Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih andai luahan ini disiarkan. Luahan ini sekadar coretanku untuk menggambarkan isi hati ini.
Izinkan saya memperkenalkan diri. Saya seorang perempuan, berusia 20an, masih belajar dan mempunyai dua mak dan dua ayah. Saya mempunyai adik beradik yang ramai melebihi 5 (ada yang mak berlainan, bilangan dirahsiakan supaya tiada yang mengenali). Iye saya anak dari keluarga yang bercerai. Mak saya bermadu dulu sebelum bercerai dan setelah beberapa tahun baru berkahwin baru. Sekarang ini saya bergilir-gilir tinggal bersama dua keluarga saya.
Buat tuan puan yang bergelar bapa dan ibu,
saya terfikir untuk menulis luahan ini kerana sebak di hati ini tak mampu diluahkan pada sesiapa kerna tiada yang memahami. Dengan rendah hatinya saya ingin memohon pada semua ibubapa terutama yang telah hidup bersama lama. Tolong fikirkan anak-anak sebelum cuba untuk musnahkan rumahtangga sendiri. Tanpa tuan puan sedar, perkara ini telah menyakiti anak-anak tuan puan dalam diam malah mampu membunuh jiwa mereka.
Tuan puan ingin tahu macam mana keadaan kami, anak dari keluarga yang bercerai-berai dan berterabur?
Sejujurnya saya terseksa. meskipun saya ada dua keluarga namun saya tak rasa saya dimiliki oleh mana-mana keluarga. saya merasakan ibu dan ayah saya hanya bahagia bersama keluarga kecil mereka. Perasaan ini buat saya kuat dan lemah pada masa yang sama. Saya kuat kerana saya susah untuk rindukan keluarga saya. Secara ringkasnya saya tak pernah rasa homesick. Saya tak pandai nak bertanya khabar ayah saya. Saya menjadi seorang yang jiwanya kental. Saya hanya lemah kerana saya mudah tersentuh dengan isu kekeluargaan seperti suami curang, isteri curang, keluarga bercerai dll. Terlalu banyak kisah saya jika ingin diceritakan.
Tuan,
Sebelum tuan ingin berkahwin lain, tuan fikirkan dahulu mampukah tuan bersikap adil terhadap isteri-isteri dan anak-anak nanti. Jangan kerana terlalu sayangkan isteri kedua sehingga anak isteri terabai. Kerana saya dahulunya terbiasa tanpa seorang bapa yang waktu itu terlalu pentingkan isteri mudanya.
Puan,
Jangan terlalu fikirkan anak sehingga mengabaikan perasaan sendiri sehingga sanggup menahan perit pedihnya dunia ini.,Ibu saya dahulunya sanggup bertahan bertahun-tahun hanya kerana memikirkan kami adik beradik akan kehilangan kasih sayang seorang ayah. Namun akhirnya ikatan itu terputus jua. dan sampai ke hari ini saya bersyukur dengan nikmat ini yang Allah berikan disebalik dugaan yang dihadapi. Hal ini kerana saya tak sanggup mendengar kesedihan yang terpaksa ibu saya tanggung seorang diri.
Tuan puan,
Terlalu banyak negatif yang saya lihat berbanding positif pada anak-anak yang ibubapanya bercerai. Selagi mampu, berusaha la demi anak-anak agar mereka tidak merasa kesakitan yang saya alami. Meskipun sudah lebih 10 tahun berlaku, kepedihan dan kesedihan ini masih tersembunyi disebalik senyuman ini. Saya percaya selain takdir ia juga satu pilihan pada permulaanya. Samada untuk berubah atau tidak.
Buat kalian yang sama situasinya dengan saya, alhamdulillah bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk diberikan ujian ini. Tidak semua orang mampu untuk merasai apa yang kita rasa. Tiada siapa juga yang ingin merasai apa yang kita rasa. Kuatkan lah hati dan terima dengan hati terbuka. Mungkin tiada yang memahami kita tetapi Allah sentiasa ada untuk kita mengadu.
Saya memohon maaf andai luahan saya ada mengguris hati sesiapa namun luahan ini berdasarkan pengalaman hidup saya sahaja. Kata akhir, Allah tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuannya.
Terima kasih.
– Zahra
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit