Pendidikan Seks Penting Untuk Kanak-kanak

Assalammualaikum wbt. Terima kasih pada admin sekiranya luahan ini dikongsikan.

Biar saya perkenalkan diri saya secara ringkas, saya seorang perempuan berusia 20++an. Tidak berkahwin. Cukup setakat itu.

Seperti mana tajuk di atas, saya hanya menulis berdasarkan pengalaman saya dan bagaimana Pendidikan Seks ini membantu saya suatu ketika dahulu.

Sungguh saya tidak tahu apa itu ‘seks’ (maafkan saya…) sehingga berumur 12 tahun, selepas tamat UPSR, sekolah saya membuat pelbagai program untuk pelajar lepasan UPSR bagi menghabiskan sisa-sisa bulan terakhir di sekolah rendah.

Di antara program tersebut, pihak sekolah telah menjemput jururawat dari klinil kesihatan berdekatan untuk membuat program pencerahan tentang ‘awal remaja’. Lelaki dan perempuan diasingkan di bilik dewan yang berlainan dan waktu yang berlainan.

Intipati program yang disediakan, kami diberi pencerahan tentang apa itu remaja lelaki dan perempuan, memperkenalkan gambaran alat kelamin lelaki dan perempuan dan diberitahu secara asas bagaimana ‘akil baligh’ berlaku berserta tanda-tandanya dan pastinya kami diajar bagaimana menggunakan ‘pad’ dan ‘tampon’ (maafkan saya sekali lagi..) bagi yang tidak mengetahui dan cara membersihkannya dengan cara yang betul. Diperkenalkan dengan gejala PMS (mohon yang pakar menjelaskannya dengan lebih lanjut atau google sendiri sekiranya anda tidak tahu) dan bagaimana untuk mengendalikan keadaan sekiranya berlaku.

Dan juga dijelaskan tentang suntikan vaksin Rubella yang bakal kami dapat dan mengapa perlu kami dapat suntikan tersebut. (Penerangan awal supaya pada yang takut jarum boleh persiapkan mental dan fizikal..)

Kami juga diajar tentang ‘ancaman psikologi’ dan serba sedikit tentang ‘alam percintaan monyet’ dan bagaimana untuk mengelak ‘memprovokasi dan diprovokasi’ jantina berlawanan secara asas.

Kemudian, topik yang jauh lebih serius diberitahu. Pendidikan Seks yang sebenar. Bagaimana hubungan lelaki dan perempuan boleh terhasilnya anak dan apa itu ‘rogol’, ‘cabul’, dan ‘liwat’.

Tatkala topik ini dibincangkan, muka ceria saya yang penuh dengan ilmu baru bertukar keruh, saat jururawat tersebut menerangkan apa itu perlakuan ‘rogol’, ‘cabul’ dan ‘liwat’ boleh terjadi, di mana anggota yang akan disentuh dan sebagainya; dan hal itu boleh terjadi pada orang yang dikenali, tidak dikenali malahan ahli keluarga sendiri.

Mengapa airmuka saya bertukar keruh pada waktu itu? Sesungguhnya pada ketika itu, fikiran saya menerawang pada satu ‘memori gelap’ yang saya sendiri tidak tahu itu adalah satu kesalahan yang membawa jenayah dan aib buat saya selamanya.

Saya pernah dicabul, dan hampir dirogol oleh abang kandung saya sendiri pada usia 8 tahun! Astaghfirullah hal azim! Sungguh saya masih ingat memori itu sehingga kini.

Abang kandung yang saya sangat hormati dan sayangi sanggup melakukan hal terkutuk itu pada adiknya sendiri. Selepas ketiadaan ayah, saya kehilangan satu figura gagah yang dipanggil ‘ayah’ untuk diikuti, keberanian, kewibawaan, dan kebijaksanaanya.

Saya hanya ada beberapa orang abang kandung, dan salah satunya abang yang mencabul saya ini. Dia seorang yang bijak sejak kecil, kerana kebijaksanaanyalah menjadikan saya ingin mencontohi kebijaksanannya juga, bijak dalam pelajaran. Dia menjadi tempat rujukan saya dalam pelajaran.

Pada satu hari yang malang, ketika ibu saya tiada di rumah kerana pergi ke pasar dan saya baru sahaja pulang dari sekolah agama KAFA dan menunggu waktu untuk ke sekolah kebangsaan dan saat itu saya menemukan artikel kartun di lantai luar bilik berkdekatan bilik abang saya itu.

Artikel itu mengenai Sains dan kisah tentang seorang tokoh bernama Michael Faraday, bagaimana elektro-kimia terhasil, dek kerana tidak sabar dan saya inginkan penjelasan yang lebih lanjut darinya kerana dia sangat pandai menerangkannya dan dia seorang yang berpengetahuan luas,

Akan tetapi dek kerana sifat ‘ingin tahu’ yang tidak kena waktunya dan sifat ‘naif’ serta ‘rasa percaya yang tinggi’ padanya; bukan itu yang dia terangkan sebaliknya, dia mengajak untuk berbuat hal terkutuk itu atas nama ‘pelajaran baru’ dan ‘seronok’.

Itulah kenaifan diri yang paling saya sesalkan sehingga kini, sumpah ‘pelajaran baru’ itu tidak seronok, ianya menyakitkan dan saat saya hampir dirogol; Tuhan menyelamatkan saya, ibu saya tiba di rumah dan dia mengugut saya untuk tidak memberitahu hal itu, dan kerana rasa percaya itu, saya tidak memberitahunya langsung.

Kejadian sebegitu terjadi 3 kali, dan setiap kali hal itu berlaku, ibu saya pasti akan tiba pada waktu yang tepat. Saya merasa keliru, ‘rasa sakit’ yang berpanjangan dan saya tidak mampu memberitahu sesiapa, bila ditanya pada abang saya, katanya ‘kesakitan itu awal pada keseronokkan’. Maka saya tetap percayakannya.

Sejak kejadian itu berlaku, abang saya yang baik bertukar menjadi seorang yang garang dan panas baran, bila mana dia ada kesempatan, dia akan mencederakan saya secara fizikal dan memaki hamun saya secara verbal. Ibu menjadi hairan dengan sikapnya dan menjadi seorang pelindung yang sangat baik, dia sentiasa ada dengan saya hampir setiap masa dan tidak tinggalkan saya berseorangan dengannya lagi.

Mujur dengan tindakan itu, saya tidak lagi ‘diserang secara seksual’ dan saya terlupa akan hal tersebut hingga pada saat program itu dijalankan. Saat semua penerangan itu berlaku.

Terasa keperawanan itu sudah diragut semuanya, dan rasa sakit pada hari tersebut berulang semula;—jujur saya trauma dan merasa jijik dengan diri sendiri dan orang sekeliling tetapi rasa takut yang menjalar membuatkan saya kekal diam tidak bersuara, kerana saya datang dari keluarga yang agak bermasalah dan pada tahun tersebut, ibu saya tidak sihat kerana dia beraada di awal peringkat ‘menopause’ dan sikapnya menjadi seperti seorang yang dalam tekanan perasaan dan saya tidak mahu menambahkan beban jiwanya lagi.

Maka, saya membuat keputusan untuk menjauhkan diri dari kekal tinggal di rumah dan seberusaha mungkin menghabiskan masa saya di sekolah dengan pelbagai aktiviti atau bersama kawan-kawan di luar rumah. Pendek kata, hanya waktu malam sahaja saya berada di rumah.

Azam saya, saya ingin UPSR saya dalam keputusan terbaik dan saya dapat bersekolah asrama penuh untuk melarikan diri dari bertembung dengan abang kandung saya, kerana saya bimbang dek kerana saya sudah ‘akil baligh’ dan badan saya sudah ‘berubah’, dia bakal tertarik dan bila dia punya kesempatan, dia akan menyerang saya sekali lagi, dan kemungkin untuk ‘mengandung’ itu berlaku. Saya sungguh takut kalau hal itu terjadi.

Keputusan UPSR keluar dan saya mendapat keputusan cemerlang, tetapi kerana masalah kewangan; saya tidak dibenarkan untuk bersekolah asrama penuh. Saya cuba bersabar dan berikhtiar, tindakan seterusnya menjauhkan diri sebanyak mungkin.

Keluarga saya menggelar saya ‘gila kuasa’ dan terlalu sibuk dengan aktiviti luar waktu sekolah ketika awal persekolah menengah seolah-olah tiada masa bersama keluarga. Mereka tidak tahu, jawapan sebenar di sebalik semua yang berlaku, saya cuma memberi alasan, ‘seronok’ dengan sekolah baru. Padahal itu cuma cara saya untuk mengelak dari bertembung dengan abang saya sahaja. Kebetulan, dia baru sahaja dibuang dari universiti di atas sebab-sebab yang tidak dapat diceritakan.

Kehidupan saya sangat sukar dengan berlawan emosi secara mental dan fizikal dan mendiamkan diri dalam tempoh yang lama mendera hidup saya.

Pada pembaca semua, jangan menghakimi saya mengapa saya tidak melaporkan pada polis dan sebagainya, akibat dari hal tersebut telah saya fikir sehabisnya dan disebabkan kes itu berlaku terlalu lama dan saat saya menyedari itu satu perlakuan yang salah juga sudah terlambat, di mana tiada saksi dan juga kesan penderaan seksual yang jelas, kes ini menjadi sukar dikendalikan dan tambahan lagi, datang dari keluarga yang bermasalah dan stigma masyarakat yang ‘victim blaming’ pada wanita sangat tinggi dan kemungkinan besar saya tidak akan dilindungi langsung; dan sekiranya jiran serta rakan-rakan seusia mengetahuinya, tiada siapa akan berkawan dengan saya dan paling teruk sekali, ibu saya yang sakit pada waktu itu akan dihina oleh jiran sekeliling dan mengatakan ibu tidak pandai menjaga anak. Sesungguhnya setelah memikirkan hal itu sedalamnya, saya bertekad untuk menderita seorang diri demi menjaga kepentingan dan nama baik keluarga.

Di sebalik semua kisah ini, saya sebenarnya ingin berkongsi pengalaman dan menceritakan bagaimana program sebegini memberi pencerahan kepada saya apa itu ‘Seks’, ‘Rogol’, ‘Cabul’ dan ‘Liwat’ dan bagaimana kejadian buruk yang tidak terjangkau dek akal itu boleh berlaku pada saya juga. Walaupun kesan daripada ‘pengetahuan’ itu tidak berlaku dengan baik dalam kehidupan saya.

Akan tetapi, saya masih bersikap positif, program ini masih boleh membantu untuk melawan ‘kejahilan’ dan bahayanya ‘Seks’ ini pada kanak-kanak dan saya yakin sekiranya keterlibatan ibu bapa yang ‘sedar’ akan keadaan ini, mampu membantu untuk menukarkan kesan ‘buruk’ yang terjadi pada saya dan ratusan anak-anak yang kurang bernasib baik seperti saya menjadi lebih baik.

Anak-anak berhak dilindungi oleh ibu bapa dan ahli keluarga mereka sendiri dan bukan sebaliknya. Perhatikan pergaulan anak-anak anda antara adik beradik. Terapkan pada lelaki dan perempuan apa peranan mereka sebagai anggota keluarga dan bersikap sopan dan ‘melindungi’ bukan ‘merosakkan’. Saya yakin, sebagai ibu bapa yang berpelajaran pada zaman moden ini, anda semua lebih mengetahui bagaimana mahu mendidik anak-anak tentang sahsiah dan akhlak terpuji seawal usia dan bahaya ‘seks luar nikah’ bersama kesan-kesannya.

Kita Mampu Mengubahnya!

P/S : Pendidikan Seks bukan tentang boleh buat seks dengan memakai kondom dan pil perancang sahaja. Itu saya tak setuju! Itu beritahu mereka sekiranya mereka bertanya atau pada hari sebelum mereka dinikahkan!

P.P/S : Apa pun jangan buat anak anda takut untuk berkongsi masalah dengan anda dan pastikan anda ada kesediaan untuk mendengar mereka, kalau tidak beribu program sebegini tidak menjadi hasil yang diharapkan.

P.P.P./S : Pesan saya yang terakhir, LELAKI JANGAN ROSAKKAN PEREMPUAN WALAUPUN ANDA ADA PELUANG DAN PEREMPUAN JANGAN JADI NAIF ATAS PUJUK RAYU YANG TIDAK BERTEMPAT!

********** TAMAT**********

Terima kasih kerana membaca dan saya minta maaf atas kelancangan dan kesilapan tutur kata yang ditaip di sini dan saya mohon beribu kemaafan kerana mengeluarkan topik yang ‘tabu’ di kalangan masyarakat kita; dan niat saya hanya untuk menyatakan ‘kesedaran’ dari segi ‘sivik’ yang saya masih miliki.

Saya mohon juga, jangan mempersendakan dan membuat sebarang penghinaan pada sesiapa ketika anda berdebat di ruang komen dan jangan lari dari topik yang dibincangkan. Berdebatlah dengan beradab dan bijaksana!

“Kita adalah masa kini negara dan anak-anak hari ini adalah masa depan negara!”

– Ais Beku

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *