Assalamualaikum wbt.. Alhamdulilah diberikan kesempatan untuk menulis. Jika iium menyiarkan artikel yang saya tulis jujurnya saya bersyukur ke hadrat Allah swt di atas kesudian pihak iium. Ramai anak muda di luar sana tidak kira lelaki atau perempuan risau memikirkan jodoh dan cinta. Ternyata, Syukur juga ramai hamba Allah swt di bumi Malaysia penuh dengan sifat kasih dan sayang. Alhamdulillah.
Saya Fifi ( bukan nama sebenar) berusia 26 tahun pernah berkahwin dan juga sudah bercerai. Saya berkerja sebagai penjawat awam dan alhamdulilah selamat berkhidmat di semenanjung tanah air. Saya sama macam perempuan di luar sana, belajar, bekerja dan berkahwin sebelum Allah swt menguji saya dengan ujian yang tak pernah saya bayangkan langsung akan berlaku dalam kehidupan saya. Sebelum saya berkhidmat di semenanjung saya berkhidmat di bumi kenyalang dan jujurnya perkahwinan ini ialah perkahwinan jarak jauh yang sangat mencabar.
Selepas 1 tahun 9 bulan ikatan perkahwinan ini musnah jua akibat orang ketiga . Jujurnya saya menerima tawaran perpindahan saya tanpa mengetahui perkahwinan saya dah sampai ke titik akhir. Alhamdulilah sekarang bekas suami dan madu saya sedang berbahagia dengan kehidupan mereka serta dikurniakan seorang cahaya mata yang sangat comel. Saya doakan mereka bahagia sampai ke syurga.
Secara ikhlasnya, untuk meredhai sebuah perjalanan kehidupan ini sangat susah dan mencabar. Berkali-kali saya ingatkan diri saya, suami saya ialah pinjaman dan bila Allah takdirkan untuk dia pergi saya harus meredhainya. Saya cuba mempertahankan ikatan perkahwinan ini sehabis daya saya, tetapi memang bukan jodoh saya ke akhir hayat dengan dia.
Permulaan menjadi seorang janda muda ibarat mimpi ngeri . Saya tak sanggup mengangkat kepala saya ketika berjalan berada dalam kelompok masyarakat yang semestinya memandang negatif terhadap saya. Itu yang saya fikirkan pada awalnya. Saya seperti wanita lain juga merasai kehilangan segalanya apabila perkahwinan saya musnah. Tiap kali saya mengenang nasib kehidupan saya , saya sebenarnya sangat sedih tetapi sedikit pun saya tidak pernah menulis di media sosial dan menunjukkan kesedihan di hadapan keluarga saya. Alhamdulilah itu berkesan.
Bagaimana saya membina kekuatan dalam diri saya itu yang saya ingin kongsikan kepada semua di luar sana kerana saya yakin tidak semua perkahwinan itu berakhir sampai syurga ada juga yang putus di tengah jalan. Walaubagaimanapun, saya berharap anda semua kuat menghadapi ujian kehidupan begini.
Pertamanya, banyakkan istighfar. Selepas musibah ini melanda , semestinya kita akan sentiasa ingat kenangan pahit dan manis bersama bekas suami, Kita memang akan menangis kerana itu ialah normal. Selepas dikhianati dan dicurangi ia semestinya sangat kecewa. Ketika rasakan dunia ini terlalu sedih untuk didiami , perbanyakkanlah meminta ampun kepada Allah swt di atas segala dosa-dosa yang dilakukan oleh kita tanpa sedar banyak dosa-dosa yang dilakukan sepanjang kehidupan kita.
Keduannya, teruskan bersangka baik kepada Allah swt. Saya sempat menemui bekas madu saya sebelum talak dijatuhkan. Saya menemui madu saya dan mendoakan kebahagian dia dengan bekas suami saya tanpa jeritan mahupan tamparan kepada beliau. Saya sendiri tak pernah sangka macam mana saya boleh setenang itu, cuma saya yakin Allah mentakdirkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang dan semestinya ada hikmah disebalik musibah ini.
Ketiga, memaafkan kesalahan suami. Ya, saya berjaya. Saya lakukannya. saya memaafkan semuannya. Saya mendoakan kebahagian dia. Ternyata itu lebih baik saya lakukan kerana saya percaya kalau saya bergaduh atau meminta penjelasan tiada gunanya. Saya yakin tiada yang kedua kalau sayang yang pertama dan cinta masih perlu dalam perkahwinan walaupun cinta bukan segalanya. Dia tidak mencintai saya selayaknya seorang isteri. Tidak pernah kami habiskan sehari pun kualiti time bersama. Ternyata dia curang hampir 6 bulan dan saya baru tahu.
Bekas madu saya juga telah mengandungkan anak beliau. Perkahwinan ini bagi saya tidak patut saya pertahankan lagi, kerana kebahagian dia bukan bersama saya. Cinta tak semestinya dimiliki..biarlah dia bersama seorang yang mampu membahagiakan dia, saya juga tidak sanggup beliau melakukan dosa berterusan kerana tidak menunaikan selayaknya hak seorang isteri.
Keempat, just do it. Buat semua benda yang nak buat yang tak dibuat ketika bergelar seorang isteri. Saya seorang perempuan yang lasak dan adventure. Saya mendaki bukit, menyelam di pulau, dan melawat tempat-tempat yang saya nak pergi. Saya memandu seorang diri ke mana-mana sahaja. Saya belajar menyayangi diri saya sendiri. Saya belajar make up dan menjaga kesihatan badan saya. Saya juga fokus kepada kerjaya saya dan prestasi kerja saya juga meningkat. Saya juga mendekatkan diri saya dengan Allah swt kerana ternyata menyintai Allah takkan pernah sia-sia.
Sekarang, ya menjadi seorang janda itu tidak seteruk manapun, alhamdulilah saya melalui kehidupan saya dengan bahagia seadanya. Bahagia dengan ibu dan bapa saya, bahagia dengan keluarga saya, bahagia dengan kawan-kawan saya serta orang sekeliling saya. Saya berusaha dan masih berusaha menjadi orang yang bahagia dan membahagiakan. Tapi, jika anda semua mempunyai masalah dalam rumahtangga saya nasihatkan jangan sesekali mendedahkan keaiban pasangan di media sosial , sejujurnya itu tidak akan menyelesaikan masalah sama sekali. Doa dan solat hajat selalu, Allah swt akan memberi jawapan untuk kita dengan sabar dan solat.
Saya kongsikan satu doa untuk anda amalkan dengan suami mahupun isteri, saya dapat ketika saya mendengar satu ceramah,
Ya Allah , satukan hatiku dengan suamiku/ isteriku
Satukan hatinya dengan ku
dan satukan hatiku dengan hatinya untuk mencintaiMu..
Ameen ya rabb.
Akhir kata, bahagia bukan bidaan. Bahagialah seadanya dengan apa yang kita miliki , bersyukurkahlah selalu semoga rumahtangga anda dilindungi oleh Allah swt. Bagi saya, mencintai itu sangat indah , dicintai kembali ialah anugerah. Semoga kebahagian untuk saya dan anda semua tidak hanya di dunia tetapi di syurga juga.
Doakan saya bertemu dengan jodoh yang dapat membimbing saya ke jannah !! bukankah jodoh itu cerminan diri kita ? Jom berusaha jadi baik.
– Fifi
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit