Lantaran confession aku yang lepas, aku dah teliti satu-satu komen.
Terima kasih kepada yang memberi semangat, yang memberi kata-kata perangsang, terima kasih sangat. Sungguh aku terharu sampai menitis air mata, lagi bila para ibu-ibu yang memberi nasihat dan semangat, terasa diri ni dihargai sangat sedangkan ibu saya tak pernah cakap seperti itu kepada saya, saya baca komen dengan penuh rasa sebak. Terima kasih saya sangat hargai.
Kepada yang bertanya adakah ibu aku tak mahu cucu? Yes, aku rasa ibu aku ada perasaan itu cuma mungkin dia pun belum bersedia untuk lepaskan aku bernikah.
Ada yang tanya, macam mana kalau aku sakit adakah ibu aku akan melayan aku sama seperti ini atau sebaliknya. Untuk pengetahuan semua, ibu aku pun sakit dan perlu makan ubat dari doktor setiap hari. Dia penghidap kencing manis dan darah tinggi. Percaya tak kalau aku sakit ibu tak pernah tahu? Pernah aku masuk hospital 2 hari, pitam di tempat kerja kerana demam panas. Mungkin kerana aku terlalu letih, bos aku hantar ke hospital dan aku sendiri disana tanpa bagitahu ibu. Biarlah aku sakit takpa asalkan ibu tidak risau. Biar aku sakit asalkan ibu tidak sakit.
Ibu aku kejam, ibu aku pentingkan diri? Ya. Kadang kala aku fikir benda yang sama. Kenapa ibu aku mengetepikan hak aku, tidak fikir perasaan aku sama sekali sedangkan aku selalu mengutamakan dia. Ya, banyak perkara yang aku dah berkecil hati. Tapi kerana dia seorang ibu dan aku seorang anak diam adalah jalan yang terbaik daripada melukakan hati ibu.
Ada yang suruh aku sepakat dengan makcik-makcik yang lain dan luahkan pada makcik-makcik saya? Tidak. Aku tidak akan bercerita kisah ibu aku dan kelemahan dia sekalipun. Saya kenal makcik-makcik aku dan mereka semua bukanlah orang yang boleh saya percaya. Boleh jadi, akan datang mereka menjaja cerita yang lain pula. Percaya tak kalau aku katakan ibu aku punca mereka memandang serong terhadap aku sampai aku malu dengan makcik-makcik aku sendiri?
Ya, Masa aku berumur 14 tahun, masa tu aku ada kawan2 sama asrama aku ada kawan lelaki juga, tapi ibu beranggapan bahawa aku perempuan gatal dan miang bila dia terbaca salah satu surat dari kawan lelaki aku yang sukakan aku masa tu. Habis ibu jaja cerita aku depan makcik aku bahawa aku dah mula nak cari boyfriend, tak sedar diri orang susah, macam perempuan sundal dan sebagainya depan makcik aku sendiri sehingga aku rasa malu .
Waktu aku tingkatan 5 makcik-makcik aku selalu sindir aku, yang paling aku tak tahan nak dengar “alah, kau dah habis spm kahwin jela gendong anak, tak payah lah nak sambung belajar ke nak buatkan mak kau rumah ke kalau dah miang”. Sedangkan aku bersusah payah cari duit kerja sana-sini dengan bersekolah lagi. Mungkin aku ramai kawan, jadi mereka fikir aku gadis sosial.
Yang masih aku terasa kecewa hingga ke hari ni ialah masa aku nak masuk universiti. Mak aku berhutang dengan makcik aku atas nama aku sebanyak 4k sedangkan yuran pengajian aku cuma tak cukup 1k. Ya, ibu bagi aku 1k dan selebihnya aku tambah. 3k untuk bisnes katanya. Ok lah, aku pun diam saja. Setiap sem aku tak putus bagi ibu duit belanja dengan duit untuk dia bayar hutang makcik aku. Sampai masuk tahun kedua, makcik aku menelefon aku minta aku bayar balik hutang dengan segera sedangkan aku masih belajar. Aku tanya dia berapa lagi aku kena bayar, yang buat aku kecewa satu sen pun ibu aku tak bayar walhal aku dah prepare every sem.
Makcik aku siap maki hamun aku kata aku anak tak bersyukur , mak susah tapi hidup mewah-mewah katanya. Ya Allah, aku pergi naik kapal terbang sana sini universiti aku tanggung siap elaun kerana mewakili universiti. Bukan aku mewah pakai duit aku, tapi mereka salah tafsir. Lagi ibu selalu mengadu pada mereka tidak cukup duit dan ibu selalu cakap pada mereka aku minta duit sedangkan aku tidak minta pun . Aku tahu ibu pinjam sana, sini atas nama aku tapi ibu sendiri yang guna duit itu.
Mujur aku ada adik yang faham aku jadi kami sepakat untuk bayar tanpa pengetahuan ibu. Kami guna duit belajar dan belanja kami di universiti untuk bayar hutang makcik aku .
Lebih mengecewakan lepas aku bank in dan aku inform makcik aku yang aku dah bayar, nak tahu makcik aku cakap apa? “Kerja apa kau buat dapat duit banyak ni? Buat kerja gelap ke?” Tuhan je yang tahu perasaan aku masa tu, hati aku hancur, sakit marah yang aku tak tahu nak tuju pada siapa.Kisah ni hampir semua makcik aku tahu. Maruah aku ibarat di pijak-pijak ,sakit untuk aku kenang.
Sehingga kini meskipun aku sayang ibu, tapi rasa percaya aku pada ibu dah tiada dan tiada siapa yang boleh aku percaya didunia ini.Jadi aku pendam. Bila aku kenang balik, aku tak tahu kenapa aku rasa sakit yang amat. Aku sedih, kecewa dan rasa dikhianati oleh ibu. Tapi aku diam, aku tidak mahu pertikaikan itu kepada ibu.
Aku masih ada adik-adik yang sentiasa beri semangat. Ya, adik akubsendiri cakap bahawa aku idolanya. Dia mahu jadi seperti aku katanya. Mungkin dia selalu nampak susah payah aku yang saya tanggung sendiri dan dia sangat menghargai aku. Bila ada masa aku berkecil hati dengan sikap ibu, adik aku sendiri cakap “sabarlah long, ibu memang macam tu, dia selalu remehkan tentang hal anak-anak, takpa aku ada”. Sungguh aku sebak.
Pernah sekali adik aku jatuh sakit, masa tu aku dirumah. Kebetulan aku belum gaji dan memang tinggal RM 20 sahaja kat tangan. Pagi-pagi adik aku mengadu sakit perut sangat. So aku suruh jiran aku bawa ke hospital. Ibu kata ibu takda duit, aku tanya ibu RM 50 je ibu nanti saya ganti. Tapi ibu berkeras kata tiada. Terpaksa aku hantar adik, lepastu aku keluarkan asb aku. Mujur aku ada simpanan. Yang buat aku rasa sedih dan kecewa pagi tu aku on fb aku tengok kawan ibu tag ibu rupanya ibu pun keluar dengan kawan-kawan riadah dia sambut hari jadi belanja kawan-kawan dia makan. Hari tu hari jadi ibu, ibu ada duit untuk belanja kawan-kawan dia makan pagi tu sedangkan aku dengan adik? Ya Allah. Menangis aku sepanjang di hospital. Mujur adik aku tak serius cuma hampir kena batu karang saja.
Bila aku fikir sedih dan kecewanya aku dengan ibu, aku teringat balik adik-adik aku. Adik-adik aku lagi terasa. Tapi akulah yang memberi semangat kepada mereka. Alhamdullillah sekarang adik-adik semua dah berjaya, semua dah kerja. Belum konvo pun dah dapat kerja bagus dan kami tak pernah lupa dan mengabaikan ibu.
Cerita aku ini, bukan aku untuk minta simpati atau membuka aib. Ini sebagai pengajaran kepada mereka yang bergelar anak dan ibu. Untuk para ibu, anak tak perlukan apa-apa selain dari kasih sayang, pegang jiwa dan hati anak-anak supaya anak rasa disayangi dan bahagia. Untuk yang bergelar anak, siapa pun ibu kamu, sejahat mana ibu, sezalim mana ibu, seteruk mana layanan terhadap kamu dia tetap ibu kandung kamu yang melahirkan kamu. Tetap lah taat pada nya, tetaplah menjaga hati nya, tetaplah menyanjunginya akan ada satu masa Allah balas segala jasa baik dan sakit perit kita dengan cara yang lain . Kerana kamu masih punya ibu, maka bersyukurlah.
Tentang jodoh aku, aku tahu Allah sebaik baik perancang, mungkin satu masa aku akan kecapi bahagia aku sendiri . Percaya tak bila aku sedih dengan sikap ibu, aku berdoa kepada tuhan supaya ambil nyawa aku sekiranya itu jalan untuk buat ibu rasa insaf dan berubah supaya lebih menghargai anak-anak . Bila aku rasa sedih dan kecewa dengan ibu, aku akan beristighfar banyak-banyak supaya aku rasa tenang dan lebih positif.
Apa yang aku harapkan supaya Allah beri petunjuk kepada ibu, aku harap ibu sentiasa redha dengan aku, tidak bersangka buruk terhadap aku dan menghargai aku sebagai seorang anak . Doakan yang baik-baik untuk aku, mungkin ini ujian aku tapi syukur alhamdullillah Allah mudahkan urusan aku yang lain sehingga aku berjaya sekarang. Dalam hati ini tiada sedikit pun rasa ikhlas saya terhadap ibu berkurang malah aku rasa bersyukur dengan kehidupan aku sekarang.
Akhir kata, semoga kita semua sentiasa redha dengan ketentuan Allah, jangan putus asa dengan hidup, dan semoga peroleh kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat insyaAllah.
– Nur
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit