Tahun Ke-10

Assalamualaikum kepada pembaca dan admins. Andai luahanku ini tersiar, ribuan terima kasih pada kalian. Andai luahanku ini dibaca, semoga kalian mendapat 1001 keberkatan daripadaNya.

Sudah masuk tahun yang ke sepuluh aku menderita sakit ini. Sakit yang aku tidak tahu punca. Sakit yang aku tidak tahu nama. Ada kalanya tubuhku akan menggigil kesejukan biarpun badanku berkeringat Sejuk yang mencengkam hingga ke tulang temulang. Sejuk yang menyakitkan seluruh inci badanku sehingga badanku menjadi kaku tidak mampu untuk digerakkan. Entah untuk ke berapa puluh juta kali aku ke klinik untuk pemeriksaan. Doktor bilang semuanya normal. Tiada apa yang serius.

Kebiasaannya, selain bilik-bilik doctor sama ada hospital kerajaan ataupun swasta, aku turut mendapatkan khidmat perubatan alternatif. Seperti telah ku nyatakan pada awalan tadi, ini tahun yang ke sepuluh. Makanya, aku sendiri tidak mampu membilang entah berapa tempat telah aku lawati demi untuk mendapatkan kesembuhan. Katanya, aku sakit. Katanya lagi, setiap sendi tubuhku telah terisi oleh sesuatu yang tidak terzahir. Kata mereka, aku disihir.

Tahun kesepuluh ini, aku benar-benar rasa teruji. Jika dulu aku sendiri , aku menanggung sakit ini ditubuhku sahaja sendiri. Namun kini ia mula mengganggu kehidupan rumah tangga dan juga anak-anak kecilku. Ada suatu masa aku menangis dan bertanya dalam hati. Mengapa aku? Sampai bila aku harus bertahan. Sungguh sejuk yang aku rasa ini melemahkan segala sendi ototku. Sungguh, serangan hysteria itu ibaratnya mematikan semua sistem tubuhku. Sungguh, segala sendiku terasa bisa. Kepalaku sungguh berat sehingga kadang-kadang aku lupa asas norma kehidupan. Pernah aku lupa arah kiblat. Pernah aku lupa bagaimana hendak memakai baju. Pernah kakiku tiba-tiba keras tidak dapat memijak lantai. Aku sungguh tidak mampu meneruskan lagi kehidupan ini.

Lantas tuhan menghantarkan kepadaku seorang ilmuwan berbicara denganku mengenai kehidupan. Katanya setiap apa yang berlaku dimuka bumi ini atas izin tuhan. Jika iblis itu mahukan aku mati, namun tuhan masih belum mengizinkan, makanya aku tidak akan mati keran sihir. Katanya lagi, dugaan ini kerana tuhan ingin mendengar aku merintih, mengadu padaNya. Tuhan rindukan rintihan hambaNya. Mengadulah sebanyak-banyaknya.

Aku tersentak. Ibarat satu tamparan halus namun menggegarkan seluruh pelusuh tubuh ini. Aku sibuk menghitung dugaan diri. Aku lupa menilai setiap nikmat yang Tuhan beri. Luahan ini aku tuliskan agar kita semua yang sedang menghadapi apa jua ujian hidup agar terus cekal dan tabah. Percayalah, ada manis di penghujungnya. Kalau tidak di dunia, mungkin di akhirat. Aku juga mohon doa dari kalian agar aku ditemukan kesembuhan.

– AULIYA

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *