Yang Terdalam

Aku selak helaian demi helaian album gambar keluarga kami yang sudah lusuh dimamah waktu. Aku tersenyum sendirian. Tanpa sedar tawa kecil meletus daripada mulutku.

Hatiku digeletek rasa lucu membaca ayat-ayat jiwang karat di belakang gambar mak dan abahku. Aku agak memang orang zaman dahulu suka mencoret kata-kata di belakang kepingan foto untuk mengenang sesuatu.

Kata mak, kata-kata di belakang gambar abah yang segak tampan bergaya itu dikarang semasa abah dalam rekrut askar. Abah kirimkan gambar kepada mak, kekasih hatinya di kampung supaya mak tidak lupa kepadanya. Di samping itu dia berharap mak tidak berubah hati dan tetap sabar menunggu kepulangannya kelak.

Mak balas kiriman surat abah, sambil kepilkan sekeping gambar juga buat tatapan abah. Aku ketawa geli hati lihat mak bergaya dengan gaya rambut kepok-kepok, dia pergi ke salon. Membuat rambut khas untuk bergambar buat kekasih hatinya. Di belakang fotonya juga tidak ketinggalan ayat-ayat cinta dan rindu sementelah beberapa bulan kedua mereka tidak bersua muka.

Aku selak lagi. Ada gambar perkahwinan mereka. Ringkas majlis orang dulu-dulu. Kan? Zaman dah berubah. Masyarakat kini gemarkan majlis yang gilang gemilang demi bermegah-megah. Walhal perkara itu ditegah oleh agama Islam yang menganjurkan kita mengelak pembaziran.

Manis wajah mak di majlis pernikahan mereka. Abah tampan, tersenyum bahagia kekasih hati sudah halal menjadi miliknya.

Album itu menyaksikan garis masa kehidupan mak dan abah. Memori indah saat mak lahirkan abangku yang sulung. Keluarga bertambah dengan kelahiran abang keduaku selang empat tahun berikutnya.

Seterusnya mak dan abah ambil seorang anak angkat, perempuan. Alasannya ibunya meninggal, saat usianya baru beberapa hari. Bukan orang lain, anak kakak abah juga. Arwah kakak abah meninggal beberapa hari selepas melahirkan kakakku yang ketiga itu. Aku tidak pasti kenapa. Mungkin ada komplikasi semasa kelahiran. Tiada siapa mahu menjaga. Abah ambil dan bela dengan berbesar hati.

Selang dua tahun, kakakku yang keempat lahir. Ya, mak dan abah sudah ramai cahaya mata. Walaupun gaji abah pada masa itu tidak sebanyak mana, tapi alhamdulillah anak-anak tidak mati kebuluran.

Oh ya, abah sudah bekerja sebagai anggota polis. Mereka berpindah ke Pengkalan Hulu. Rumah di dalam berek polis. Abang dan kakakku ramai kawan dalam kalangan orang Asli, anak-anak anggota polis juga. Cerita zaman kanak-kanak mereka sungguh berwarna warni. Abangku yang kedua lasak ya Rabbi. Boleh kata setiap bulan ke hospital.

Jahit sana jahit sini. Anak-anak sedang membesar, mak dan abah bahagia bercampur penat.

Selang dua belas tahun selepas kakakku yang ke empat lahir, aku pula lahir tanpa disangka. Betul. Dua belas tahun. Bukan dua tahun. Mak kata, aku ini lahir tanpa sengaja. Ya, mak dan abah sudah menginjak usia 40an ketika kedatangan aku ke dunia. Semua orang sangka kakakku bongsu. Rupanya ada rezeki seorang lagi.

Aku lahir ketika abang sulungku dalam rekrut polis. Abang keduaku pula baru tamat sekolah menengah. Kelahiran aku mengujakan hati mereka. Malah ketika aku lahir, abang keduaku yang membawa mak ke hospital. Dia iqamahkan aku. Dia lelaki pertama yang sentuh aku, cium pipi aku.

Abah pula sampai keesokan harinya. Aku agak mestilah kekok mak dan abah setelah sekian lama tidak menguruskan anak kecil. Tiba-tiba muncul pula aku. Merengek menangis minta dimanja.

Tapi, langit tak selalunya cerah. Tak sangka belum sampai petang, hujan menimpa rumah tangga mak dan abah. Bukan hujan renyai. Tapi bercampur ribut taufan. Mujurlah mak kuat semangat. Mujurlah mak tidak meroyan semasa berpantangkan aku.

Manakan tidak. Abah kantoi bernikah satu lagi. Semasa mak sedang mengandungkan aku. Allahu. Aku tidak tahu kalau aku di tempat mak bagaimana reaksi aku. Aku yang panas baran. Aku yang mulut boleh tahan laser. Alangkan orang kasar dengan kucing aku pun aku dah tak mampu kawal air muka aku. Ini kan kalau suami tercinta dirampas.

Tapi mak sabar. Mak tidak sebaran aku. Aku tidak pasti dari mana datangnya semangat mak untuk terus bersabar.

Mak menangis. Malah sampai sekarang kalau terkenangkan perbuatan abah yang satu itu mak rasa sebak. Aku ikut sebak, aku perempuan. Perempuan yang hatinya lembut. Tapi kenapa perempuan yang merampas kebahagiaan isteri dan anak abah itu hatinya tidak selembut kami? Kesian mak.

Apa nak dikata. Jodoh abah. Mak tersenyum, kelat. Madu mak datang melawat. Muka selamba tidak tahu malu. Mak rasa nak ganyang dia. Nak lempang dia biar berterabur gigi jongangnya ke lantai. Tapi mak sabar. Allahu.

Tetapi mengenangkan kisah cinta mak dan abah. Cinta pertama masing-masing. Hati aku terasa ralat. Realiti hidup. Bukan selamanya indah, bukan? Tapi aku rasa terkilan. Masing-masing sudah lanjut usia. Aku hairan kenapa mesti abah memilih untuk menambahkan masalah hidupnya. Sepatutnya abah harus berbahagia dengan isteri dan anak-anak tercinta. Selesai.

Abah juga yang tulis ayat cinta di belakang gambar yang dikirimkan untuk mak semasa usia mudanya. Dia yang merayu mak supaya setia dan sabar menunggu kepulangannya. Tapi kenapa dia yang ingkari sumpah setianya. Kenapa di usia tuanya dia berpaling tadah kepada yang lain. Kenapa. Aku bagaikan dirasuk emosi memikirkan semua itu. Aku rasa tidak logik. Apakan daya. Benda sudah pun berlaku. Siapa aku mahu melawan takdir Yang Esa.

Ya, sudah namanya hidup. Bukan semudah yang dibayangkan. Bukan semudah ABC. Bukan seindah kayangan. Bukan seindah dongengan. Hidup ini berpijak pada paksi realiti. Adakalanya dilambung ombak. Adakalanya dipukul ribut. Itu ujian.

Aku tambah terkilan, memikirkan di mana silap mak. Mak cantik..Kalau nak dibandingkan dengan ibu tiriku. Giginya jongang. Malah adik beradikku gelarkan dia zombie. Badannya kurus bertulang temulang. Nipis macam plywood. Butakah abah? Tak. Abah tak buta. Abah cuma terkena ubat guna-guna.

Abah cuma tersedar semua itu selepas beberapa tahun terlanjur menikahi isteri mudanya. Sesalnya tiada penghujung. Apa boleh dikata. Nasi dah jadi bubur.

Mak, hati mak baik sungguh. Mak redha dengan semua yang berlaku. Mak redha cinta suci mak, setia mak dikhianati angkara orang ketiga..Mak maafkan,mak halalkan kebahagiaan mak yang dikongsi dengan wanita yang sama jantina. Kasih sayang mak buat abah tiada bertepi.

Aku bongsu dalam rahim mak. Tapi dalam hidup abah, aku ada adik. Abah dapat anak dengan isteri barunya selang empat tahun kelahiran aku. Adikku lelaki.

Bila hari minggu, abah selalu bawa adikku bermain denganku. Bawa ke taman tasik. Beli ayam golek di pasaraya Fajar di Taiping. Walaupun aku tidak suka ibu tiriku, tapi aku suka bermain dengan anaknya.

Abah pergi jua. Usia aku 11 tahun ketika abah meninggal dunia. Aku terkenangkan saat-saat akhir abah. Dia kerap bawa aku berjalan di hujung minggu. Kami berdua saja. Mak memilih untuk tinggal di rumah sahaja. Abah nampaknya mahu luangkan lebih masa denganku dan adikku.

Dia bawa kami ke sungai. Ke laut. Ke taman-taman. Bila ke pantai, siaplah. Aku balik dengan kulit yang hitam berkilat. Tapi waktu itu masih kanak-kanak, aku tidak peduli semua itu. Yang penting gembira.

Abah datang ke sekolahku untuk tandatangan kad laporanku semasa aku darjah empat. Aku dapat nombor satu dalam darjah. Itulah kali terakhir abah datang sekolahku sebelum abah pergi tahun berikutnya. Aku tersenyum sendirian. Sekurang-kurangnya aku sempat banggakan abah bila aku naik ke pentas untuk terima sijil dan hadiah.

Aku peluk abah, dia cakap wah pandainya anak abah. Itu kenangan paling manis antara aku dan abah.

Aku menginjak dewasa tanpa kasih sayang dan perhatian seorang lelaki bernama abah. Meskipun hati seringkali dipagut pilu, aku percaya Allah tidak menguji andai aku tidak mampu.

Allah titipkan semangat buat aku supaya aku cekal dan tabah meniti hidup bersama ibu yang aku cintai. Aku cemerlang di alam persekolahan..Aku sambung belajar di luar negeri, berjauhan dengan mak bertahun lamanya. Balik jarang-jarang sekali. Saat itu aku cuma mampu berdoa.

Moga Allah jagakan jasad dan hati mak daripada disakiti. Selesai, aku pulang ke rumahku syurgaku. Aku cari kerja, kerja biasa sahaja. Aku jadi cashier di pasaraya. Tabah mengutip kepingan syiling di atas kaunter besi saat ada pelanggan yang kurang beradab lempar-lempar bila membayar.

Kerja biasa. Tak apa. Asalkan halal. Yang penting, setiap hari aku tidur bersama mak. Peluk tubuh dia, sambil gelakkan kucing kami yang ikut tidur di atas katil. Tidurnya buas, makan ruang kami banyak. Tapi tanpa dia kami rasa tak lena tidur kami. Kucing kami itu kakinya kudung sebelah. Dia istimewa.

Hati terusik juga kadang-kadang, saat pakcik dan makcik ku lancang bertanya. Eh tak mohon SPA ke? Membandingkan antara aku dan anak-anaknya yang bernasib baik.

Aku mohon, cuma rezeki tidak menyebelahi. Hairan juga, kenapa kerjayaku yang tidak seberapa ini dinilai bagaikan jenayah besar. Berdosakah aku tidak bekerja di sektor kerajaan? Aku tersenyum, kelat rasanya senyuman ini. Ya. Kerjaya aku tidak hebat. Tidak penting. Gaji pun bukan besar. Tapi itu bukan dosa. Sekurang-kurangnya aku berusaha mencari rezeki sendiri.

Aku ada cita-cita. Aku teringin nak jadi penulis. Tapi aku tidak tahu kemana mahu disalurkan karya aku..Aku ingin menginspirasikan orang lain dan buat orang lain bahagia. Aku berharap suatu hari nanti aku akan berjaya tutup mulut – mulut yang prihatin bertanya..

Di usia 20 tahun ini, aku cuma nak luangkan masa dengan mak sebanyak yang mungkin di usia senja dia. Aku nak hargai kewujudan dia sementara aku masih ada masa..

Aku baru dapat lesen kereta.. Aku yang tidak pernah diajar sesiapa memandu kereta, seperti adik beradik lain yang diajar oleh arwah abah. Tapi aku ke sekolah memandu sendiri. Terima kasih cikgu, yang tabah ajarkan aku memandu. Tangan aku yang keras berjaya dilenturkan. Aku teringin nak abah tahu aku dah pandai memandu. Tak lama lagi bila duit dah cukup aku nak beli kereta. Aku nak bawa mak travel..

Mungkin Allah hantarkan aku dalam rahim mak di lewat usia untuk jadi peneman waktu-waktu begini. Kalau aku tiada, siapa mahu temankan mak? Yang lain sudah berumah tangga. Kalau aku tiada, pilu rasanya membayangkan sakit pening mak terpaksa layankan sendiri. Ya.. Ada hikmahnya semua ini.

Andai admin sudi siarkan confession aku, aku harap kalian yang membaca peluk ibu bapa kalian. Kalau tak mampu, telefonlah. Sementara kita ada masa.

Hidup ini indah bila kita bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kekurangan itulah yang sebenarnya buat kita lebih cekal dan tabah.. Dan hargailah ibu bapa kita sementara mereka masih ada di dunia ini..Live every moments.

Untuk perempuan. Janganlah kalian sakiti hati perempuan lain.

Aku mohon maaf andai ada bahasaku yang kasar. Aku manusia biasa. Aku cuma cashier di pasaraya berusia 20 tahun.

Yang terdalam dari dasar hati aku.. Aku terlalu sayangkan mak dan abah. Aku terlalu rindukan abah. Moga tempat abah di syurga.

Sekian…

– Aqeelah Shafien

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *