Masalah Oh Masalah!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Ini adalah sharing secara general sahaja sebagai peringatan untuk diri saya dan kita semua yang membacanya.

Saya suka baca confession kat page ni. Banyak pengajaran dan membuatkan saya “nampak” bahawa kita manusia ni memang tak boleh lari dari segala macam masalah. Dari sekecil-kecil masalah sehinggalah sebesar-besar masalah. Tapi perasan tak sebenarnya tak ada masalah besar atau masalah kecil, yang ada adalah hati kita; hati yang “besar” atau hati yang “kecil” dalam menerima semua ujian itu.

Katakan pada masalah yang kita punya hati yang kuat untuk menghadapinya dan yang lebih penting kita ada Allah bersama kita… InshaaAllah semoga semuanya akan menjadi baik.

Percayalah, Allah tak akan membebani kita dengan sesuatu ujian yang tidak mampu kita tanggung. Sebagaimana yang kita baca dan faham dalam Surah Al Baqarah ayat 286 bermaksud ;

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.

Orang yang hebat adalah orang yang percaya bahawa setiap ujian dari Allah itu adalah untuk mengangkat darjatnya sebagai hamba Allah dan … mampu redha dengan segala takdir dari Allah. Kita juga sedar bahawa memang dunia ini adalah tempat ujian. Kita masih belum berada dalam syurga. Jadi layak lah kita akan selalu diuji.

Apa yang lebih penting sekarang kita fokus dan terus buat amal ibadah dan segala perkara yang Allah redha. Cari kawan-kawan atau platform yang baik untuk meluahkan segala masalah terpendam … semoga hilang segala beban yang ditanggung dalam dada kita. TAPI yang lebih penting, (dilengkapkan pula) dengan mengadu kepada Allah dalam setiap doa dan sujud kita.

Kalau kita “sedar”, sebenarnya setiap masalah atau ujian itu datangnya daripada Allah jadi logiknya kepada Allah sahaja tempat mengadu terbaik. Saya katakan begini kerana saya juga sedang melalui ujian dari Allah. Ujian datang bila kita mahukan perancangan kita menjadi nyata tapi Allah ‘hold’ dulu dan beri kita perancangan yang lain.

Percayalah, perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kita. Kita tak tahu apa-apapun. Allah lebih tahu kerana DIA yang menciptakan kita dan DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Seperti seorang ibu / ayah yang melarang anak-anaknya dari berbuat sesuatu perkara yang memudharatkan tapi (dari sudut pandang anak) anak-anak tak nampak semua tu kerana yang mereka tahu hanya nak memenuhi apa yang mereka mahu sahaja.

Jadi, walau pelbagai ujian datang melanda… teruskan melangkah dan pandanglah setiap ujian itu sebagai salah satu cara untuk mematangkan kita lagi. Kita tak nampak sekarang hikmahnya… mungkin akan datang kita akan sedar dan nampak hikmah disebalik ujian itu.

Sabar dan solat/doa adalah kunci utama apabila kita ditimpa musibah atau ujian.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ , (iaitu) orang-orang yang menyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya” – (Surah Al Baqarah ayat 45-46)

Saya tahu berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Kuatkan semangat dan katakan pada hati “aku mampu hadapinya! Aku boleh!”

Jangan putus asa & jangan sangka buruk pada Allah dan semua makhluk.

Gambatte!! Chaiyokk!! Bangkit dan teruskan melangkah!!

– Katakan “saya ada Allah bersama saya”

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *