Malang atau Ujian

Terima kasih menyiarkan confession aku.

Aku hidup macam dalam drama. Sebab aku rasa aku selalu diuji. Aku dalam keadaan yang tertekan di mana aku mula mempersoalkan setiap benda buruk yang terjadi pada aku. Ujian dari Allah SWT tapi, aku rasa ini malang yang bertimpa-timpa.

Seingat aku, aku mendapat ujian tidak putus-putus sejak dari kecil. Aku inginkan para pembaca memberi aku nasihat yang positif supaya aku bersangka baik dengan Allah SWT.

1. Ketika aku sekolah rendah, keluarga aku dilanda masalah. Ayah aku didapati mengidap penyakit jiwa yang memerlukan rawatan. Ini rentetan daripada, ayah aku tidak tidur malam dan juga mengalami halusinasi. Sepanjang tempoh sebelum rawatan, ayah aku memukul ibu kami di hadapan adik-beradik. Kesian ibu. Kami cuba menhalang, tetapi tidak berjaya.

Akhirnya, kami menangis bersama-sama setiap kali peristiwa itu berlaku. Kini ayah aku telah tiada. Sebelum dia pergi, ayah berjaya mendapatkan rawatan sewajarnya, tiada lagi adegan pukul memukul di hadapan kami. Tetapi peristiwa pahit itu berlaku selama 5 tahun sebelum dia betul-betul dapat mengawal perlakuannya.

2. Ketika aku bersekolah menengah, aku mendapat penyakit kulit yang teruk. Aku mula merendah diri. Atas sebab itu, aku juga dibuli di sekolah. Mungkin tidak menyebabkan kecederaan fizikal tetapi meninggalkan parut dalam jiwa aku. Disebabkan aku seorang pendiam ramai mengambil kesempatan ke atas diri aku. Ketika itu, aku merasakan aku tidak layak bergaul dengan kawan-kawan, kerana kekurangan diri, kemiskinan keluarga dan juga keluarga yang agak berantakan ketika itu.

3. Zaman universiti, aku menghidap penyakit kronik. Aku mengalami penyakit saraf yang memerlukan ubat seumur hidup. Aku tidak terlantar di katil, tetapi penyakit aku menyebabkan aku sukar menggerakkan sebahagian anggota badan kerana terlalu sakit. Aku masih boleh bekerja. Sekarang aku masih membuat rawatan susulan di klinik pakar. Dan aku masih perlukan ubat aku. Seperti nyawa aku, tanpa ubat itu 3 kali sehari, aku akan dalam kesakitan sepanjang masa.

Tetapi, aku tabah, aku tetap membuat kerja-kerja seperti sediakala, Ketika aku memasuki alam pekerjaan tidak pernah aku menjadikan penyakit alasan untuk tidak bekerja. Aku rasa ramai tidak faham akan penyakit ini, kerana sakit aku tidak nampak di mata kasar. Kalau luka di tangan, nampak darah, semakin besar luka kita tahu kesakitannya juga semakin teruk. Tetapi penyakit saraf ini, tiada kecacatan atau pengukur untuk dilihat sejauh mana kesakitan ini.

Aku dalam kesakitan tetapi orang sekeliling aku berharap aku untuk berfungsi seperti biasa, termasukla ketika kerja ataupun dirumah. Untuk ujian ini, aku bersangka baik, kerana sekurang-kurangnya ada rawatan untuk megurangkan sakit ini. Berbanding jika diuji dengan penyakit yang tidak ada penawar atau ubat.

4. Aku telah berkhawin tetapi rumahtangga kami juga tidak sunyi dari ujian. Ketika tahun ke-5 perkahwinan aku mendapatkan kaunseling di pejabat agama kerana suami aku ada skandal dengan perempuan lain. Perkara itu berlalu setelah dia berpindah tempat kerja. Tetapi kepercayaan aku tinggal hanya 10% untuk dia.

Sehingga kini, masih bermain-main di fikiran aku sekiranya dia mempunyai perempuan lain di belakang aku. Tahun ke-7 perkhawinan aku dipukul kerana suami baran. Setiap kali aku dicekik, aku berdoa Allah mengambil nyawa aku, supaya seksa ini akan berhenti. Aku berdoa aku mati supaya aku lepas daripada ujian dunia. Kali ini nekad untuk bercerai. Tetapi jodoh masih kuat kerana janjinya untuk tidak memukul aku lagi. Setakat ini janjinya masih lagi teguh.

5. Selama berkahwin kami diuji dengan anak. Kami sukar untuk mengandung. Mungkin Allah hendak menguji sejauh mana usaha dan kemahuan kami. Maka pelbagai usaha telah dilakukan. Pelbagai rawatan moden, tidak kurang juga duit habis untuk usaha kami mendapatkan anak. Kami gagal dalam 2 prosedur dalam tahun ini. Gagal dalam permanian berhadas, IUI dan juga IVF. Ketika ini aku kecewa. Prosedurnya panjang, sakit dan mahal. Apa lagi harus aku lakukan?

Ketika ini, aku kesedihan dan tertekan. Kerana aku merasakan hidup aku ditimpa ujian tidak berhenti. Aku juga inginkan kehidupan seperti orang lain yang bahagia. Ujiannya tidak la sesukar aku. Seringkali perkara ini bermain di fikiran aku, adakah sebab aku kuat pada setiap ujian maka Allah beri lagi ujian untuk aku? Bagaimana sekiranya aku mengalami ‘mental breakdown’ lalu menjurus kepada penyakit mental seperti ayah aku?

Ujian aku bertimpa, sekarang ini aku masih lagi ‘struggle’ dengan perkahwinan, penyakit aku dan masalah ketidaksuburan aku. Ada lagi ujian lebih besar dari ini? Adakah lagi ujian lain selain yang aku hadapi sekarang? Aku sangat takut, dengan apa lagi ujian yang akan aku hadapi di masa hadapan. Aku cuba untuk mendekatkan diri pada Allah tetapi, aku sedar semakin banyak ujian yang mendatang. Aku ingin nasihat dan sokongan untuk mengadapi masalah ini.

– M

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *