Masih Terbukakah Pintu Taubat

Aku seorang perempuan berusia 28 tahun, berkerjaya, dan masih belum berkahwin.

Aku perlukan satu medium untuk meluahkan apa yang terjadi kepada diri aku. siapa yang ingin memaki aku, silakan. Selayaknya aku dilayan sebegitu.

Aku dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Diberikan didikan agama dan pelajaran yang cukup sempurna oleh kedua ibu bapa aku. diberikan perhatian yang cukup oleh ahli keluarga. Sehingga ada dari rakan-rakan aku yang sangat mencemburui kebahagiaan aku bersama keluargaku.

Namun dengan kasih sayang melimpah ruah yang aku dapat telah menyebabkan aku lupa diri dan terpesong jauh dari norma seorang insan. Aku berkenalan dengan seseorang lelaki di Wechat (benar kata orang wechat tu pembawa bencana) pada tahun lepas. Dia merupakan suami orang. Pada mulanya aku dan dia hanya berkawan. Hanya kawan biasa. Melepaskan perasaan bosan. Namun makin lama perhubungan kami menjadi semakin rapat.

Seringkali aku menceritakan masalah aku kepadanya kerana dia seorang pendengar dan pemberi nasihat yang sangat baik. Dia terlalu baik pada waktu itu sehinggakan aku tertarik dan melupakan statusnya sebagai suami orang. Makin lama hubungan kami semakin rapat. Waktu kerjanya yang shift menyebabkan kami makin mudah untuk berjumpa. Dan biasanya kami akan berjumpa pada waktu malam. Katanya lebih senang dan selamat.

Pada satu malam ketika aku berjumpa dengannya, dia cuba untuk melakukan sesuatu yang tidak baik pada aku. pada waktu itu, aku dapat menolak perbuatannya. Aku selamat dan selepas itu aku cuba menjauhkan diri daripadanya. Namun dengan gayanya dan penuh bersungguh-sungguh dia memohon maaf kepada aku dan memujuk aku supaya jangan meninggalkan dia. Makin lama aku semakin termakan pujukannya sehinggakan aku kembali keluar pada waktu tengah malam dengannya. Kalau dia kerja shift malam, itulah saat yang paling best untuk aku dan dia.

Kami akan keluar bersembang sehingga pukul 3 atau 4 pagi. biasanya bercerita berkenaan masalah aku. dia bijak memainkan peranan. Mula-mula kami hanya bercerita tanpa bersentuhan. Semakin lama sudah mula berpegang tangan. Dengan pujuk rayu dari dia akhirnya kami terlanjur. Aku membenarkan dia menyentuh aku. dengan rela. Kami mula ketagih sehinggakan dalam seminggu berkali-kali kami akan berjumpa dan melakukan perbuatan terkutuk itu. aku juga makin ketagih dengan maksiat yang kami lakukan. Seringkali aku meminta untuk berjumpa dengannya.

Apabila sering melakukan perbuatan terkutuk tersebut, dia mula berasa bosan dengan aku. dia mula menjarakkan diri dari aku. makin lama makin jauh. alasannya penat bekerja. Aku menjadi semakin tidak keruan disebabkan ketagihan untuk melakukan perbuatan hina tersebut. Bila tidak berjumpa atau dia tidak menghubungi aku, aku menjadi semakin hilang arah. Aku stress sehingga tidak boleh melakukan kerja. Aku berubah menjadi seorang yang pemarah dan lebih suka menyendiri.

Aku akan ugut untuk memberitahu isterinya akan hal ini. Dan dia akan datang berjumpa dengan aku dalam keadaan terpaksa. Dan kami akan melakukan perbuatan terkutuk itu lagi. Aku pernah cuba memberitahu isterinya tentang apa yang kami lakukan tetapi isterinya masih mempercayai suami dan mengatakan aku sebagai perosak rumah tangga yang telah dibina. Yang lebih teruk lagi, apabila isterinya menunjukkan kebahagiaan mereka sekeluarga, aku akan menjadi cemburu dan terus menghubungi dia. Dan bila dia tidak melayan setiap panggilan aku, aku akan cuba untuk mengugutnya.

Pernah juga aku bertaubat untuk tidak melakukan hal ini lagi, tapi bila aku menghilangkan diri dia pula yang akan datang mencari aku. sehinggakan taubat aku menjadi sia-sia. aku cuba untuk berubah tapi hati aku tidak cukup kuat untuk itu. Aku terlalu mengikut bisikan syaitan sehingga ke hari ini. Kami masih lagi melakukan perbuatan keji itu.

Kini aku menjadi sangat-sangat tertekan. Sehinggakan berkali-kali aku pernah tebayang untuk membunuh diri. Aku tertekan. Aku merasakan yang tiada lagi sinar bahagia untuk aku. kini aku berfikir, masih ada lagikah orang yang mahu perempuan kotor seperti aku? masih ada lagikah sinar bahagia untuk aku? masih terbuka lagikah pintu taubat untuk aku? aku ingin berubah. Aku ingin merasa bahagia seperti orang lain. Sampai bila harus aku jadi begini? Aku tak cukup kuat untuk itu. aku perlukan bantuan.

– Nur

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *