Kahwin Semua Sweet?

Assalamualaikum dan Hai. Kerja saya setiap hari di Mahkamah Tinggi Syariah. Jadi, bila saya cakap kerja di Mahkamah Syariah, faham-fahamlah bahawa ia berkaitan dengan alam perkahwinan. Yang gatal miang nak kahwin, yang rancang nak cari calon dari media sosial, yang tak kahwin lagi tapi update sweet-sweet kat media sosial, bolehlah baca confession ini. Walaubagaimana pun, saya tak boleh expose kes-kes yang masih dalam prosiding. Saya akan bagi gambaran dan proses bagaimana pertelingkahan dalam kekeluargaan dapat diselesaikan menggunakan cara mahkamah

Kalau nak tengok yang sweet-sweet boleh tengok kat Instagram, Facebook atau mana-mana media sosial. Tapi kalau nak menstabilkan hormon asyik rasa nak kahwin je, bolehlah sekali kala melawat mahkamah syariah. Dalam media sosial ini, semua orang expose good sides sahaja. Bila hubungan mula tawar, diam sepi. Umur 20-30 tahun memang rempah rencah rasa nak kahwin atau nak ada pasangan tu naik bau tapi perlu ingat bahawa perkahwinan bukannya satu-satunya punca kebahagiaan. Orang yang sudah berkahwin tak semestinya bahagia. Dan tak berkahwin itu tak semestinya tak bahagia. Perkahwinan ini bukannya satu fasa di mana bila kita kahwin, terus capai tahap nirvana entah lesap ke mana macam cerita fairytale. Dan perkahwinan juga bukanlah tujuan utama kita dalam kehidupan.

Suami kaki pukul atau tak bayar nafkah?

Kadang-kadang bila suami mula naik tangan, bertengkar depan anak-anak ATAU tak bagi nafkah, si isteri boleh datang ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk failkan kes Ex Parte atau Interim. Ex Parte ini merupakan satu bentuk perlindungan pantas untuk isteri/anak daripada terus dianiayai.

Prosiding lambat sampai berbulan-bulan? Tak. Kalau untuk kes Ex Parte, hari ini buka fail, esok dah bicara atau dalam tempoh seminggu kes difailkan.Mahkamah akan beri perintah mengikut apa yang dituntut oleh pemohon berdasarkan alasan-alasan yang kukuh. Contohnya, pemohon/isteri selalu bertengkar dan dipukul oleh suami atau suami tak bayar nafkah. Anak-anak yang melihat pertelingkahan tersebut mula terganggu emosi. Jadi, si isteri boleh minta kepada mahkamah untuk membenarkan isteri tinggal berasingan dengan si suami selama sebulan. Selepas habis tempoh sebulan, kena renew pemohonan Ex-parte itu.

Permohonan fasakh

Permohonan untuk fasakh ini ada banyak sebab. Antaranya, suami tidak membayar nafkah, suami kaki pukul, suami ada penyakit berbahaya dan memudaratkan isteri dan lain-lain. Kalau dalam kes Ex-Parte tadi, dalam tempoh hidup berasingan, si isteri boleh failkan kes fasakh di mahkamah rendah syariah dan pada masa yang sama, failkan juga hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah supaya selepas bercerai, tak ada drama tarik badan anak.

Isteri Jangan Lari Rumah

Kenapa kes-kes fasakh yang dipohon oleh isteri ditolak? Antaranya kerana, si isteri lari dari rumah. Okey contohnya, waktu petang si isteri kena pukul. Malam isteri lari rumah. Besoknya dia fail kes fasakh. Maka, akan ditolak permohonan fasakh.

Oh ya, lupa nak bagitahu, bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah merangkumi cerai termasuk ta’liq, fasakh, khuluq, talaq etc. Mahkamah Tinggi Syariah tak handle kes cerai. Mahkamah Tinggi Syariah juga handle kes hak penjagaan anak sebelum atau selepas bercerai, pengesahan nikah poligami di luar negara, permohonan nikah poligami, faraid, ex-parte/interim, wasiat, hibah dan beberapa lagi yang lain.

Cara-cara yang betul ialah waktu petang dipukul oleh suami, malam jangan lari dari rumah. Esoknya keluar rumah, cakap kat mahkamah tinggi syariah nak buka kes Ex-Parte. Sebaik-baiknya hire peguam. Hari ini failkan kes, besok atau lusa terus bicara. Tak perlu nak tunggu sampai berminggu-minggu.

Semua lelaki tak guna?

Dulu aku pun overgeneralize macam itu juga. Hehe, sorry. Tapi bila tengok kes, dua kali lima je laki perempuan. Ada kes yang selesai, suami minta ubah perintah hak penjagaan anak daripada si ibu kepada si ayah sebab si ibu selalu bawak lelaki masuk rumah kemudian buat perkara tak senonoh. Kau rasa anak dia membesar macam mana?

Kelayakan hak penjagaan?

Mana-mana anak yang berumur bawah 10 tahun akan diberikan hak jagaan kepada ibu melainkan si ayah dapat membuktikan kenapa si ibu tak layak. Hak jagaan bermaksud anak tinggal dengan ibu dan kebajikan 24 jam diurus oleh ibu. Kalau yang atas 10 tahun, anak tersebut diberi pilihan sama ada mahu tinggal dengan ibu atau dengan si ayah.

Walaupun ibu diberikan hak lawatan, tak bermakna si ayah dinafikan hak untuk berjumpa dengan anaknya. Selalunya si ayah akan diberikan hak lawatan mengikut persetujuannya sendiri. Contohnya, si ayah memohon hak nak lawat anak atau nak bawak anak keluar jalan-jalan pada hujung minggu dan mahkamah setuju, jadi, Tuan Hakim akan luluskan mengikut budi bicaranya. Kalau si ayah kata dua minggu sekali, ha ikutlah apa kata Tuan Hakim.

Ha, banyak pula saya tulis. Nanti bila-bila saya sambung tulis pasal poligami. Biar korang tahu betapa azabnya nak dapatkan pengesahan nikah poligami luar (nikah sindiket/usaha sediri) yang dilakukan di Thailand sampai berbulan-bulan/ bertahun-tahun tak selesai. Assalamualaikum.

– Hita Mulle

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *