Sepasang Sayap Bernama Ayah

Masihku ingat, di suatu petang yang hening, ibu bergegas membawa aku ke suatu tempat. Setibanya di situ, kelihatan orang ramai sedang bersesak-sesak, sibuk berjual-beli. Aku hanya mengikuti jejak ibuku tanpa banyak soal. Tiba-tiba, ibuku berhenti di sebuah gerai. Gerainya bukanlah seperti gerai-gerai yang lain yang punya meja dan bumbung. Yang ada hanyalah hamparan beg guni, di atasnya dipenuhi dengan longgokan ubi keledek. Kelihatan seorang lelaki 30-an sedang sibuk menyusun longgokan ubi keledek. Aku seperti kenal wajah itu. Setelah didekati, barulah aku lihat wajahnya. Itulah ayahku.

Ibu tidak banyak berbicara dengan ayahku ketika itu. Aku tidak mendengar dengan jelas butiran perbualan mereka. Mungkin juga aku masih lagi terpinga-pinga mengapa ayahku ada disitu menjadi penjual ubi keledek. Ibu membawaku pulang selepas perbualan yang singkat antara mereka berdua. Selepas dari kejadian itu, aku pernah beberapa kali melihat ayahku meniaga di pasar malam. Ada sahaja yang dijual. Antara yang aku masih ingat, ayahku menjual baju-baju bundle (pakaian terpakai).

Entah mengapa hatiku tersentuh. Bukanlah aku memandang rendah pekerjaan seperti itu. Cuma aku berasa sedikit hiba. Ayahku dahulu seorang anak petani, kemudian berdikari dengan cuba membina empayarnya sendiri. Sedikit demi sedikit ayah telah berjaya menjadi kontraktor dan mempunyai mesin excavator (mesin korek) miliknya sendiri. Namun, semuanya berakhir apabila ayahku jatuh bankrup gara-gara ditipu oleh rakan kongsinya.

Aku yang masih mentah dalam perjalanan hidup, memandang peristiwa ini sebagai suatu kegagalan. Namun tidak bagi ayahku. Berjaya atau gagal, bukan dilihat pada kekayaan atau kemiskinan. Seseorang yang kaya, tidak semestinya berjaya dan seseorang yang miskin tidak semestinya gagal. Walaupun ayahku ditipu dan jatuh bankrup, namun ayah tidak pernah berputus asa. Ayah berusaha mencari rezeki yang halal untuk keluarganya. Itu juga suatu kejayaan yang besar, walau bukan pada pandangan masyarakat, cukuplah pada pandangan Allah.

Walaupun ayah semakin berusia, ayah tetap rajin membanting tulang. Jatuh bangun ayah dalam perjalanan hidupnya, menjadi inspirasi hidupku. Sehingga kini, setiap kali aku ke pasar malam dan melalui gerai-gerai yang menjual baju-baju bundle dan ubi keledek, hatiku menjadi tersentuh. Mudah sahaja mataku berkaca. Aku berharap suatu hari nanti, ayahku dapat berehat sepenuhnya di rumah. Biarlah sahaja kami adik-beradik yang sama-sama mengumpul duit menyara kehidupan ayah dan ibu.

– Kakak

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *