Aku Takut Balasan Tuhan Pada Suamiku

Assalamualaikum..

Sungguh aku tak punya sesiapa untuk meluah rasa. Aku seorang diri melalui semuanya sepanjang kehidupan ini. Aku takut meluah pada orang yang aku kenali, takut menjatuhkan maruah diri sendiri dan juga suami.

Aku seorang wanita yang berumur 30-an. Mempunyai kerjaya yang berpendapatan RM7k sebulan. Baru memulakan hidup baru selepas berpindah ke sebuah daerah baru selepas mendapat pekerjaan. Sebenarnya suami aku sudah lebih dari setahun tidak bekerja. Dia berhenti kerja bulan May 2017 selepas mempunyai masalah kesihatan pada ketika itu.

Malangnya selepas itu jenuh dia berusaha mencari pekerjaan namun dugaan Allah buat dia, tiada langsung dipanggil untuk ditemuduga. Serendah-rendah jawatan juga tiada yang sangkut. Maka aku lah yang menjadi ketua keluarga, menanggung kami dari tahun lepas sehingga kini.

Sejak berpindah ke daerah baru ini, suami membantu keluarga nya mengusahakan aktiviti pertanian. Namun tetap tiada pendapatan. Tiada nafkah buat aku. Semuanya masih dalam tanggungan aku isterinya. Aku bersuara meminta dia bertanyakan kepada keluarganya bagaimana dengan upah kerana dia seorang suami, nafkah buat aku sebagai isteri tetap perlu dilaksanakan, namun dia hanya membisu.

Sungguh aku sangat tertekan, aku takut balasan Allah pada dia kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dari segi nafkah. Aku lah membayar sewa rumah, bil-bil, makan minum dan semuanya. Lama benar aku tak merasa diberikan duit untuk makan. Aku rela menolong dia menambah apa yang kurang, bukannya menjadi tanggungjawab utama aku menanggung keluarga kami. Aku selalu mengingatkan dia untuk mencari pekerjaan lain kerana aku takut balasan Allah pada dia. Namun dia tetap menyepi, dia lebih bersungguh untuk bekerja dengan keluarganya, namun sampai bila jika tiada upah yang diberikan.

Dia lelaki baik. Tak pernah naik tangan. Bukan kaki perempuan. Tidak merokok. Membantu semua kerja rumah. Dia sempurna dari aspek itu semua, kerana itu aku tak mahu dia mendapat balasan Allah atas kekhilafan mengabaikan nafkah buat aku.

Sungguh aku tak punya tempat mengadu. Keluarga dia tidak pernah tahu tentang dia menganggur sejak bulan May 2017. Aku tutup rapat semuanya, aku simpan dalam lipatan hati. Namun akhirnya aku yang terluka.

Allah murahkan rezeki aku, aku mudah dapat kerja, aku punya tahap pendidikan yang paling tinggi di dunia. Namun Allah menguji aku dengan ujian ini. Kadang pernah terlintas untuk pergi meninggalkan perkahwinan ini. Tidak adil pada aku seorang wanita harus menanggung semuanya. Tapi sungguh aku menyintai dia, menyayangi suami yang aku kahwini lebih dari 15 tahun yang lalu.

Aku hanya ingin meluah, aku tak punya sesiapa di daerah terasing ini.

– Yanie

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *