Pasangan Yang Beragama

Salam semua. Confession aku ni rasanya agak pelik sikit, tapi memang lama terpendam dan aku pun tak tahu macam mana aku nak share dengan orang lain. Aku ni anak perempuan sulung daripada family yg non muslim.

Dipendekkan cerita, aku nak masuk Islam tapi aku tak berani. Bukan sebab takut dipulaukan keluarga atau kawan-kawan. Tapi takut kalau aku masuk Islam, keluarga aku akan menjadi bahan ejekan ahli keluarga dan orang lain. Masuk Islam jika berkahwin lebih mudah difahami berbanding masuk Islam atas dasar kemahuan sendiri.

Iyalah, tengok saja drama Melayu Islam, semuanya berunsurkan ‘black magic’, semuanya berunsur kekerasan dan paling banyak apabila suami berpoligami dan meninggalkan si isteri pertama dengan kejam. Begitu lah persepsi yang ditinggalkan oleh drama drama Melayu dan tentang Islam kepada yang non muslim. Maka lebih payah lah untuk aku nak memeluk agama yang benar ini kerana apa lah sangat pengetahuan yang keluar dari mulut aku yang bukan beragama Islam ini jika aku cuba jelaskan apa itu Islam sebenarnya.

Jodoh? Nak cari jodoh daripada kalangan yang beragama Islam tu pun payah. Sebab apa? Sebab aku bukan Islam. Ada yang mendekat, tapi kebanyakkan suami orang dan aku tidak mahu suami orang. Bukan sebab tak mahu bermadu, tapi tengok perangai dan tabiat memang tak boleh bimbing ke mana pun. Semuanya atas dasar nafsu semata mata walaupun aku ni bukan lah seorang wanita yang cantik.

Aku selalu berfikir. Adakah ini semua ujian Allah kepada aku? Walaupun aku belum Islam tapi adakah ini ujian yang Allah berikan kepada aku. Pada usia yang akan genap 28 tahun nanti adakah aku akan terus mencari sebab untuk aku memeluk Islam? Adakah perlu aku menunggu seorang lelaki yang bergelar suami baru lah aku bole melangkah ke dunia Islam?

Sesungguhnya aku bersyukur kerana mendapat hidayah ini. Aku yakin Allah berikan aku hidayah dan akal yang cukup kukuh untuk aku memilih Islam. Kenapa? Aku pernah cuba untuk berputus asa dan membuang perasaan ini, tapi secara jujurnya aku yakin Allah benar benar sayang kan aku kerana perasaan terhadap Islam itu agama yang sebenar tidak boleh dipadamkan begitu sahaja.

Setiap perbuatan aku yang aku lakukan aku sering beringat tentang Allah, tentang pahala dan tentang dosa. Aku sedar bahawa dosa aku lebih berisi daripada pahala aku. Dan aku selalu bersyukur kepada benda baik yang berlaku kepada aku setakat ini kerana aku yakin itu semua rezeki dari Allah, dan benda buruk pula? Jika dahulu pada waktu kanak- kanak aku percaya kepada nasib malang. Tapi sejak belajar tentang Islam sikit-sikit aku faham bahawa setiap benda yang tidak baik berlaku ada sebabnya, dan sebabnya mungkin untuk kebaikkan diri kita.

Dalam confession ni ada beberapa rakan Islam yang ternyata berasa jauh dari agamanya sendiri namun sedar mereka perlu balik semula kepada Penciptanya. Yakin lah bahawa itu adalah petanda Allah masih ingat pada diri kamu, dan bersyukurlah bahawa kamu tidak perlu berpura pura untuk menjadi orang Islam dan boleh mengenal Islam dengan mudah. Kerana menjadi seorang non-muslim yang ingin memeluk Islam bukan lah sesuatu yang mudah, ianya mengganggu emosi dan akal sendiri.

Aku tahu kerana itu lah yang aku rasanya sejak aku mengenali Islam dan ingin memeluk Islam. Ramai yang melihat aku seperti biasa, namun hati dan perasaan aku yang sebenar hanya Allah yang tahu.
Doakan lah semoga aku dapat menjadi seorang Islam sebenarnya benarnya sebelum aku menjadi sebahagian daripada tanah.

– Amoi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *