Salam. Terima kasih sekiranya pihak admin sudi menyiarkan confession saya. Diharap pihak admin dapat sembunyikan identiti saya kerana ape yang bakal saya luahkan bukan sahaja mengaibkan saya, malah beberapa kawan-kawan saya.
Saya merupakan seorang pelajar yang tidak mempunyai masalah dalam pelajaran ataupun percintaan. Tetapi akhir-akhir ini, saya dilanda masalah dalam persahabatan yang menyebabkan saya kemurungan.
Saya mendapati diri saya telah dipergunakan oleh satu-satunya rakan baik saya. Dan rakan baik saya sendiri sudah mengaku bahawa dia pergunakan saya untuk kepentingan dirinya. Saya malu kerana kawan-kawan kuliah kami mula bertanya punca hubungan kami renggang.
Saya cuma bercerita kepada beberapa rakan kuliah yang saya percaya. Tetapi akhirnya mereka menyindir saya kerana kebodohan saya yang mudah diambil kesempatan. Adakalanya mereka berjenaka di atas kesedihan saya. Saya mula rasa tiada sesiapa yang boleh saya percaya.
Selang beberapa hari, rakan baik saya itu mula mempamerkan hubungan baru dengan rakan lain. Setiap hari mereka dilihat bersama, datang kuliah bersama, makan bersama, dan pulang pun bersama. Hancur hati saya apabila terang-terangan dan tanpa rasa bersalah mereka berlalu di hadapan saya. Paling saya terluka, mereka memandang saya dengan pandangan bangga. Hampir semua rakan kuliah bertanya pada saya, apa yang berlaku. Saya tiada jawapan, hanya air mata yang menjawab semua soalan tersebut.
Sejak saat itu saya rasakan hidup saya dalam neraka. Saya mula ponteng kuliah untuk mengelak bertembung dengan mereka. Setiap saat saya mendengar muzik sambil memaksa diri saya tidur. Pelbagai genre muzik dalam playlist saya layan. Apabila lagu metal dimainkan, saya ikut menjerit, apabila lagu balada, saya menangis. Saya tiada selera makan. Setiap kali saya cuba makan, saya pasti akan muntah. Badan saya susut.
Setelah agak lama saya tidak pergi kuliah, beberapa rakan aktif saya mengajak saya beraktiviti. Saya turutkan saja.
Semasa beraktiviti, mereka meminta saya bersedia dengan berita yang bakal mereka ceritakan. Mereka beritahu saya bahawa rakan baik saya itu sedang melancarkan serangan ke atas saya. Dia memfitnah saya kepada teman-teman kuliah kami dan salah satunya adalah perkara yang mengaibkan saya. Saya terkejut kerana saya tidak sangka sejauh itu permainan dia yang saya perlu hadap.
Saya bertambah malu untuk pergi ke kuliah. Dunia saya dah gelap. Oleh kerana tidak mahu keluarga tahu, saya tiada tempat untuk mengadu.
Saya berkurung dalam bilik sambil berfikir alangkah bagusnya kalau saya boleh pergi ke dunia lain, dunia yang orang tak kenal saya. Kadang-kadang saya harap Allah tarik ingatan saya supaya saya tak malu untuk teruskan kuliah. Saya berharap agar saya ditimpa musibah supaya saya hilang ingatan.
Sedang saya mengharapkan perkara buruk terjadi pada saya, tiba-tiba berkumandangan alunan zikir dari music player saya. Waktu itu saya terus istighfar. Ya Allah, ampunkan saya. Saya lupa saya ada Allah. Saya doa supaya Allah bantu saya cari cara untuk berdepan dengan semua orang, untuk buktikan diri saya difitnah.
Jadi saya membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat kaunseling di kampus. Pihak kaunselor berjanji untuk merahsiakan perbincangan kami. Setelah mendapatkan khidmat nasihat, saya mula mendapat kekuatan. Saya ikut amalan yang disarankan oleh pihak kaunselor.
Saya amalkan solat sunat 2 rakaat di tengah malam. Saya menangis atas sejadah minta petunjuk dari Allah. Saya cuba maafkan rakan baik saya itu supaya hati saya lebih tenang. Saya maafkan rakan-rakan kuliah saya yang percaya fitnah yang mengaibkan itu.
Dan ya, malam tu saya tidur lena dan bersemangat untuk ke kuliah. Saya nekad untuk abaikan segala tentang dia. Saya mahu jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar. Walaupun saya pergi kuliah dengan mata bengkak, saya jalani hari dengan bahagia.
Tetapi bahagia saya tak lama. Baru-baru ini kawan rapat saya itu mesej saya, bertanya kenapa saya aibkan dia kepada pensyarah-pensyarah kami. Saya langsung tidak tahu bagaimana pensyarah-pensyarah boleh tahu. Saya cuma syak, mungkin pihak kaunselor yang membocorkan maklumat saya kepada pensyarah-pensyarah.
Saya mula bertanya pada diri sendiri, salahkah keputusan saya untuk pergi mendapatkan khidmat kaunseling tempoh hari?
Salahkah saya pilih untuk kembali kepada kehidupan asal saya?
Salahkah saya bahagia?
Ya Allah, bantu saya buat pilihan yang tepat supaya saya tidak lagi kecilkan hati mana-mana pihak.
– Hamba Allah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit