Salam admin dan warga IIUMC sekalian. Kenalkan nama saya Nad, berusia menginjak 30-an dan merupakan seorang ibu. Siapa antara korang yang merupakan lone-ranger sini? Sepp sikit.
Anak saya bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi. Kerana itu, luka di dada ini berdarah kembali. Seingat saya, memang sejak saya masuk sekolah lagi, semua orang tidak sukakan saya. Puas, cukup puas, selama 10 tahun bersekolah saya cari, saya gali, saya korek. Di mana silap saya kawan? Kenapa semua orang tidak mahu berkawan dengan saya?
Masuk darjah satu saya cuba berkawan. Namun, satu demi satu kawan saya menjauh. Ya, di sekolah rendah saya memang cukup selekeh. Tudung senget benget, kasut hitam. Ibubapa saya? Mereka ada lebih banyak masalah untuk difikirkan. Adik beradik saya ramai. 11 orang. Kadang2 saya ke sekolah pakai selipar kerana kekangan ekonomi. Saya cukup selekeh, tiada orang mahu berkawan dengan saya.
Masuk sekolah menengah dan alam remaja yang semakin mengelirukan. Timbul perasaan cukup kuat untuk berkawan. Sense of belonging kata orang. Saya berkawan dengan Mira, Tini dan Aisyah. Namun, minggu depan, Mira Tini dan Aisyah sudah memulaukan saya. Sehingga kini, mereka bersahabat baik. Bachelorette party, bridal shower, sekali sekala outing. Saya? Kahwin asal ada suami. Bridesmaid? Memang tiada. Kerana saya tiada kawan.
Sekolah menengah lagi. Saya tidak faham sebenarnya. Kenapa setiap kali saya berkawan dengan sekumpulan manusia, mereka akan berkawan sesama mereka, berkumpulan, dan meminggirkan saya. Sungguh sehingga kini saya tidak jumpa jawapannya. Saya jadi orang lain, jadi diri sendiri, menjadi hamba untuk mereka, menyayangi mereka, tapi tetap, kosong. Saya tidak memiliki kumpulan. Pelbagai cara saya cuba, Saya laburkan wang, beri mereka hadiah, belanja mereka makan. Namun, semua masih tidak cukup.
Semua ini berlanjutan sehingga saya masuk universiti. Mereka ada banyak geng. Geng tingkap, geng bilik, (sudah tentu saya bukan dalam geng ini, walaupun saya sebilik dengan mereka). Geng A, geng B, geng C. Semua berkawan dengan saya, namun tidak cukup untuk saya memecahkan tembok kumpulan mereka. Saya cuba mendalami minat mereka, mencari mereka yang mempunyai minat sama dengan saya, tapi hampa. Masih. Saya sendiri.
Tipu, kalau saya tidak menangis. Malam-malam, teman serumah saya akan keluar bersama bila mereka sangka saya tidur. Jujur, saya mencari juga mana titik kelemahan saya. Saya tidak jumpa. Saya sama juga seperti yang lain. Mengapa terlalu sukar saya berkawan?
Memang kini, saya sudah mula menerima hakikat itu, sementelah saya pun telah berkahwin. Ada juga rasa pedih di dada, bila kadang2, mereka mesej saya. Saya fikir mereka mahu ajak keluar makan, rupa rupanya mahu jual insurans. Hahahaha. Sungguh hina saya di mata mereka. Hanya sekadar prospek.
Itu sahaja luahan saya yang perit ini. Tak dapat saya bayangkan, suatu hari nanti anak saya menerima tekanan sebegitu rupa. Berat , ya Tuhan. Terlalu berat.
– Nad
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit