Assalammualaikum semua dan terima kasih kepada admin. Sebelum saya menghuraikan tajuk saya, biar saya perkenalkan diri saya serba sedikit. Nama saya puan P. Saya merupakan seorang balu dan mempunyai 3 otang anak. Cukup sampai di sini pengenalan diri saya. Cerita yang akan saya sampaikan berkisar tentang diri saya, adik dan ibu saya. Tujuan saya menulis di sini adalah untuk bertanyakan pendapat semua, adakah saya kejam?
Ceritanya begini, selepas suami saya meninggal dunia, adik saya tinggal bersama saya supaya dapat menjadi peneman buat saya dan anak-anak. Ketika itu adik saya baru berhenti berkerja. Oleh itu saya yang menanggung segalanya. Saya ikhlaskan segalanya kerana adik saya yang menjaga anak- anak saya ketika itu.
Masa berlalu dan adik saya mula bekerja. Dia mula berubah sikap. Sombong dan ego. Selalu bergaduh dengan saya. Telinga saya dah lali mendengar dia menengking saya. Malah anak- anak saya juga ditengking. Kadang-kadang dia mencubit dan menarik rambut ank saya ketika dia marah. Pernah kami tidak bertegur berbulan- bulan lamanya. Segala perangai negatif adik,jika saya tegur tidak pernah dihiraukan malah dia seperti berdendam kerana saya menegurnya. Jujur saya katakan, saya sangat tertekan tinggal bersamanya
Kemuncak cerita apabila dia tidak lagi bekerja. Dia sendiri yang berhenti bekerja atas sebab- sebab tertentu. Adik saya sangat pemalas orangnya. Anak dara yang tidak pandai menguruskan kerja-kerja rumah. Bangun tidur tengah hari atau petang. Bilik tidur berbau dan bersepah. Saya yang bekerja pulang ke rumah dengan keadaan rumah yang tidak terurus. Dia hanya banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Tidur atau bermain dengan telefon. Jika saya meminta bantuan untuk mengemas rumah, dia akan buat,tapi akan mengambil masa yang lama untuk membuat atau memang tidak buat langsung. Bilik air juga sangat kotor. Sedangkan dia yang menggunakan bilik air tersebut. Memang pengotor. Saya sudah cukup bersabar dengan sikap adik.
Satu hari saya bergaduh dengan adik. Hampir sebulan kami tidak bertegur sapa. Ketika krisis, dia menjadikan saya orang gaji di rumah sendiri. Cawan dan pinggan yang dia makan saya juga perlu basuh kerana mata saya sakit melihat segalanya tidak dicuci. Segala kerja- kerja rumah dia tidak bantu sedikit pun. Saya pulang dari kerja dengan keadaan penat perlu menguruskan anak-anak dan kerja-kerja rumah sedangkan adik hanya melepak di dalam bilik. Kesabaran saya semakin terbatas. Kesannya anak-anak selalu dimarahi kerana saya letih dengan segalanya.
Kesan dari sikap adik, saya menyuruh adik keluar dari rumah saya. Saya terlalu tertekan dengan sikap dia. Adik memang keluar dari rumah saya. Masalahnya ibu saya menyalahkan saya. Ibu menyatakan saya kejam dan tidak berhati perut. Menghalau adik ketika tidak bekerja. Buat pengetahuan semua, adik tidak berpindah ke rumah ibu tetapi menyewa bilik. Saya sudah hilang sabar dengan perangai pemalas adik. Tiada sedikit perasaan empati adik terhadap saya. Sedangkan saya yang menanggung makan dan minum dia selama ini. Ibu sentiasa menyalahkan saya lebih-lebih lagi adik selalu bercerita dia tiada duit untuk makan dan membayar sewa rumah. Sekarang dia bergantung pendapatan dengan bekerja secara online sahaja. Jika dulu adik sentiasa ada krisis dengan ibu, tetapi sejak keluar dari rumah saya, adik cukup baik dengan ibu. Saya sendiri berasa pelik.
Sejujurnya, had kesabaran dengan sikap pemalas,pengotor,berkira, dan ego adik menyebabkan saya tidak mampu tinggal bersamanya lagi. Saya juga perlu rasa bahagia. Bukan berasa tertekan sepanjang masa. Emosi saya stabil semenjak adik tiada. Tetapi apabila mengetahui ibu menyalahkan saya atas segalanya, saya memang berasa sedih. Sepertinya ibu tidak memahami segala penderitaan saya sepanjang bersama adik hampir 3 tahun. Kejamkah saya kerana menghalau adik?
– P
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit