mana, para rakyat bebas menuntut ilmu, mengkaji, dan meluahkan idea, sedangkan pemimpin pula memberikan sokongan dan peluang. Zaman di mana rakyat tidak perlu gusar tentang masalah sosial dan jenayah kerana pemimpinnya terdiri dari orang yang amanah, adil dan bijaksana.
Apa yang kita takutkan pada zaman tu?
Masa tu, takutnya hanya satu, fokus juga hanya satu.
Fokus mencapai redha Allah, dan takut pada murka Allah.
Tiada kerisauan tentang duit. Tak payah fikir tentang kebulur. Tak perlu fikir tak cukup duit nak mengaji.
Inilah impian saya.
Impian ini saya lihat mula menampakkan puing-puing cahayanya di tanah sekebun bunga tempat saya dilahirkan. Pemimpinnya adalah dikalangan orang-orang yang mendahulukan agama.
Pusat pengajian pula tumbuh melata. Malah ada yang memberikan pengajian percuma.
Tetapi, kita pula yang tiada masa.
Setiap hari berfikir, kena kerja. Tak ada masa nak mengaji. Kalau tak kerja, anak nak makan apa.
Lalu, kita mengaji tergagap, anak pula buta Al-Quran. Ilmu agama apatah lagi.
Hakikatnya, kita memang fokus untuk cemerlang di sekolah. Supaya senang masuk universiti. Dapat kerja bagus, dapat duit banyak, hidup senang. Dan begitulah hayat kita anak cucu cicit berputar.
Betapa sedihnya kehidupan ni. Betapa singkatnya pemikiran kita.
Sedangkan orang islam, adalah orang-orang yang optimis dan berfikiran jauh.
Manakan tidak, jauhnya wawasan hidup kita, bukan setakat nak cemerlang dunia, cemerlang akhirat itu lebih utama.
Sebab itu wujud istilah dalam peperangan, ‘imma an-nasr, wa imma asy-syahadah’.
Tiada istilah kalah dalam peperangan, hanya ada kemenangan atau mati syahid.
Tiadalah kemenangan paling indah, melainkan dapat pulang ke sisi Tuhan dengan hati yang redha dan lapang.
Sungguh perit saya memikirkan nasib keluarga kami. Pada waktu sekarang pun, saya tidak dapat memberikan hak seorang anak terhadap anak saya. Haknya mendapat pendidikan dan jagaan terbaik dari IBU BAPA. Kerana ibunya ini perlu berbakti kepada negara. Andai saya boleh lakukan semua khidmat ini sambil melihat anak membesar di depan mata.
Bertambah perit apabila saya memikirkan tidak ramai yang mahu ambil tahu, bagaimana sesebuah kerajaan dan negara memberi kesan kepada pembentukan keluarga.
Perit lagi, bila lebih ramai yang sekadar mahu negara yang maju, maju dari segi ekonomi, wangnya melimpah. Tidakkah kalian tahu, kaya yang sebenarnya itu bagaimana ? Kaya dan bahagia yang sebenar itu adalah bila Tuhan merahmati kita.
Bila Tuhan bagi rahmat, bila Tuhan sayang, minta la apa sahaja, Dia bagi.
Baldatun toyyibatu wa Rabbun Ghafur.
Tidakkah kalian pernah mendengar kisah, anak-anak yang tidak pandai sekolah, apabila dihantar ke pusat tahfiz, pusat akhlak, jiwa dan otaknya berubah. Tahu tak kenapa? Kerana roh agama lah yang membersihkan jiwa. Memudahkan otak serap ilmu.
Janganlah tutup mata kalian dari melihat perkara yang benar.
Kelak Tuhan akan tanya, kamu tak tengokkah atau kamu sengaja butakan mata hati dari melihat perkara yang benar?
Ada juga orang-orang yang pernah menghirup udara sejuk bumi serambi Mekah, berkata, negeri ini tidak pernah memberikan kebaikan kepada mereka. Lalu mereka mahu rosakkan negeri ini, dan tukar kepimpinannya.
Peringatan dari Al-Quran untuk mereka :
“Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat ”
(At-Takatsur : 8)
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan”
(Ar-Rahman : 13)
Suka saya memperingatkan, Janganlah kalian lupa dengan janji Allah, jika bukan kita yang membawa agama ini, Allah akan datangkan satu kaum, yang lebih kuat. Kaum tu kalau dia membawa Islam, dia akan bawa Islam yang lebih baik dari kita. Kaum tu, kalau Allah gantikan dengan golongan yang benci Islam, maka dia akan henyak Islam, tindas kita, sampai kita rasa menyesal, “kenapa bukan kita yang bersungguh-sungguh bawa Islam? ”
Menyesal kemudian tak berguna lagi.
Sungguh, saya menangis.
Saya masih berharap,
Tuhan akan membantu, semoga sinar yang sedia ada tidak malap.
Malah semakin bergemerlapan.
Saya akan berusaha,
Menepis tangan-tangan yang cuba memadam.
Demi anak cucu saya.
Demi anak cucu kalian (mungkin di suatu waktu yang jauh, kita akan berbesan, saya juga mengharapkan menantu dan besan yang baik-baik,supaya dapat keturunan yang dapat mendoakan kita di dalam kubur kelak)
Akhirnya,
Saya mengajak kalian bersama membaca dan mengaminkan doa ini
“Ya Allah serahkanlah urusan kami kepada orang yang baik-baik. Dan janganlah kau serahkan urusan kami kepada orang yang jahat. Dan janganlah kau berikan kuasa ke atas kami orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mengasihani kami”
Yang meluahkan perasaan
– Perempuan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit