Mengemis Duit Sendiri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat admin dan pembaca IIUM Confession.

Izinkan diri ini menggunakakan kanta ganti diri ‘aku’ ya. Di sini aku nak minta pendapat-pendapat pembaca semua yang bijak pandai bagaimana caranya aku nak mendapatkan semula duit aku yang diberi pinjam kepada orang lain.

Aku ada seorang kawan dari kampung. Baik dari kecil dan selalu berkongsi masalah dan perkara-perkara lain. Masa aku kenal dengan kawan ni, keadaan keluarga dia agak terumbang ambing dari segi kewangan. Jadi, aku mudah kesian dan niat lillahi taala nak membantu sedaya upaya aku. Ada beberapa perbelanjaan rumah yang aku tolong bayarkan selama beberapa bulan tanpa pengetahuan ahli keluarganya yang lain. Aku yang memintanya begitu kerana bagi aku, biar Allah sahaja yang tahu. Ini belum termasuk bantuan kewangan lain yang aku hulur ketika dia terdesak perlukan wang belanja. Wang ini aku tidak minta bayaran semula. Cukuplah dengan ucapan terima kasih dan kenang budi. Sehinggalah suatu hari, kawan aku memerlukan sejumlah wang untuk hal peribadi.

Aku yang pada waktu itu memang berjimat cermat menggunakan wang PTPTN dan biasiswa, meminjamkan sejumlah wang yang diperlukan tersebut (dia minta untuk pinjam dan janji akan pulangkan semula). Agak besar juga angkanya bagi seorang pelajar seperti aku kerana melebihi ribuan ringgit. Nama pun pinjaman kan. Sudah pastinya aku menginginkan wang aku semula. Cumanya aku tak mendesak segera pembayaran semula wang tersebut disebabkan memahami keadaan kewangannya ketika itu.

Namun, hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Kini masuk hampir separuh dekad perkara itu berlaku. Satu sen pun belum dibayar. Sudah puas meminta secara baik, tapi tiada duit katanya. Dia sudah berkahwin, mempunyai suami yang agak mampu perbelanjaan dan sepasang anak lelaki perempuan yang sangat comel. Iya. Kawan aku itu perempuan. Dan aku lelaki. Kami bukan bercinta. Cumanya bersahabat lillahi taala. Aku juga telah punya pilihan hati semasa bersahabat dengannya. Bagaimana aku tahu suaminya mampu? Kerana aku terlihat statusnya di media sosial pergi bercuti (dalam negara), membeli permainan ‘game console’ yang harganya beribu, membeli barangan bayi berjenama, memakai telefon bimbit yang paling canggih serta sekarang mereka sekeluarga telah pindah ke rumah yang baru sahaja dibeli setelah suaminya mendapat bonus setengah tahun gaji. Sedangkan aku cuma memakai telefon bimbit yang sudah berumur 2 tahun dibeli dengan gaji pertama aku dan masih duduk menyewa di hujung bandar.

Aku memerlukan duit tersebut untuk menampung perbelanjaan peribadi (baca:perubatan dan kahwin). Biarpun alasan apa untuk aku gunakan duit tersebut, bukankah tugas penghutang adalah untuk membayar hutang meskipun merangkak-rangkak? Kawan aku minta tangguh bayaran. Kalau aku berkeras juga, dia tetap tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kerana dia tidak bekerja. Keluarga dan suaminya tahu namun rela membiarkan aku menunggu lagi sampai entah bila sesuatu yang memang pada asalnya hak aku. Sekarang, aku sudah tidak dapat melihat statusnya lagi. Mungkin untuk mengelakkan aku daripada tahu aktiviti harian dan perbelanjaan keluarganya yang yang mampu tetapi hutang tak dibayar. Apa yang perlu aku lakukan? Aku tak mahu bergaduh dan kalau boleh mahukan perkara ini diselesaikan dengan baik.

“Terbunuh (syahid) di jalan Allah (fisabilillah) akan menghapuskan keseluruhan dosanya kecuali hutang pada manusia yang belum dilunasi.” – HR Muslim 6/38.

– ULTRAMAN POKET KERING

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *