7 Tahun Perkahwinan Tanpa Anak II

Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai pembaca Semua. Terima kasih admin kerana menyiarkan confession saya yang mungkin hanya orang yang pernah mengalaminya sahaja faham. Yang tak faham tu mungkin akan faham suatu hari. Saya siarkan di sini agak pembaca diluar sana lebih tahu realiti orang yang sedang berusaha nak mendapatkan anak atau trying to conceive (TTC). Jagalah kata-kata anda dan berhikmah jugalah dalam memberi nasihat.

Saya mohon ampun maaf kalau ada kata-kata yang membuatkan rasa jengkel atau tak setuju dengan saya. Saya langsung tak ambil hati. Maksud sebenar saya kongsi kebahagian saya dengan rezeki yang Allah dah kurniakan ni adalah kerana saya sebenarnya baru sahaja melalui fasa depressi paling teruk dalam hidup dan perkahwinan saya beberapa bulan yang lalu yang membuatkan saya lebih redha dengan ketentuan Allah. Tapi itu cerita lain. Alhamdulillah saya dah pulih dan makin bahagia dengan suami. Dalam kesedihan belum ada zuriat, saya memilih untuk berfikir positif dan bersyukur dengan kehidupan saya sekarang.

Wahai pembaca sekalian, siapa yang berkahwin tak nak anak? Mungkin ada segelintir tapi sesuggguhnya kami nak anak. Perasaan takut tu hanyalah kerisauan saya dengan segala benda negatif yang berlaku dalam masyarakat kita. Salah ke saya risau dan takut kalau tak dapat lindungi dan didik bakal anak saya? Sama juga saya risaukan anak-anak buah saya, anak-anak anda semua. Korang tak risau ke??? Saya akan menangis teresak-esak tiap kali baca berita mengenai bayi meninggal dalam kandungan, dibuang, anak-anak didera, yang mati dalam peperangan. Macam Salmon kata dalam confession beliau, hati mana tak tersentuh lagi bingung orang lain senang-senang je boleh mengandung lebih-lebih lagi yang luar nikah lepas tu senang-senang buang? Lagi sedih bila ada yang boleh tanya “Bila nak ada anak?” tiap kali jumpa walaupun dengan nada bergurau. Macam boleh order kat Lazada je pulak dah anak tu. Hanya senyuman je kami mampu beri walaupun terguris perasaan.

Usaha untuk mendapatkan anak macam-macam ceritanya. Bukan duit je boleh jadi penghalang, masa dan trauma juga. Kalau yang ada masalah kesihatan kena pulihkan diri dulu. Walaupun kami berdua sihat dah tak ada masalah. sakit kena periksa (muncung itik paling seram), cucuk dan makan ubat segala tu siapa nak lalui tiap2 bulan? Yang cara tradisional pulak telan herba-herbi dan susu kambing pelbagai korang ingat sedap ke nak minum hari-hari? IUI pun kami dah cuba. Lepas tu sedih bila period datang. Ada masa kita nak rehat dari berharap.

Jadilah proses TTC tu bertahun-tahun lamanya. Untuk IVF kena bersedia mental, fizikal dan duit. Yang tak tahu IVF tu apa dalam bahasa melayunya anak tabung uji. Telur ovum akan diambil dari ovari isteri secara pembedahan dan disenyawakan dalm makmal dengan sperma suami. Bila dah berjaya senyawa, embrio tersebut dimasukkan balik dalam rahim isteri. Badan kena sihat untuk lalui proses tersebut. Poket lebih-lebih lagi kena sihat. Kosnya memakan 20k-40k satu cycle. Hospital kerajaan pun boleh memakan beribu-ribu ringgit kerana selalunya ubat tak ditanggung. Kena datang ke hospital dengan kerap untuk rawatan. Bukan senang petik jari je saya nak buat IVF esok terus boleh buat procedure. Masa kena rancang, banyak cuti yang perlu diambil.

Emosi kena stabil. Suami kena bagi sokongan dan kerjasama. Hanya 29% sahaja yang berjaya mengandung melalui IVF untuk wanita berumur bawah 35 tahun. Kalau lagi meningkat umur lagi tipis harapan. Kalau tak berjaya kena lalui proses yang sama lagi. Fahamkanlah bahawa IVF ni selalunya memang ikhtiar terakhir uuntuk TTC. Kalau salah tolong betulkan sebab ni hanya dari pembacaan saya, belum ada pengalaman. Ada juga yang cadangkan ambil anak angkat. InsyaAllah kalau kami selayaknya memang dalam pertimbangan. Nak fokus satu-satu.

Akhir kata, terima kasih banyak-banyak kepada commentors yang banyak memberi kata semangat dan mendoakan kami. Yang sedang berTTC atau exTTC terima kasih sebab sudi kongsi pengalaman. Saya sedar, sesusah-susah dugaan saya, kena sentiasa ingat yang ada orang lain lagi yang mengalami masalah yang lebih berat. Moga kita berpeluang untuk menimang cahaya mata sendiri suatu hari nanti dengan izin-Nya. Sayang korang ketat-ketat! Juga pada yang masih single dan belum bertemu jodoh. Semoga bertemu jodoh yang baik-baik dan zuriat yang soleh dan solehah.

Yang dengki kata nanti suami nak cari lain atau tetiba dapat madu tu, tolong lah buka minda sikit. Saya nak kongsikan kata-kata Habib Zaenal “Allah swt ketika menceritakan tentang zuriat, Allah sebutkan sebagai hibah atau anugerah iaitu pemberian kepada orang yang tak layak untuk diberi. Hak pula ialah pemberian kepada orang yang berhak untuk mendapat” Banyak lagi pengisian dalam ceramah beliau boleh tengok sendiri seperti yang dikongsikan oleh salah commentor dalam confession asal saya. Saya dengar ceramah beliau beberapa bulan lalu. Saya lebih tenang selepas mendengar kata-kata Habib, dan membantu saya untuk lebih redha dengan takdir. Semoga perkongsian saya dapat membantu anda memahami hati-hati kami yang kesunyian tanpa anak ini. Sekian.

– Anonymous

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *