Salam semuanya, aku berharap admin boleh siarkan artikel ini. Sejak kebelakangan ini, aku melihat seakan-akan ‘trend’ dimana graduan muda mengeluh mencari duit. Tiada pasaran kerja dan sebagainya.
Tapi jika dibandingkan dengan aku dahulu, aku walaupun payah tapi aku tetap teruskan perjuangan. Aku merupakan graduan kejuruteraan di salah satu IPT di Shah Alam. Bergelar seorang bakal ‘engineer’ hanyalah indah khabar dari rupa. Kejatuhan harga dan komoditi minyak dunia hampir menyebabkan ketiadaan peluang pekerja di sektor ‘oil n gas’. Jadi terpaksa menapak ke bidang lain.
Bidang lain itu adalah bidang pengeluaran ataupun bahasa lapangannya adalah ‘geng production’. Gaji pertama sebagai Production Exec (PE ) sekitar RM 1700. Berulanglah dari Shah Alam ke PJ, naik motor kapcai. Sehinggalah desakan kewangan yang maha dahsyat membuatkan aku selalu dalam kudis hutang dengan orang lain. Pertengahan bulan aku sudah kering. Pinjam sana sini. Sehinggalah aku sedar, sampai bila aku hendak jadi begini? Hidup dalam kesempitan dan terlalu sakit untuk ‘survive’ di bandar besar sebegini.
Disember 2016,aku mula beranikan diri menjadi Home Tutor.Iklankan di Facebook dan sebagainya. Alhamdulilah aku dapat dua pelajar . Dua-dua dari keluarga yang berada di sekitar Shah Alam. Dengan berbekalkan semangat dan iltizam aku mulakan kerja sampingan sebagai Home Tutor.Pendapatan yang aku dapat cukup mewah sekitar RM 1800 sebulan tetapi aku kehilangan satu benda iaitu masa lapang.
Aku hampir tiada masa untuk diri sendiri. Tuisyen 8-10 malam setiap hari 5 kali seminggu dan aku jugak bekerja separuh hari pada hari Sabtu dan balik kerja sudah pun pukul 6 petang.
Penat ?? Itu adalah nafas aku pada waktu itu Dan pada waktu itu jugalah aku mula mencari benda lain untuk aku cari duit yang lebih mudah.
Aku mula terjebak dengan pelaburan hartanah khususnya berkaitan sewa rumah dan sewakan kembali (sublet).
Banyak buku-buku aku beli sama ada dari internet atau pun dari kedai. Aku percaya yang di kawasan IPT ,permintaan sangat- sangat tinggi.
Aku mula dengan modal yang aku kumpul dari gaji. Mula -mula sebiji rumah sewa dan bertambah.Tuan rumah bersetuju untuk membernarkan aku sewakan kembali rumahnya . Dalam masa 4 bulan , aku sudah ada 4 biji rumah sublet.
Dengan gaji aku dan digabungkan dengan duit tuisyen, aku kembangkan lagi bisnes sublet aku ini. Nampak mudah bukan? Tapi cabarannya aku pernah ditipu. Kerugian masa itu hampir seribu ringgit. Aku redha sebab aku anggap itu hanyalah ujian dan pengalaman yang aku perlu lalui dan belajar dari kesilapan itu.
Satu demi satu dan pada bulan 8, aku ambil keputusan untuk berhenti kerja. Pendapatan dari bisnes sublet aku sudah melebihi gaji aku. Aku sudah tekad hendak berjuang dalam bisnes ini. Aku daftarkan syarikat, buka akaun syarikat dan sistemkan bisnes aku.
Harini aku cukup berbangga, aku sudah mempunyai 30 sublet dengan setiap satunya memberikan pulangan RM 400 sebulan di kawasan IPT Shah Alam. Perih jerih dahulu mengajar aku erti kepayahan dan perjuangan yang sebenar. Pendapatan bulanan sudah mencecah 5 angka. Berkat sabar dan usaha yang tak pernah jemu membuahkan hasil.
Bagi aku, graduan sekarang perlu mencari sesuatu yang lebih daripada bekerja semata-mata. Berani ambil risiko dan punyai daya tahan yang kuat. Cuma aku pegang satu prinsip ‘ Siapa yang berusaha, dia akan dapat’. Berhentilah mengeluh kerana peluang sangat banyak. Jadikan kelemahan diri kita sebagai satu kekuatan.
Moga-moga dengan perkongsian ini akan dapat memberikan pembaca semua lebih motivasi dan semangat yang baru. Terima Kasih.
– Abang H
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit