Peminatku Suami Orang

Assalamualaikum dan Hai. Aku harap luahan ini dapat disiarkan. Aku rasa terbeban memikirkan hal ni. Maka aku ingin meminta pendapat daripada netizen yang sudi (jangan kecam please).

Kisahnya begini, aku telah didatangi oleh seorang peminat lama yang telah terhilang jejak selama berbelas tahun lamanya. Dan kini dia hadir dengan niat menagih cintaku. Namun aku sedar, aku tidak patut memberi cinta kepadanya. Kenapa? Kerana dia telah berkahwin. Namun aku? Masih sendiri.

Sebenarnya aku dapat merasakan yang dia telah menyukai aku sejak berbelas tahun yang lalu. Namun pada ketika itu aku terlalu muda untuk memikirkan soal jodoh. Maka aku abaikan dia. Aku meneruskan hidupku seperti biasa, melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading. Dipendekkan cerita, beberapa tahun lepas, tidak aku tahu bagaimana, dia menjumpai akaun ‘fb’ ku. Lalu dia bertanya khabar melalui messenger, yang tidak pernah aku balas. Dan dia masih setia bertanya bertahun-tahun lamanya walaupun tidak aku balas. Dan sehingga ke saat ini, friend request daripadanya masih aku tinggalkan sepi.

Namun aku tidak tahu hantu apa yang merasuk diriku pada suatu hari baru-baru ini, aku membalas pertanyaan khabarnya. Maka berlanjutanlah daripada bertanya khabar ke tahap yang berikutnya, iaitu dia meluahkan perasaannya kepadaku. Dia menyatakan hasratnya ikhlas untuk memperisterikan aku. Namun aku buntu, kerana dia telah pun berkahwin dan memiliki 2 cahaya mata. Aku bertanya kepadanya, mengapa dia ingin memperisterikan aku? Katanya akulah cinta pertamanya, dan isterinya hanyalah pilihan ibubapanya. Aku sendiri meluat apabila memikirkan hal ini, tidak cinta tapi boleh menghasilkan 2 cahaya mata. Argggggghhhhhh… Katanya lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memperisterikan aku (memang macam drama, tapi ini berlaku).

Aku jadi buntu, kerana dia hadir pada ketika aku memang sudah memerlukan pendamping hidup (umurku kini sudah lebih 30 tahun dan aku tidak pernah bercinta). Pada masa yang sama, aku bertarung dengan diriku sendiri. Aku banyak membaca dan menonton perihal perempuan perampas suami orang, dan aku rasa begitu salah jika aku menerima cintanya. (Seperti drama jangan benci cintaku di TV3. Hahaha). Aku meletakkan diriku pada posisi isteri pertama, akan betapa hancurnya hatiku. Sebenarnya aku pernah melafazkan bahawa aku tidak akan menjadi yang kedua, dan mungkin aku diuji dengan kata-kataku sendiri.

Namun pada masa yang sama, aku berfikir, jika aku menolak cintanya, akan adakah individu lain yang mencintaiku seperti dirinya? Yang mencintaiku secara diam dan terus menerus berbelas tahun lamanya? Yang dapat aku rasakan keikhlasan cintanya? Seperkara lagi yang membuatkan aku bertambah buntu, iaitu apabila difikirkan bahawa Islam membenarkan si suami untuk memiliki 4 orang isteri (dan telah menjadi budaya bagi keluarga lelaki ini). Patutkah aku mempertimbangkannya? Atau sewajarnya aku abaikan sahaja? Bantulah aku tanpa kecaman. Terima kasih.

– Cik Buntu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *