Assalamualaikum semua dan selamat berkenalan. Saya Tasya,20. Saya seorang penuntut di sebuah universiti di pantai timur. Okey,tujuan saya menulis confession ini adalah untuk menceritakan tentang emak kesayangan dunia akhirat saya.
Harap pembaca sudilah kiranya membaca confession budak mentah yang baru berusia dua dekad ini. Saya membesar sebagai anak bongsu yang agak kuat memberontak apabila hajat saya tidak dipenuhi. Kata-kata saya banyak melukakan hati mak dan abah. Kepentingan kawan-kawan saya lebihkan berbanding keluarga sendiri lantaran keluarga saya sedikit bermasalah.
Jadinya, saya berasa hanya kawan-kawanlah dunia saya dan mampu membahagiakan saya.
Sejak tingkatan satu hingga lima, saya tinggal di asrama. Tinggal berjauhan daripada keluarga menjadikan saya seorang yang kuat dan agak degil. Saya bebas membuat keputusan sendiri tanpa kongkongan keluarga.
Menjejak usia 19 tahun, saya menyambung pelajaran ke universiti. Di sinilah saya baru menyedari silap dan khilaf saya. Semakin meningkat dewasa, saya semakin banyak berfikir tentang ‘hikmah’ kehidupan. Saya banyak muhasabah kesilapan di zaman remaja saya. Saya lupa dan alpa dalam menyantuni mak dan abah. Saya menyedari kadang-kadang hidup saya tidak tenang, susah memahami pelajaran dan terasa sukar dalam urusan kehidupan seharian. Hal ini kerana saya tidak melayani mak abah dengan sebaiknya sebagaimana yang digariskan oleh syariat.
Sejak itu, saya cuba mengubah sikap saya. Saya kawal perasaan marah saya. Saya kawal lidah saya. Saya tak nak menyakiti hati mak dan abah lagi. Alhamdulillah, lama-kelamaan saya sudah mampu mengawal rasa nak memberontak dan perasaan marah saya.
Ya, saya mengaku kadang-kadang mak juga melakukan kesilapan. Ada kalanya, kata-katanya mengguris hati saya. Ada perbuatannya buatkan saya kecil hati. Tapi, saya sabar dan tak membalas kata-kata mak yang menyakitkan hati saya. Saya bimbang akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Pada saya, biarlah saya menahan rasa kerana saya hormat kedudukan mak sebagai seorang ibu yang lebih tinggi dan mulia daripada kedudukan seorang anak seperti saya. Mungkin juga, inilah perasaan emak dahulu apabila saya melukai hatinya.
Saya juga sedar, sabar ini banyak hikmahnya. Kalau saya tidak sabar, pasti saya akan selalu bermasam muka dengan emak.
Lebih parah lagi, saya bimbang mak tak redha akan saya. Bukankah redha Allah terletak pada redha mak dan abah? Cukuplah saya melayari zaman remaja sebagai anak yang kurang adab. Saya tak mahu mengulanginya setelah diberi hidayah. Cukuplah cinta dan kasih sayang sepenuh hati untuk saya lahirkan buat mereka di hari mendatang ini.
Duhai anak, santunilah mak dan abah. Mungkin sikap dan layanan mereka buruk, tetaplah sabar dalam mendoakan kebaikan buat mereka. Jagalah lisan dan tingkahmu agar tidak menyakiti mereka. Ingatlah, berkata ‘uhh’ pun tidak boleh, apatah lagi meninggikan suara kepada mereka.
Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf andai ada silap dan salah dan tegurlah saya yang kurang pengalaman ini.
– Tasya
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit