Burung dalam sangkar. Terkurung, tersekat, tak mampu terbang bebas bagai rakan-rakan burung yang lain. Pagi, tengah hari, petang, malam dan kembali semula kitaran waktu yang sama di hari yang berbeza, dia masih di situ di dalam sangkar. Hanya matanya yang bebas memandang ke luar di celahan celahan sangkar, itu pun hanya terbatas pandangannya, hanya mampu melihat pemandangan di sekitarnya sahaja.
Itu lah yang dirasai oleh seorang anak yang dikongkong oleh ayah yang terlalu bersikap overthinking dan overprotective.
Umur si anak kian meningkat dewasa, kalau dahulu alasan si ayah yang enggan membenarkan anaknya pergi keluar dari rumah adalah kerana anak yang masih mentah, bahaya di luar rumah. Bahaya berjauhan dengan keluarga.
Kini, umur si anak sudah pun menghampiri pertengahan dua puluhan, masih tetap dikongkong.
Betul. Dalam zaman yang penuh dengan gejala sosial, penuh dengan kes jenayah memang ibu bapa perlu lebih memberi perhatian dan mengawal pergerakan anak-anak terutamanya anak-anak perempuan.
Namun, ada bezanya menjaga dan mengongkong. Kawal lah anak-anak, pantaulah anak-anak daripada berkawan dengan rakan-rakan yang membawa pengaruh negatif, kawal anak-anak daripada keluar melepak bergaul bebas beza jantina, pantaulah anak-anak daripada memakai pakaian yang mencolok mata, pantaulah anak-anak daripada bertik-tok, berkeke challenge, berpanama dance. Jagalah tentang solat fardhu anak-anak. Semua yang saya sebut ni adalah sebahagian daripada konsep memantau dan mengawal anak-anak.
Berbeza pula dengan mengongkong anak. Pada pendapat saya, mengongkong bermaksud, ibu bapa menghalang anak-anak daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak bercanggah dengan mana-mana undang dunia mahupun akhirat.
Sebagai contoh, saya sendiri berasa dikongkong oleh ayah saya sejak dari kecil sehinggalah sekarang, yang mana saya tidak lama lagi perlu tempuhi alam pekerjaan.
Keluarga saya adalah keluarga yang boleh dikatakan kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang. Bilangan adik-beradik yang ramai, sumber pendapatan ayah yang kecil, ibu pula suri rumah sepenuh masa menjaga kami, membuatkan kami hidup dalam serba kekurangan sejak dari kecil. Kereta merupakan suatu keperluan, namun keluarga kami tidak mampu untuk mempunyai kereta. Ayah dan kami berpanas, berhujan dengan motosikal dan basikal ke tempat kerja dan sekolah. Sehingga kini, ayah tak mempunyai kereta. Adik-beradik saya yang lain juga begitu. Kemelut kemiskinan terus melanda. Masing-masing dengan tahap pendidikan yang biasa-biasa dan pekerjaan yang biasa-biasa tidak memungkinkan kami mempunyai kereta.
Kenapa saya bercerita tentang kereta? Kerana tanpa kereta, tidak memungkinkan kami sekeluarga pergi berjalan kemana-mana bersama. Kesannya, sehingga sekarang, jalan-jalan di negeri sendiri pun saya tidak tahu arahnya.
Yang membuatkan saya berasa dikongkong apabila saya mahu keluar bersama kakak sendiri hanya ke pekan kecil pun ayah saya tidak membenarkan. Keadaan ini membuatkan saya bagai katak di bawah tempurung. Negeri lain usah cakaplah, kalau tempat sendiri pun tak dibenarkan apatah lagi berjalan ke negeri lain.
Ayah sangat mengongkong saya, sehinggakan dahulu, ketika saya mendapat tawaran sambung belajar di sebuah sekolah yang jauh sedikit dari rumah, beliau tidak mengizinkan saya pergi, yang pasti alasannya bukan kerana kesempitan wang, tetapi beliau memang tidak mahu saya jauh dari rumah.
Bab pelajaran, ayah jugak pernah menghalang saya daripada membuat pilihan saya sendiri ketika ingin menyambung pelajaran selepas spm.
Bukan benda yang mudah untuk belajar benda yang kita tak pandai dan tak minat.
Apabila dah habis pengajian di level tersebut, nak sambung level lain, saya nekad nak pilih tempat belajar luar dari negeri kelahiran, jauh daripada rumah. Saya berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tersebut. Gembira bukan main, itu lah perasaan saya sebab dapat jauh dari rumah, ibarat burung yang dah lama dikurung dalam sangkar, akhirnya dapat keluar terbang bebas tinggi ke udara.
Namun, sekali lagi mendapat tentangan dan rungutan daripada ayah saya. Beliau tidak senang duduk, dan persoalkan kenapa saya tidak memilih institusi pengajian yang terdekat di negeri sendiri.
Namun beliau tidak dapat menghalang, kalau tidak pergi sambung belajar sekarang, bila lagi saya akan dapat peluang sebegini bukan?
Maka, kini saya sedang menuntut di institusi pengajian yang jauh dari rumah. Dapat jugak saya keluar lebih jauh akhirnya. Namun beliau masih tetap mengongkong sehingga sekarang. Apabila cuti semester, saya tidak akan dibenarkan keluar dari rumah dengab sesenang hatinya. Dengan alasan, bahaya, kalau accident atau apa-apa terjadi, tiada duit. Kata beliau ramai uang accident putus tangan, putus kaki. Begitulah, setiap kali saya nak keluar dari rumah. Saya pernah berhajat nak keluar jalan menunggang motosikal tanpa memberitahunya terlebih dahulu, namun sering kali kata-katanya tentang accident itu bermain-main dalam fikiran, terngiang-ngiang di telinga. Saya takut, andai betul-betul terjadi apa yang diperkatakannya. Makanya saya kembali terkurung dalam sangkar kecil apabila tibanya cuti semester.
Ayah saya juga sering mengecilkan kebolehan diri saya dan adik-beradik yang lain. Beliau sering menjatuhkan semangat kami apabila kami ingin melakukan sesuatu perkara. Saya sendiri tidak faham kenapa beliau menjadi begitu. Saya juga sering dihalang daripada melakukan perkara lain atas alasan bahaya. Walaupun hakikatnya perkara itu hanyalah tentang kemahiran hidup,perkara normal yang dilakukan oleh manusia normal yang lain. Bahkan beliau juga sering menyindir course yang saya pelajari di institusi pengajian, dan membandingkan dengan kawan-kawan sekampung saya yang lain. Hakikatnya, dalam keluarga hanya saya satu-satunya yang menyambung pengajian di peringkat ini sekarang.
Halangan demi halangan, kongkongan demi kongkongan menyebabkan saya membesar tanpa keyakinan diri yang sepatutnya. Saya bahkan berasa janggal untuk bergaul seperti manusia normal yang lain. Sering tiada keyakinan untuk bercakap di hadapan khalayak, tidak selesa untuk bergaul dalam majlis keramaian, sering tiada topik untuk bercakap dan beramah mesra dengan rakan-rakan.
Ayah saya seorang ayah yang baik, namun sikapnya yang suka mengongkong membuatkan jauh di dalam sudut hati saya memberontak dengan cara beliau ingin menjaga saya.
Buat pengetahuan, ayah saya pernah kehilangan seorang anak perempuannya yang meninggal ketika berusia kanak-kanak dahulu. Pada pendapat saya, mungkin ini faktor yang membuatkan beliau menjadi sebegini.
Doakan saya terus bersabar, berjaya keluar dari sangkar dan dapat membina keyakinan diri demi kebaikan masa hadapan saya.
Terima kasih kerana sudi membaca.
Daripada burung dalam sangkar.
– Burung
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit